
16.05.2025
| Digital Economy | Industry | lets-learn-digital | Rakyat
KUCHING, 16 Mei 2025 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), hari ini menganjurkan Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Kuching bertempat di TEGAS Digital Village, Sarawak. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah nasional yang dicetuskan oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, sebagai platform strategik untuk memperkukuh ekosistem digital negara melalui pendekatan bersasar mengikut potensi dan keperluan negeri.
Setakat Mei 2025, siri jelajah ini telah dilaksanakan di lima lokasi iaitu Ipoh, Taiping, Alor Setar, Sandakan dan Kapit – menjadikan Kuching sebagai destinasi keenam bagi tahun ini. Edisi JMD @ Kuching memberi fokus khusus kepada sektor Kandungan Kreatif Digital melibatkan animasi, permainan digital dan teknologi kreatif – sejajar dengan potensi Sarawak sebagai pusat naratif tempatan serta hab warisan budaya digital negara. JMD kali ini berfungsi sebagai platform untuk kolaborasi antara syarikat tempatan, kerajaan dan komuniti luar bandar terhadap bidang kandungan kreatif berimpak tinggi.
Beberapa syarikat kreatif digital dari Sarawak yang berprestasi tinggi turut diberikan pengiktirafan dalam program ini:
• Betapuru Digital – Penerima Digital Content Grant 2025; menghasilkan animasi hiper-realistik dan kandungan AR/VR.
• Metadise – Syarikat teknologi kreatif dan pendidikan digital; kini membangunkan projek metaverse “Tech-Me To Sarawak” dan turut tersenarai sebagai penerima Digital Content Grant 2025.
Pasaran penciptaan kandungan digital global dijangka meningkat daripada USD27.99 bilion pada tahun 2024 kepada USD57.04 bilion menjelang 2029 – dengan kadar pertumbuhan tahunan 15.6%. Ini membuka peluang besar kepada Malaysia, khususnya Sarawak untuk memainkan peranan penting dalam ekosistem ekonomi digital serantau dan global.
Sehingga kini, Malaysia menempatkan lebih daripada 300 studio kandungan kreatif digital dan telah menghasilkan lebih daripada 180 harta intelek asli dalam bidang animasi dan permainan digital. Pada tahun 2023, industri ini telah menjana pendapatan sebanyak RM5 bilion, dengan jumlah eksport mencecah RM1 bilion serta menyokong lebih daripada 8,200 peluang pekerjaan.
Sebagai nilai tambah kepada JMD @ Kuching, MDEC turut menganjurkan program Kre8tif! East pada 14 hingga 15 Mei 2025, dengan kerjasama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC). Program ini menghimpunkan pakar industri dari serantau dan antarabangsa serta penggiat kandungan digital tempatan, termasuk studio animasi, pembangun permainan digital dan penggiat teknologi kreatif.
Kejayaan program ini membuktikan bahawa ekosistem kandungan digital tidak lagi tertumpu di Lembah Klang. Dengan kekuatan naratif tempatan, keunikan budaya, dan kemunculan bakat muda yang menyerlah, Sarawak berpotensi menjadi pusat utama pertumbuhan kandungan kreatif digital Malaysia Timur. MDEC akan terus memperkukuh sokongan terhadap industri ini melalui pemberian dana, latihan kemahiran, serta akses pasaran agar kandungan kreatif digital dari Borneo dapat diketengahkan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari, Premier Sarawak bersama YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital.
JMD @ Kuching turut disokong oleh rakan strategik termasuk Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), TEGAS, serta pemegang taruh industri kandungan digital dari seluruh negara.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi Korporat
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
Share this: