USAHAWAN LANGKAWI LANCAR LAMAN WEB KHAS PROMOSI SEBAGAI PERSEDIAAN PASCA COVID-19 DAN PKP

28.04.2020

Mega Water Sport yang menawarkan aktiviti rekreasi laut kepada pelancong di Pulau Langkawi kini membangunkan platform digital untuk mempromosikan pulau berkenaan.

Setiap kali bulan Mac menjelang, Pulau Langkawi, di Kedah disapa kemeriahan yang cukup luar biasa.

Apa tidaknya, pulau yang terkenal dengan lagenda Mahsuri itu menjadi lokasi pilihan untuk bersantai sempena musim cuti persekolahan di negara ini.

Keindahan pasir yang memutih di Pantai Tanjung Rhu, debaran mencuba kereta kabel yang mempunyai laluan terpanjang di dunia, kemeriahan pasar malam Pantai Chenang atau rambang mata saat mahu membeli pelbagai jenis coklat yang murah kerana pulau ini berstatus kawasan bebas cukai, Langkawi tetap mempunyai tempat istimewa di kalangan pelancong tempatan dan asing.

Menurut statistik oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pada tahun lepas seramai 3.9 juta pelancong berkunjung ke sana dengan seramai 350 000 dicatatkan pada bulan Mac.

Bagaimanapun, tahun ini, bulan Mac di Langkawi yang baru berlalu boleh disimpulkan sebagai musim cuti sekolah yang paling sepi gara-gara pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa kerajaan.

Benar, ia merupakan fenomena global kerana virus ini sedang berleluasa mencari perumah di lebih 180 negara sehingga memberi implikasi besar kepada sektor ekonomi.

Antara yang paling terjejas sudah pasti sektor pelancongan yang turut terkait dengan syarikat penerbangan, perhotelan, inap desa, taman tema, riadah dan sebagainya.

Tidak mahu terus larut dalam keresahan menunggu situasi pulih, sekumpulan pemilik produk pelancongan berkaitan aktiviti riadah di Langkawi, bangkit dengan semangat baharu dengan merencanakan strategi digital bagi menyelamatkan perniagaan.

Biarpun mereka tidak pasti, bila PKP akan berakhir serta waktu kerajaan akan kembali ‘membuka pintu masuk negara’ kepada warga asing , kumpulan ini terus menggunakan kemudahan teknologi digital untuk membangunkan platform baharu.

Penyelarasnya, Hussein Mohd Said yang juga peserta 100 Go Digital anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkata,  platform berkenaan iaitu http://www.pulaulangkawi.my/ diwujudkan kerana mahu ‘menjual’ Pulau Langkawi.

Langkawi yang merupakan lokasi percutian pilihan di Malaysia turut terjejas akibat pandemik Covid -19

Katanya, pada peringkat awal, laman web ini akan memfokuskan kepada pengusaha produk pelancongan yang menawarkan aktiviti riadah kepada orang ramai sebelum diperluaskan kepada sektor lain.

“ Platform ini dibuat oleh pemilik -pemilik pusat tarikan pelancongan akan menawarkan harga pakej yang sangat murah selain turut memberi pilihan kepada bakal pembeli berdasarkan konsep buy now and use later (beli sekarang, guna kemudian),” katanya kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) baru – baru ini.

Hussein yang juga pemilik Mega Water Sports berkata, dia yakin platform digital yang dibangunkan untuk tujuan promosi itu mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.

“ Setakat ini antara yang terlibat ialah Crocodile Adventure Land, Skytrex, Umgawa, Underwater World, WildLife Park, Panorama Langkawi, Morac, Junglewalla, Avante dan Splash Out,” katanya.

Terdapat juga di kalangan peserta yang menyertai platform promosi ini merupakan alumni 100 Go Digital anjuran MDEC iaitu Morac Adventure Park Langkawi yang menawarkan kemudahan litar lumba go kart.

Morac Adventure Park Langkawi sebelum ini mengakui syarikat telah meluaskan penggunaan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan selaras dengan apa yang dipelajari dalam kursus 100 Go Digital yang dilaksanakan pada Oktober tahun lepas.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, dia dan rakan -rakan berharap agar laman web berkenaan akan menjadi ‘pusat maklumat’ utama dalam mempromosikan Langkawi menerusi pemasaran digital.

“ Laman web ini dijangka akan beroperasi dalam tempoh terdekat. Selepas ini kami mungkin akan bekerjasama dengan lebih ramai pemain industri pelancongan termasuk perhotelan dalam menyalurkan maklumat di laman web ini,” katanya.

MDEC sebelum ini melancarkan 100 Go Digital dengan Langkawi , Kedah menjadi kawasan pertama dipilih untuk melaksanakan program itu.

Program itu antara lain bertujuan memupuk usahawan tradisional bergerak ke arah pendigitalan perniagaan bagi meneroka potensi pelanggan baharu dan memudahkan operasi.

Usahawan yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang program 100 Go Digital boleh melayari laman web https://mdec.my atau menerusi Facebook 100 Go Digital.

Kredit Gambar: Facebook Mega Water Sport

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: