T-SHIRT MADE IN DAMANSARA DIJUAL DI LOS ANGELES

02.04.2020

Bermula daripada  perusahaan kecil, sebuah syarikat tempatan , Salty Customs kini boleh dikatakan bertaraf antarabangsa apabila produk mereka terbang sehingga ke Amerika Syarikat.

Dipimpin oleh ‘budak Taiping’, King Quah, syarikat yang berpengkalan di Damansara ini membuktikan tiada yang mustahil untuk syarikat tempatan mendapat kepercayaan menghasilkan produk untuk syarikat gergasi global.

Facebook, Spotify, Paypal, Cadbury  dan McDonald's antara syarikat gergasi yang kini berada dalam senarai ‘resume’ pelanggan ini.

Antara t-shirt yang dihasilkan oleh Salty Customs untuk McDonald's Malaysia ketika Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur

Menariknya, sejak mula beroperasi 10 tahun lalu, syarikat ini telah mencetak lebih 3 juta T-Shirt yang ditempah oleh syarikat di 40 buah negara termasuklah Singapura dan Australia.

Berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya, King, 32, berkata,  aspek pendigitalan perniagaan memainkan peranan penting dan perkara itu  diberi perhatian sejak memulakan operasi.

“ Banyak syarikat telah membuat pelaburan besar untuk mendigitalkan perniagaan dan untuk pengetahuan, sejak hari pertama lagi, kami telah melakukannya,” katanya ketika temubual dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Baru – baru ini, King turut muncul sebagai tetamu dalam segmen Bicara Niaga di Radio Bernama yang mana program berkenaan merupakan kerjasama strategik MDEC dan agensi berkenaan.

Bercerita lanjut tentang kerjasama dengan MDEC pula, King berkata, syarikatnya pernah dihantar menyertai program latihan di ibu pejabat Alibaba menerusi program globalisasi syarikat gergasi berkenaan.

“ Ilmu yang dipelajari dalam program berkenaan telah memberi peluang kepada kami untuk terus berkembang kerana suntikan idea dan strategi baharu sangat membantu kami untuk terus memantap perniagaan,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai operasi syarikat berkenaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini terhadap perniagaan, Salty
Customs turut melaksanakan polisi bekerja daripada rumah selain laman sosial syarikat itu menyampaikan pesanan tentang langkah -langkah pencegahan seperti mengamalkan jarak sosial dan kepentingan menjaga kebersihan diri menerusi amalan mencuci tangan yang betu bagi mencecah penularan.

Ditanya mengenai perancangan tahun ini, King berkata,  banyak perancangan telah dilakukan sempena ulang tahun ke-10 penubuhan syarikat berkenaan .

“ Operasi akan berterusan kerana kami telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Astro, projek kerjasama dengan Warner Music selain beberapa jenama tempatan seperti Luqman Podolski, Pak Azad, Pinda Panda dan Epicism,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang SaltyCustoms boleh melayari laman web https://www.saltycustoms.com

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: