MDEC MELUNCUR LAJU BANTU NEGARA HARUNGI PROSES PEMULIHAN EKONOMI DALAM FASA PKPP

16.06.2020

“ Enam bulan yang sangat sibuk sehingga hujung tahun untuk MDEC ”

Demikian jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah ketika sidang media sempena lawatan kerja rasmi pertamanya ke Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) semalam.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Pengerusi baharu MDEC , Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

Kenyataan Saifuddin itu tentunya terkait dengan ‘mandat besar’ yang  diberikan kerajaan menerusi  Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh YAB, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru – baru ini.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bersama-sama dengan Pengerusi MDEC, Datuk Dr Rais Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan pegawai-pegawai MDEC

MDEC yang memimipin ekonomi digital negara akan terlibat dengan beberapa inisiatif berimpak tinggi untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Yang pasti, kesemua inisiatif yang akan dan telah dilaksanakan MDEC selaras dengan tiga teras utamanya iaitu mendigitalkan kemahiran rakyat, mendigitalkan perniagaan dan menarik pelaburan untuk mendigitalkan ekonomi sekaligus menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

Mengimbas kembali, menerusi PENJANA, peruntukkan yang diberikan kepada MDEC dapat dilihat menerusi tiga inisiatif utama iaitu peruntukan sebanyak RM25 juta diberikan kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (GLOW) yang bertujuan untuk memberi latihan kepada rakyat untuk menjana pendapatan melalui tugasan platform dalam talian merupakan satu inisiatif yang tepat pada masa ini,

Pada masa sama, MDEC akan bekerjasama dengan MYCreative Ventures dan pihak swasta dengan memberi sokongan untuk sektor kandungan kreatif digital.

Kerajaan sebelum ini memperuntukan sebanyak RM225 juta untuk pemulihan industri hiburan, kreatif dan acara untuk bangkit semula selepas terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seterusnya, MDEC juga akan menyokong agensi -agensi kerajaan lain bagi menjayakan kempen Shop Malaysia Online bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara  atas talian di mana kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberikan melalui platform e-dagang melibatkan peruntukkan RM70 juta.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata,  MDEC ketika ini memberi fokus kepada pelaksanaaan program PENJANA seperti melatih usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro di luar bandar untuk melaksanakan perniagaan secara dalam talian.

Pada masa sama katanya, kerajaan turut menggalakkan usahawan tempatan terlibat dalam aktiviti perdagangan di peringkat ASEAN kerana pasarannya yang besar mencecah 600 juta penduduk berbanding pasaran tempatan yang hanya mempunyai 32 juta penduduk.

Sementara itu , Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MDEC dijangka akan memulakan latihan di bawah inisiatif GLOW pada Ogos ini .

Surina berkata,  MDEC juga telah melancarkan program "Let's Learn Digital" di bawah inisiaitf #mydigitalworkforce semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas dengan kerjasama platform pembelajaran dalam talian global, Coursera, yang menyediakan 3,800 kursus dalam talian secara percuma.

“Lebih 12,000 peserta telah menyertai kursus berkenaan dengan 75 peratus daripada mereka adalah individu yang baharu kehilangan pekerjaan,” katanya.

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: