‘HIDANGAN DIGITAL’ PERSEMBAHAN ANIMONSTA STUDIO PADA AIDILFITRI NORMAL BAHARU
20.05.2020
Suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri 2020 dijangka begitu berbeza berbanding tahun – tahun sebelumnya kerana ancaman pandemik Covid-19 serta perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan yang masih berkuatkuasa.
Namun demikian, tidak keterlaluan jika dikatakan teknologi digital yang semakin mekar bakal menyuntik kemanisan beraya dalam normal baharu.
Yang dimaksudkan ialah usaha Animonsta Studios yang tampil menyediakan hidangan raya digital pada tahun ini.
Syarikat berkenaan akan melancarkan lagu raya pertama serta dua siri yang akan disiarkan menerusi platform digital sempena Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Jenama dan Jualan Antarabangsa Animonsta Studio, Faiz Zainal Aabidin berkata, pihaknya menyasarkan jumlah penonton mencecah melebihi sejuta selepas seminggu ditayangkan untuk kesemua produk mereka menerusi saluran Youtube.
“ Ini merupakan kali pertama kami menghasilkan lagu raya bertajuk Aneka Baju Raya yang dicipta oleh komposer kami, Nur Sharmine Md Bakri.
“ Ketika ini prosesnya sudah memasuki fasa akhir dan akan dipasarkan di saluran digital pada masa terdekat,” katanya ketika berkongsi status projek ini bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
Menurutnya, syarikat berkenaan yang merupakan rakan strategic MDEC juga menghasilkan klip video untuk lagu raya berkenaan yang dijangka akan disiap sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“ Video klip ini mengambil masa 14 hingga 21 hari untuk disiapkan. Antara teknologi digital yang digunakan dalam penghasilkan video muzik ini termasuklah fasiliti rakaman kami yang menggunakan perisian Logic Pro X” katanya.
Selain itu bagi memeriahkan lagi suasana menjelang Aidilfitri, mereka turut mengeluarkan dua animasi berkaitan raya yang ditayangkan di Youtube menggunakan karektor terkenal Papa Pipi.
“ Cerita pertama bertajuk Shopping Raya 3 Suku yang telah disiarkan pada 16 Mei lalu yang mengisahkan Papa Zola menemani anaknya Pipi membeli pakaian raya.
“ Episod ini menunjukkan bagaimana kesabaran seorang ayah melayan karenah anak perempuan dan isterinya ketika membeli baju dan kasut raya yang sangat cerewet kerana bertegas inginkan warna kegemaran masing – masing,” katanya.
Sejak ditayangkan empat hari lalu, animasi berkenaan telah mendapat lebih 1.8 juta tontonan di semua platform YouTube Monsta.
“Kami berasa teruja melihat sambutan hangat yang diberikan oleh penonton terhadap kandungan digital bertemakan Hari Raya Aidilfitri Papa Pipi kerana ia dihasilkan melalui bekerja dari rumah sewaktu dalam tempoh PKP yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.
Katanya, satu lagi siri animasi khas Raya bertajuk Lebaran dan dijangka akan disiarkan pada malam Raya berkisar mengenai keluarga Papa Pipi yang sedang membuat persiapan raya serta juadah kepada tetamu namun secara tiba -tiba berlaku kejadian tidak dijangka selain tetamu yang hadir juga merupakan satu kejutan dalam episod ini.
Katanya, syarikat berkenaan berharap agar ‘hidangan’ yang disediakan oleh mereka sempena Aidilfitri kali ini sedikit sebanyak dapat menceriakan sambutan lebaran.
Sebelum ini, Animonsta Studio pernah terlibat dalam beberapa program bersama MDEC termasuk menerima bantuan menerusi Geran Kandungan Digital untuk beberapa siri animasi terbitannya di samping akses pasaran di Hong Kong International Licensing Show pada 2018 dan 2019.
Oleh Mohd Firdaus Ismail
Share this: