HAB E-DAGANG MALAYSIA ‘BANTU’ PERJUANGAN DUNIA MELAWAN PANDEMIK COVID-19

Dari Malaysia ke seluruh dunia !

Sejak bulan lalu, tular berita sehingga ke peringkat antarabangsa yang mengiktiraf langkah proaktif negara kita membendung penularan Covid-19 yang dilihat berkesan apabila kes jangkitan baharu semakin berkurangan.

Paling awal memberi kredit tentang sumbangan Malaysia ialah Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur .

Menerusi Twitter rasmi, pejabat itu berkongsi maklumat bahawa 65 peratus atau 225 bilion helai sarung tangan yang digunakan untuk mengekang Covid-19 oleh barisan wiranya didatangkan dari Malaysia!

Seorang pensyarah di Jabatan  Sains , Kajian Otak, Neurologi dan Psikologi , Universiti Washington, Missouri, Profesor Madya Jason Hassanstab pula yang berada di sini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan turut memuji tindakan pihak berkuasa dalam mengurus dan membendung penularan jangkitan pandemik COVID-19.

Katanya, kerajaan negara ini cemerlang dalam memastikan rakyatnya mematuhi setiap arahan sepanjang perintah itu dilaksanakan.

Terbaharu, menerusi satu video yang mendapat lebih sejuta tontonan  dihasilkan seorang doktor gigi kelahiran Negara Uncle Sam, Dustin Pfundheller turut menghamburkan pujian melambung sambil menyatakan kekaguman bagaimana Malaysia berjaya mengekang penularan pandemik ini berbanding negara – negara jiran lain.

Ironinya, setiap ‘sektor’ di negara ini seolah -olah terhubung dalam satu rantaian untuk memastikan Malaysia berjaya mengharungi detik sukar ini.

Turut tidak dapat dinafikan ialah peranan yang dimainkan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menerusi kerjasama strategik yang dirintis bertahun lalu.

Yang dimaksudkan ialah Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) milik Alibaba Group yang dilancarkan pada 2017 dengan kerjasama MDEC.

Menteri Komunikasi dan Multimedia , Datuk Saifuddin Abdullah bersama Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri menyatakan komitmen Malaysia memperkukuhkan peranan eWTP untuk membantu Alibaba Group menyalurkan barangan bantuan Covid-19

Menariknya, pembukaan eWTP ketika itu ialah untuk memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan menikmati akses seimbang ke pasaran global.

Berdasarkan situasi terkini yang menyaksikan pelbagai negara menutup pintu sempadan, firma teknologi itu mengumumkan eWTP yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ‘bertukar’ fungsi apabila dipilih sebagai satu daripada tiga hab global syarikat itu urusan penghantaran barangan bantuan perubatan.

Pemilihan itu sekaligus akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab perdagangan utama di rantau ini membabitkan operasi logistik ketika masyarakat global meneruskan usaha melawan virus berkenaan yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 280 000 orang di seluruh dunia.

Sebelum ini,  eWTP turut memainkan peranan penting apabila menjadi hab penghantaran untuk sebahagian bekalan perubatan yang disumbangkan ke Indonesia.

Ketika ini, yayasan dimiliki syarikat berkenaan dalam usaha meneruskan sumbangan kali kedua kepada negara – negara Asia termasuk Malaysia.

Menerusi sumbangan fasa kedua ini,  Alibaba merancang untuk menjadikan eWTP sebagai lokasi penerimaan sumbangan untuk Malaysia dan hab penyimpanan dan pemindahan sementara sebelum diagihkan ke negara – negara jiran dan seluruh dunia.

Ini membawa maksud, hab berkenaan bukan sekadar memanfaatkan rakyat negara ini yang terjejas tetapi turut memberi sumbangan kepada masyarakat global yang terkesan akibat pandemik berkenaan.

Sumbangan kali ini merangkumi hampir 80 tan bekalan perubatan termasuk topeng, alat ujian, pakaian pelindung diri, pelindung muka, sarung tangan dan ventilator yang akan dihantar menerusi beberapa penerbangan kargo dari China.

Pada 10 dan 11 Mei lepas, barangan bantuan berkenaan telah tiba di KLIA dengan bakinya dijangka menyusul dalam tempoh beberapa minggu akan datang .

Yayasan juga baru-baru ini mengumumkan sumbangan lebih dari 100 juta topeng muka dan sejuta alat ujian kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Alibaba akan bekerjasama rapat dengan WHO untuk memanfaatkan hab eWTP di KLIA, Malaysia;  Liege di Belgium dan Addis Ababa di Ethiopia serta kemudahan milik Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB)  di seluruh dunia untuk mengedarkan bekalan perubatan dengan cekap.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri pula berkata, selain menjadikan Malaysia sebagai hab penghantaran barangan, ia juga bertujuan untuk menyokong aspirasi e-dagang Malaysia seperti terkandung dalam Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan yang dilancarkan pada 2016.

“Menerusi pelan ini, sumbangan e-dagang untuk Produk Domestik Kasar (PDB) Malaysia disasarkan meningkat dengan mengoptimumkan kemudahan transformasi digital PKS terutamanya dalam penerapan e-dagang serta memperluaskan  eksport dan mempromosikan jenama tempatan untuk rentas sempadan,” katanya.

Ketika Malaysia dilihat menunjukkan perkembangan positif apabila kes sembuh melepasi 77 peratus, sudah tiba masanya kita membantu memudahkan urusan negara – negara lain yang dilihat masih bergelut untuk menghentikan penularan menerusi pengurusan strategik yang dimiliki negara kita.

Oleh Mohd Firdaus Ismail

© 2020 Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (389346-D). All rights reserved.