SELEBRITI TEMPATAN TUNJUK SOKONGAN KEPADA EDX MDEC

Ekspo e-dagang (eDX) secara maya terbesar negara anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang sedang berlangsung sehingga 8 Mei ini turut mendapat sokongan beberapa selebriti popular tempatan.

Mereka menggunakan platform media sosial masing – masing bagi meminta orang ramai supaya mengambil peluang menyertai ekspo berkenaan untuk mendalami selok – belok sektor  e-dagang di negara ini.

Ketika perasmian secara dalam talian pada Ahad lepas, aktor Fizo Omar yang sebelum ini telah beberapa kali bekerjasama dengan MDEC tampil selaku moderator mengemudi siri webinar pengenalan kepada eDX.

Menerusi  slot berkenaan, Fizo yang juga usahawan berkongsi pandangan tentang sektor e-dagang bersama Ketua Setiausaha , Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM); Datuk Suriani Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC; Surina Shukri, Ketua Pegawai Operasi MDEC; Datuk Ng Wan Peng serta Siti Zubaidah Zainuddin iaitu usahawan yang juga pemilik Laman Segar Resources.

Menurut Fizo, eDX merupakan satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan oleh usahawan tempatan.

“ Selain pendaftaran secara percuma, terdapat siri webinar yang akan mengajar usahawan bagaimana untuk bekerjasama dengan jenama e-dagang terkenal dunia,” katanya yang baru menghasilkan buku kisah hidupnya berjudul Bangkit Bila Bangkrap.

Selain Fizo, pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor juga menunjukkan sokongan kepada eDX menerusi laman Instagramnya.

Rosyam yang terkenal dalam filem KL Special Force menerusi instastory berkongsi tiga poster berkenaan eDX kepada lebih 1 juta pengikutnya.

Antara pesanan yang dititipkan bekas Bintang Paling Popular 2002 itu ialah “korang rasa, korang ada masa sakit kepala, nak aku bagi ubat pening kepala, esok dah start, tak payah korang ke sana ke sini,kat sini aja , percuma”,  katanya.

Bidang perniagaan termasuk pemasaran digital bukanlah sesuatu yang asing apabila Rosyam turut melibatkan diri dalam perniagaan dengan membuka pasar raya ST Rosyam Mart selain syarikat produksi Suhan Movies.

Sementara, aktress Datin Diana Danielle turut berkongsi keterujaannya menerusi video pendek kepada lebih 2.8 juta pengikut Instagramnya berkenaan eDX.

Diana berkata, semalam merupakan hari yang produktif buat dirinya kerana menyertai siri webinar e-dagang anjuran MDEC yang memberikan pelbagai pengalaman berguna.

“ Mereka ajar anda bagaimana untuk mencipta akaun Facebook atau Instragram perniagaan malahan turut memberikan ilmu dan tips bagaimana sekiranya usahawan mahu mengeksport produk ke luar negara,” katanya.

Lebih menarik lagi, menurut pemenang Pelakon Filem Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2009 itu, pendaftaran menyertai eDX adaah secara percuma dan menyeru peminatnya mengambil peluang itu.

Sementara itu, model antarabangsa Malaysia, Amber Chia turut tampil menyatakan sokongan kepada eDX.

Amber berkata , ketika memulakan karier sebagai model beberapa tahun lalu, sektor e-dagang tidak begitu mendapat perhatian masyarakat,

Namun katanya, keadaan mula berubah apabila e-dagang dan perniagaan dalam talian kini sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat.

“  Saya turut belajar pelbagai perkara baharu dalam eDX semalam. Jadi anda juga harus mengambil peluang ini,” katanya.

Sementara itu, Surina berkata,  eDX antara lain merupakan inisiatif bagi menggalakkan para usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membawa operasi luar talian mereka ke pasaran dalam talian. eDX yang berlangsung mulai 4 hingga 8 Mei 2020 bertujuan untuk memenuhi keperluan mendesak usahawan mikro dan PKS untuk menerima e-dagang bagi mengurangkan impak yang sedang dihadapi akibat COVID-19.

Para pakar bidang e-dagang juga telah turut sama untuk berkongsi pengetahuan mereka dan memberikan nasihat. Antara topik utama termasuklah cara menyediakan kedai dalam talian dengan menggunakan alat harian yang mudah seperti telefon pintar hinggalah menyenaraikan produk di tapak e-pasaran dan memahami selok-belok tentang kaedah meningkatkan jualan di peringkat domestik dan untuk eksport. Untuk mendapatkan tempat anda atau mengikuti sesi eDX, sila layari dan daftar sekarang di www.go-ecommerce.my/eDX

© 2020 Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (389346-D). All rights reserved.