Pantai Chenang bersedia pembayaran tanpa tunai

Sinaran matahari yang membahang pada tengah hari di sekitar Pantai Chenang, Langkawi benar-benar  ‘membakar’ kulit dan melemahkan kelopak mata.

Namun sesekali tiupan angin Monsun Timur Laut menyuntik kesegaran untuk terus mengatur langkah di sekitar lokasi pelancongan popular itu.

Kebiruan air laut, pantai pasir yang memutih, puluhan pokok kelapa teguh berdiri serta warna-warni kedai cenderahati, seolah-olah menjerit memanggil pengunjung.

Tidak terkecuali penulis yang sebenarnya ada ‘misi’ di situ. Bukanlah mahu bercanda sambil menikmati pesona Pantai Chenang, tetapi sekadar mahu bertanya khabar kepada ‘alumni’ 100 Go Digital anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di pulau lagenda itu pada Oktober tahun lepas.

Berlangsung pada 3 Oktober 2019, program ini merupakan inisiatif MDEC bersama Langkawi Development Authority (LADA), dan Majlis Perbandaran Langkawi untuk membantu pemilik perniagaan tempatan mengaplikasikan teknologi digital dalam urusan mereka.

Antara yang menyertai program berkenaan ialah syarikat agensi pelancongan Melati Tanjung Holiday yang menjadikan Pantai Chenang sebagai ‘markas’ mereka.

Pengurus Operasinya, Mohd Norfaisal Razali yang menghadiri program berkenaan berkata, syarikat kini semakin mengorak langkah dalam mendigitalkan perniagaan mereka.

Ujar beliau antara input menarik yang dipelajari ialah berkenaan kaedah payment gateway selain sedang menaik taraf laman web perniagaan mereka.

Katanya, banyak yang dipelajari dalam program berkenaan sekaligus membantu mereka membuat penambahbaikan.

“ Kaedah payment gateway yang didedahkan sewaktu kursus berkenaan kini menjadi pertimbangan penting kepada syarikat untuk melaksanakannya dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurut Mohd Norfaisal, ini kerana pelanggan mereka terdiri daripada pelancong asing dan pembayaran tanpa tunai akan memudahkan pelancong.

Ditanya mengenai perancangan syarikat, beliau memaklumkan Melati Tanjung Holiday kini mengorak langkah apabila turut menyediakan kemudahan dewan seminar yang boleh memuatkan 40 orang untuk setiap sesi di Pantai Chenang.

Dewan berkenaan dijangka akan beroperasi pada bulan ini dan kini berada pada peringkat akhir penyediaan.

#BinaBersama #100GoDigital #PantaiChenang

© 2020 Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (389346-D). All rights reserved.