Impak kursus eUsahawan, pembuat kraftangan Orang Asli kini lebarkan perniagaan chalet

Alumni peserta kursus eUsahawan anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Helmi Naim Ahmad teruja apabila perniagaan kraftangan yang diusahakan secara kecil-kecilan kini mampu berkembang sehingga mewujudkan cabang perniagaan baharu iaitu chalet.

Helmi, 25, yang juga pemuda masyarakat Orang Asli suku Temuan di Kampung Ulu Chembong, Rembau, Negeri Sembilan  berkata, jenama Temuan Abo Craft kini semakin dikenali malahan mula menarik perhatian pelancong antarabangsa.

Berkongsi pengalaman dengan MDEC, Helmi berkata, dia menyertai kursus berkenaan pada 2018 yang memberi input berguna bagaimana untuk mempromosikan perniagaan secara digital melibatkan penggunaan Facebook.

“Sejak itu, saya mendapati permintaan terhadap kraftangan semakin meningkat sehingga mencecah 70 peratus berbanding jualan sebelum itu.

“Saya mendapat idea baharu iaitu membina beberapa unit chalet di sekitar kawasan bengkel kraftangan kerana lokasinya terletak  berhampiran sungai, hutan dan gunung yang mempunyai tarikan alam semula jadi,” katanya.

Menurutnya, chalet berkenaan menjadi pilihan pelajar sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi untuk aktiviti kem motivasi dan sebagainya.

Kata Helmi, ekoran wujud perniagaan baharu, dia terpaksa menggaji dua pekerja tetap dan mengambil beberapa orang pekerja separuh masa yang terdiri daripada penduduk kampung untuk membantu melancarkan perniagaan.

“Lebih mengujakan, chalet saya kini turut menjadi pilihan pelancong luar dari Mexico, Jerman, Afrika Selatan, Korea Selatan dan China,” katanya.

Ditanya tentang perancangan tahun ini, Helmi berkata, dia dalam proses membina taman herba berhampiran chaletnya.

“Taman berkenaan kelak akan ditanam dengan pokok-pokok herba yang sering digunakan oleh penduduk kampung di sini sekaligus memberi pengalaman baharu kepada pengunjung,” katanya.

Ditanya tentang ‘cinta pertamanya’ iaitu penghasilan kraftangan, Helmi berkata, dia tetap memberi tumpuan kepada perniagaan itu malahan pada tahun ini bercadang untuk mengeluarkan perabot jenis resin yang masih baharu di negara ini.

“Selain itu, saya turut aktif menyertai beberapa seminar dan pameran melibatkan kraftangan di seluruh negara dalam usaha memperkenalkan lagi produknya.

“Pada tahun ini, saya juga bercadang untuk lebih aktif di platform digital bagi memastikan dapat melebarkan jaringan perniagaan dan seterusnya menarik segmen pelanggan baharu,” katanya.

#BinaBersama #eUsahawan

© 2020 Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (389346-D). All rights reserved.