USAHAWAN AYAM GORENG RM1 RAIH BELASAN RIBU RINGGIT SELEPAS DIGITALKAN PERNIAGAAN

Ketika Mohd Hanif Mahtyudin, 20, mengasaskan HM Wholesale Management & Services, dia sekadar mahu meneruskan legasi keluarganya yang terlibat dalam perniagaan makanan.

Mula menjual ayam goreng RM1 di tepi jalan, anak kelahiran Johor itu kemudian menyedari dia perlu melakukan perubahan untuk memastikan perniagaannya berkembang.

Menyertai kursus anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), pelajar jurusan perakauan itu kemudian didedahkan dengan ilmu pemasaran digital.

 Sejak itu, anak muda ini tidak lagi menoleh ke belakang apabila pendapatannya mencatatkan peningkatan sebanyak 180 peratus.

“ Sebelum ini saya jual ayam goreng secara offline sahaja. Selepas sertai program eUsahawan MDEC, saya menyedari kepentingan platform digital dan mula mengemaskini Facebook, Instagram serta mewujudkann laman sesawang perniagaan.

“ Kini saya tidak hanya mempunyai pelanggan di Johor sahaja kerana sudah terdapat permintaan termasuk dari luar negara. Setiap minggu pula boleh dikatakan agak sibuk kerana perlu menghantar produk ke seluruh negara,” katanya.

Mohd Hanif baru-baru ini terpilih menerima Anugerah Hero Muda sempena  Sidang Kemuncak eUsahawan anjuran MDEC dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sidang berkenaan telah berlangsung meriah dengan dihadiri lebih 2,000 usahawan muda yang berjaya meningkatkan prestasi perniagaan masing-masing selepas menyertai pelbagai kursus anjuran MDEC.

Majlis itu turut menghimpunkan beberapa tokoh termasuk bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Presiden Kumpulan AirAsia (RedBeat Ventures), Ketua Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri yang berkongsi pengalaman mereka dalam dunia perniagaan dan korporat.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu menjadi bukti pembangunan usahawan muda dan digital di negara ini mencapai tahap membanggakan apabila seramai 328 948 orang telah dilatih sejak 2015 dengan transaksi jualan mencecah RM668 juta.

Seorang lagi penerima anugerah Hero Muda Usahawan, Siti Zubaidah Zainuddin,34, yang menjalankan perniagaan membekalkan makanan laut dinamakan Laman Segar turut teruja berkongsi cerita tentang kejayaan perniagaannya selepas menyertai kursus eUsahawan anjuran MDEC.

Beroperasi di Melaka, Siti Zubaidah berkata, pada mulanya dia hanya memasarkan produknya di negeri itu sahaja dan hanya bergantung kepada Facebook peribadi sebagai medium promosi.

Bagaimanapun selepas menyedari kursus eUsahawan pada 2017, dia mula didedahkan dengan Google Trends selain kaedah promosi digital lain yang lebih berkesan.

“ Sejak itu pendapatan saya mula meningkat sehingga mencecah lima kali ganda apabila pelanggan di luar Melaka seperti Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur mula menghubungi untuk mendapatkan produk saya. Kepada usahawan lain, saya menggalakkan anda menyertai kursus-kursus yang disediakan oleh MDEC,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkaitan kursus eUsahawan, layari www.go-ecommerce.my

#BinaBersama #eUsahawan

© 2020 Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (389346-D). All rights reserved.