Salam Sejahtera.
Kami mengambil maklum berkenaan dengan penularan mesej daripada pihak tidak bertanggung jawab menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram, iMessages dan media sosial yang mengaku sebagai wakil daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan menawarkan perkhidmatan pelaburan berbayar, peluang pekerjaan palsu serta program dan/atau pakej kepada orang awam.
Kami menegaskan bahawa mesej ini ialah PENIPUAN dan MDEC serta petugasnya tidak terlibat dengan sebarang mesej berunsur penipuan berkenaan dan tidak pernah membuat permintaan sedemikian. Kami merujuk perkara ini kepada perundangan jika berlaku sebarang salah penyataan dan pelanggaran terhadap hak kami.
MDEC ialah agensi peneraju ekonomi digital Malaysia. Kami menyediakan program sokongan dan bantuan dalam merancakkan pertumbuhan serta memacu pelaburan digital menerusi Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Tempatan (DDI).
MDEC juga berperanan dalam memupuk ekonomi digital yang progresif, inklusif dan mampan menerusi inisiatif dan program yang membangunkan kemahiran digital, memangkinkan syarikat pemula teknologi dan mengembangkan bakat digital masa depan.
Dimaklumkan juga MDEC TIDAK menjalankan skim pelaburan kepada pengguna. Kami juga TIDAK menawarkan peluang pekerjaan secara langsung khususnya seperti yang dinyatakan dalam tangkapan skrin yang dilampirkan.
MDEC memandang serius perkara ini dan kami merancang untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap pihak yang melakukan penipuan berkenaan. Kami juga menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga jika menerima mesej penipuan dengan:
- Tidak membalas mesej spam atau memberi sebarang maklumat peribadi dan kewangan.
- Tidak berkongsi atau memajukan mesej berkenaan kepada rakan-rakan dan keluarga. Beri amaran kepada mereka berkenaan mesej yang mencurigakan.
- Tidak klik pada mana-mana pautan atau memuat turun sebaran lampiran daripada mesej berkenaan, dibimbangi mengandungi perisian hasad atau virus berbahaya.
- Untuk penjelasan, anda boleh hubungi MDEC Customer Service (CliC) menerusi platform ini:
E-mel : [email protected]
Terima kasih atas perhatian anda.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)