LEMBAGA PENGARAH
Bagi menavigasi ekonomi digital yang rumit dan berubah dengan pantas, MDEC telah memilih pasukan pengurusan yang berpengetahuan luas serta dinamik. Lembaga Pengarah ini terdiri daripada wakil – wakil daripada sektor kerajaan dan korporat.

Lembaga Pengarah bertanggungjawab terhadap inisiatif membabitkan teknologi negara termasuk arahan, pengawasan strategik atau pengurusan. Bersandarkan gabungan kepelbagaian yang berkepakaran tinggi, inilah pasukan terbaik untuk membimbing MDEC ke arah ekonomi yang berteraskan teknologi.
 
 
YBHG. DATUK WIRA DR HJ. RAIS HUSSIN MOHAMED ARIFF
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
YBhg. Dr Rais Hussin adalah geostrategis, penulis prolifik, usahawan dan ahli akademik. Beliau juga merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research yang terlibat dengan penyelidikan berdasarkan data mengenai isu nasional serta antarabangsa. Dr Rais mempunyai pengalaman korporat yang luas lebih 23 tahun dalam memimpin dan mengurus syarikat telekomunikasi dan teknologi maklumat bagi sektor tempatan dan antarabangsa.

Beliau secara aktif mempromosikan pelaburan masuk, teknologi dan pelaksanaan projek mega berteknologi tinggi di Malaysia dan pasaran serantau yang berpotensi di ASEAN. Antara isu yang menarik perhatiannya termasuk perubahan besar yang mengganggu, data besar, penggunaan ekonomi berdasarkan aplikasi, algoritma dan kecerdasan buatan. Berlandaskan ilmu pengetahuan, strategi, komunikasi dan undnag -undnag, Dr Rais berusaha meyakinkan kerajaan untuk mengukuhkan kerjasama sektor swasta dan awam seperti dicadangkan oleh Bank Dunia untuk manfaat bersama.

Dr Rais Hussin memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian), Sarjana Pengurusan dan Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
 
YBRS. PN. AFIDAH AZWA BINTI ABDUL AZIZ
Timbalan Setiausaha Bahagian Penilaian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan
YBrs. Pn Afidah Azwa Binti Abdul Aziz dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MDEC pada 16 Oktober 2018. Sebelum itu, beliau turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) pada 19 November 2015. Pn Afidah berkhidmat sejak 2013 dan kini merupakan Timbalan Wakil Setiausaha Bahagian Penilaian Pelaburan di Bahagian Pelaburan Strategik , Kementerian Kewangan sejak Ogos 2017. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah TEKUN Nasional sejak 15 Oktober 2015.

Puan Afidah memulakan kariernya dalam bidang perbankan setelah menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi pada 1999. Pada 2009, beliau menamatkan pengajian Sarjana Ekonomi (Pembangunan) di Universiti Putra Malaysia (UPM).
 
 
 
YBHG. PROFESSOR DATO’ DR HALIMAH BADIOZE ZAMAN F.A.SC
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif  
YBhg. Profesor Dato Dr Halimah Badioze Zaman dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MDEC pada 5 April 2019. Dato Dr Halimah telah menjawat pelbagai jawatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama 39 tahun termasuk sebagai salah seorang pengasas Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat di universiti berkenaan. Ketika ini, beliau juga merupakan Pengarah Institut Informatik Visual UKM.

Dr Halimah telah memainkan peranan penting dalam pelbagai kerjasama dengan pemimpin industri. Melalui kerjasama berkenaan, beliau telah menerima pelbagai anugerah berdasarkan penemuan dan kajian inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
 
YBRS. MOHD YUZAIDI MOHD YUSOFF
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif 
YBrs. Mohd Yuzaidi Mohd Yusoff dilantik sebagai anggota Lembaga Pengarah pada 5 April 2019. Mohd Yuzaidi berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang perundingan dan keusahawanan di Asia termasuk menguruskan portfolio perdagangan untuk pelbagai syarikat dan industri. Mohd Yuzaidi juga adalah pengasas syarikat Clear Minds Sdn. Bhd. . Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah nominasi untuk beberapa syarikat pelaburan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan merupakan Ketua Strategi Kumpulan dan Pegawai Tadbir Urus Korporat untuk PST Ventures Sdn Bhd.

Yuzaidi adalah Ketua Forum Profesional Muslim (MPF), sebuah kumpulan intelektual yang ditubuhkan untuk berdialog mengenai isu-isu yang menyentuh kepercayaan, amalan, budaya, sosial dan pemikiran Islam. Pada 1 Julai 2019, beliau dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Bank Islam. Beliau juga berperanan sebagai Lembaga Pemegang Amanah bagi PADU Corporation, unit prestasi dan penyampaian rangka tindakan pendidikan di Kementerian Pendidikan.
 
 
 
YBRS. LEE CHIN CHEH
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif  
YBrs. Lee Chin Cheh dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MDEC pada 6 Ogos 2020.Beliau berjaya mengasaskan firma guamannya pada 1997. Reputasi hebat yang dimilikinya Lee menyebabkan beliau mendapat kepercayaan pelbagai syarikat awam dan swasta di Malaysia, Singapura, Indonesia, Jerman dan Australia yang ingin mendapatkan khidmatnya. Beliau yang berpengalaman lebih 23 tahun mempunyai kepakaran bidang konsultasi dan menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan penggabungan dan pengambilan syarikat rentas sempadan.

Lee juga merupakan seorang activis political Dan karier politik beliau bermula pada 1997 dan pernah menjadi ahli di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Lee juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang setelah menang kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

Sejak 2018, beliau dilantik sebagai Pegawai Tugas – Tugas Khas kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Lee mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, LLB (Kepujian) dari University of Wolverhampton, United Kingdom.
 
YBRS. PROFESOR MADYA DR MUHAMMAD ABDULLAH BIN ZAIDEL
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif  
YBrs. Professor Dr Muhammad Abdullah Bin Zaidel dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MDEC pada 6 Ogos 2020.Beliau mempunyai pengalaman luas dan kepakaran dalam bidang kewangan dan pengurusan perniagaan untuk melonjakkan sektor berkenaan di Sarawak.

Beliau memiliki Ijazah Kedoktoran Kewangan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan ijazah bidang sama dari UiTM. Dari 2019, Dr Muhammad Abdullah adalah alumni Harvard Business School, Harvard University. Dr Muhammad Abdullah pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, UNIMAS bermula 2008 hingga 2017. Beliau turut berpengalaman dalam sektor korporat apabila menjadi Pengurus Kanan di KAF Seagroatt & Campbell Securities Sdn. Bhd. dan Pengurus di CIMB Securities Sdn Bhd. Ketika ini beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Perundingan Gaji Negara, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, Land Custody Development Authority dan Petroleum Sarawak Bhd.
 
YBRS. AIREEN OMAR
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif
YBrs. Aireen Omar dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MDEC pada 3 November 2020. Aireen Omar merupakan Presiden Kumpulan AirAsia (AirAsia Digital) yang bertanggungjawab terhadap strategi digital, mempromosikan inovasi dalam kumpulan dan mendorong kerjasama seluruh perniagaan dan pasaran AirAsia.Beliau memainkan peranan penting untuk melaksanakan inisiatif berhubung strategi digital syarikat penerbangan berkenaan dan memacu Kumpulan AirAsia menjadi syarikat global berasaskan teknologi awam (cloud) dan data. Menerusi RedBeat Ventures pula, Aireen bertanggungjawab memupuk dan mengembangkan perniagaan digital dan teknologi kewangan seperti BigLife, BigPay, Teleport, Santan dan mengubah airasia.com menjadi lebih daripada sekadar platform syarikat penerbangan.

Aireen memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari London School of Economics dan Science (LSE) dan Ijazah Sarjana bidang sama dari Universiti New York, Amerika Syarikat.
YBRS. DR DHESI BAHA RAJA
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif
YBrs. Dr Dhesi Baha Raja dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MDEC pada 3 November 2020. Dr. Dhesi memiliki Ijazah Sarjana Kesihatan Awam dan perubatan (Doktor Kesihatan Awam) dan sangat meminati bidang sains data dan AI. Salah satu sumbangan utamanya kepada negara ialah penciptaan i-kelahiran iaitu perisian yang merekod data kelahiran, jadual imunisasi dan mengesan kehamilan berisiko tinggi dengan tepat. Teknologi ini kemudian digunakan di hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara. Setelah memenangi hadiah pertama dalam Pertandingan Impak Global, Dr. Global menerima biasiswa ke Singularity University di Lembah Silikon yang mana beliau bersama-sama pasukan penyelidik telah mengasaskan AI dalam perubatan Epidemiologi iaitu perisian yang berkemampuan untuk mengenal pasti wabak maut tiga bulan lebih awal serta berupaya mengenalpasti lokasi pesakit dalam radius sehingga 400 meter.

Beliau juga penah menerima jemputan Canselor Jerman, Angela Merkel yang berminat untuk mendengar taklimatnya berhubung AI bagi mencegah anti mikrob terkait penggunaan teknologi untuk menyelesaikan masalah di negara itu. Dr. Dhesi juga merupakan salah seorang pakar yang merancang penggunaan teknologi untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari bagi PBB dalam pertemuan membabitkan pakar- pakar seluruh dunia di New York dan Geneva.
YBrs. FAROUK PETER LEE
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif
YBrs. Farouk Peter Lee dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MDEC pada 3 November 2020. Farouk Peter Lee mempunyai pengalaman luas dengan syarikat multinasional global dan kini merupakan Pengurus Besar Bagi Pasaran Asia untuk Operasi Kumpulan AXA yang bertanggungjawab menguruskan penyampaian perkhidmatan bersama IT (Infrastruktur dan Aplikasi) bagi perniagaan AXA di Asia. Lee juga merupakan Pengerusi AXA Group Operations Hong Kong dan Ahli Lembaga Eksekutif AXA Group Operations Malaysia dan Filipina.

Beliau juga memiliki pengalaman lebih 25 tahun memimpin dan mendorong operasi dan perubahan IT sekaligus melonjakkan industri insurans dan perbankan di seluruh Asia seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Korea Selatan,China dan Hong Kong. Lee telah memainkan peranan dalam memimpin Accenture, DXC Technologies, New York Life Insurance, Zurich Insurance, MetLife dan AXA. Beliau merupakan lulusan Universiti Brown, Amerika Syarikat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.
YBRS. JALEELUDEEN ABU BAKER
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif
YBrs. Jaleeludeen Abu Baker dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MDEC pada 3 November 2020. Jaleeludeen Abu Baker ketika ini merupakan Pengarah Undang-Undang dan Pentadbiran di AHB International Berhad dan juga Pengarah Eksekutif Antah Holdings Berhad. Beliau juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang diamanahkan untuk melakukan rombakan dan penstrukturan semula syarikat Antah Group. Antara tugas yang dilaksanakan ialah memperbaiki pelbagai masalah tadbir urus korporat. Jaleeludeen juga melakukan tinjauan undang-undang dan korporat yang komprehensif terhadap portfolio pelaburannya dan memimpin penyelesaian pertikaian yang wujud.

Beliau juga merupakan Pengarah di SAB Global, pemilik dan pengurus pusat Pembelajaran dan Peningkatan Kanak-kanak Axiom di Malaysia. Sebelum ini, beliau memimpin perniagaan perkhidmatan wang berlesen dan mewakili industri pertukaran wang tempatan pada Laporan Penilaian Bersama 2014 bagi mengenai pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan di Malaysia. Jaleeludeen memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan diterima sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya pada 1995. Beliau juga merupakan Pegawai Amanah yang diluluskan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Setiausaha Syarikat berlesen dan Ahli Jawatankuasa Institut Setiausaha Syarikat yang diluluskan (IACS).