MDEC Media Release
KEMENTERIAN DIGITAL DAN MDEC LANCAR PEJABAT EKONOMI DIGITAL WILAYAH (RDEO) SELATAN BUKA PELUANG PEKERJAAN DIGITAL DAN PERKASA EKONOMI SETEMPAT

16.04.2026

| Digital Economy | Industry | Investment | Investors

JOHOR BAHRU, 16 APRIL 2026 – Kementerian Digital bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) hari ini melancarkan Pejabat Ekonomi Digital Wilayah (RDEO) Selatan, satu inisiatif strategik bagi mempercepat pelaksanaan agenda digital dan kecerdasan buatan (AI) di peringkat negeri, sekali gus mengukuhkan peranan Wilayah Selatan sebagai pemacu utama ekonomi digital negara serta memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan digital dan pendapatan perusahaan tempatan.

Pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo merupakan langkah signifikan dalam memperkukuh keberkesanan pelaksanaan dasar dan inisiatif digital negara dilaksanakan secara lebih terselaras, berimpak tinggi serta berpaksikan keperluan negeri, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030.

RDEO Selatan, yang merangkumi negeri Johor, Melaka dan Pahang, berfungsi sebagai hab penyelarasan dan pelaksanaan yang menghubungkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pemain industri, institusi akademik serta komuniti bagi membina dan memperkukuh ekosistem digital dan AI di wilayah ini.

Bersempena ulang tahun ke-30 penubuhan MDEC, pelancaran ini turut menandakan evolusi peranan MDEC daripada peneraju pembangunan digital kepada agensi pelaksanaan di peringkat wilayah yang memacu impak dasar secara langsung kepada negeri dan industri.
Dalam ucapannya, YB Menteri Digital menegaskan bahawa Wilayah Selatan berada pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai hab AI negara. Keupayaan ini disokong oleh asas perindustrian yang kukuh, keterhubungan rentas sempadan, serta inisiatif utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Zon Kewangan Khas Forest City (FC-SFZ) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).

“Kementerian Digital akan melaksanakan insiatif berfokus di Johor, termasuk Zon Pembangunan AI (AI Development Zone (ADZ)) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor, agensi berkaitan serta pihak industri swasta. Kedudukan strategik Johor sebagai pintu masuk ke ASEAN menjadikannya lokasi tumpuan bagi pelaburan digital dan kecerdasan buatan. Langkah strategik ini menyokong pembangunan Wilayah Selatan sebagai kluster digital dan AI yang signifikan di peringkat nasional dan serantau,” katanya.

Perkembangan ini mencerminkan momentum pertumbuhan yang semakin kukuh melalui pertumbuhan ekosistem digital serta peningkatan pelaburan di peringkat wilayah.

Sehingga kini, terdapat lebih 4,300 syarikat Malaysia Digital (MD) di seluruh negara, termasuk 199 syarikat yang beroperasi secara aktif di Wilayah Selatan. Dari Januari hingga pertengahan April 2026, jumlah pelaburan digital di peringkat nasional mencecah RM86.7 bilion, dengan Johor menyumbang sebanyak RM44.4 bilion atau 51% daripada keseluruhan pelaburan tersebut.

Pencapaian ini mencerminkan kekuatan, keyakinan serta potensi besar Johor sebagai peneraju pertumbuhan ekosistem digital dan AI di peringkat wilayah dan negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, berkata penubuhan RDEO Selatan memperkukuh lagi keupayaan negara untuk menterjemah aspirasi digital dan AI kepada hasil yang nyata di peringkat wilayah.

“Pejabat ini memperkukuh pelaksanaan nisiatif melalui kerjasama srategik merentas sektor serta memperkasa ekosistem digital. Ia turut merancakkan pelaburan digital berkualiti tinggi dan membuka peluang ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada rakyat dan perniagaan tempatan, di samping menyokong pembangunan bakat digital.

“Malaysia terus dipacu oleh dasar digital yang proaktif, khususnya dalam bidang AI serta pembangunan bakat, yang meletakkan negara sebagai hab kecemerlangan digital di peringkat serantau. Kerjasama antara sektor awam dan swasta terus memperkukuh kepimpinan negara dalam AI sekali gus memacu impak transformasi merentas sektor seperti pembuatan, kewangan dan perkhidmatan,” kata Anuar.

MDEC komited untuk menyokong Malaysia mencapai sasaran sumbangan 30% ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, di samping memperkukuh daya saing perniagaan, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta membangunkan tenaga kerja digital yang bersedia menghadapi masa hadapan.

Melalui RDEO Selatan, tumpuan akan diberikan kepada pendigitalan perniagaan, peluasan penerimagunaan AI serta peningkatan produktiviti perusahaan di peringkat negeri. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan digital bernilai tinggi, peningkatan kemahiran serta akses yang lebih luas kepada perkhidmatan dan peluang ekonomi digital.

​​​​​​​​​​​Pelancaran RDEO Selatan ini menandakan anjakan strategik dalam memperkukuh pertumbuhan ekonomi digital negara dengan penekanan kepada pelaksanaan berfokus Wilayah Selatan sebagai hab inovasi, pemerkasaan ekosistem, pelaburan serta penciptaan nilai jangka panjang kepada rakyat dan negara.

– TAMAT –

Share this:

PRESS RELEASES

Memperkukuh Johor dan Wilayah Selatan sebagai Hab AI dan Pemacu Pertumbuhan Ekonomi Digital Negara

LATEST NEWS
RELATED NEWS