MDEC TERUS PERKASA USAHAWAN DAN TINGKATKAN KUALITI HIDUP MASYARAKAT DIGITAL MENERUSI JSD @ TEMERLOH

21.09.2024

| Digital Economy | Industry | Investment | Investors | lets-learn-digital | Rakyat

TEMERLOH, PAHANG - 21 SEPTEMBER 2024 - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah Kementerian Digital (KD), hari ini menganjurkan siri ke-19 program Jelajah Saya Digital (JSD) bagi tahun 2024, bertempat di Semantan Walk, Bandar Sri Semantan, Temerloh. Program kali ini dianjurkan bersama Pahang Go Sdn Bhd sebagai Rakan Pelaksana untuk penganjuran JSD di negeri Pahang. Program dua hari ini berlangsung dari 21 hingga 22 September dan dijangka menarik kira-kira 2,000 pengunjung.

 

Seiring dengan hasrat Kementerian Digital yang memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu Kerajaan Digital, Ekonomi Digital dan Masyarakat Digital, JSD adalah kesinambungan daripada Kempen Saya Digital yang diperkenalkan pada tahun 2020. Ia  bertujuan untuk membantu meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran ekonomi digital.

 

Inisiatif ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memperkasakan rakyat dalam menangani kos sara hidup, sambil meningkatkan kesedaran tentang kepentingan teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar. Langkah ini juga selari dengan tonggak Pelan Digital Pahang 2021-2025, yang bertujuan menjadikan Pahang sebagai hab ekonomi dinamik melalui penggunaan teknologi digital, seterusnya menarik pelaburan bernilai tinggi dan menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, terutamanya kepada bakat muda tempatan.

 

Program JSD menumpukan kepada empat teras utamanya iaitu Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance, dan Saya Digital Kerjaya di mana ia memberi manfaat kepada B40, graduan menganggur, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), pelajar sekolah dan universiti, serta usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS). Dengan mengambil peluang yang ada, golongan sasaran ini dapat memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi digital negara.

 

Tahun ini, MDEC menyasarkan seramai 40,000 peserta akan menyertai program JSD di 31 lokasi. Setakat ini seramai 37,891 rakyat dari seluruh negara telah menyertainya acara secara fizikal dan atas talian malah mendapat manfaat daripadanya menerusi. Daripada jumlah itu, seramai 1,004 peserta adalah dari negeri Pahang.

 

Menerusi JSD, MDEC juga telah melaksanakan beberapa program lain antaranya program eUsahawan dan MyDigitalMaker. Dalam program eUsahawan, seramai 564,629 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan di seluruh negara, dengan mencapai jualan terkumpul melebihi RM1.26 bilion. Dari jumlah itu, seramai 27,495 usahawan dari Pahang telah berjaya menjana jualan terkumpul melebihi RM46.61juta. Sementara itu, program MyDigitalMaker pula telah memberi impak kepada lebih 32,000 pelajar sekolah di seluruh negeri Pahang melalui penglibatan dalam aktiviti pembuatan digital.

 

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program JSD @ Temerloh, termasuk sesi perkongsian Kesedaran Keselamatan Siber oleh PDRM. Bagi usahawan PMKS, terdapat demonstrasi praktikal seperti teknik pemasaran digital pantas dan cara menggunakan aplikasi TikTok untuk meningkatkan jangkauan serta hasil jualan.

 

Siaran langsung program e-Sukan kali ini turut menarik lebih 300 penyertaan, di samping pelbagai acara lain seperti pertandingan karaoke dan cabutan bertuah. Selaras dengan Pelan Digital Pahang yang menekankan kepentingan literasi digital, sesi perkongsian yang memberi tumpuan kepada warga emas mengenai tren Kecerdasan Buatan (AI) dan penggunaan aplikasi digital untuk memantau kesihatan juga menjadi tarikan utama di JSD kali ini.

 

JSD @ Temerloh telah dirasmikan oleh YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC bersama YBrs. Tuan Haji Suris Mihat, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh.

 

Rakan-rakan strategik MDEC yang terlibat dalam JSD @ Temerloh iaitu PahangGo Sdn Bhd, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TM-Unifi Business, PDRM, MIMOS Berhad (MyDigital ID) dan MyDigitalMaker turut mengadakan sesi perkongsian masing-masing dalam program ini.

 

Sila layari https:// mdec.my/sayadigital untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai Jelajah Saya Digital.

 

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Komunikasi Korporat

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

 

-TAMAT-

Share this:

PRESS RELEASES

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah Kementerian Digital (KD), hari ini menganjurkan siri ke-19 program Jelajah Saya Digital (JSD) bagi tahun 2024, bertempat di Semantan Walk, Bandar Sri Semantan, Temerloh. Program kali ini dianjurkan bersama Pahang Go Sdn Bhd sebagai Rakan Pelaksana untuk penganjuran JSD di negeri Pahang. Program dua hari ini berlangsung dari 21 hingga 22 September dan dijangka menarik kira-kira 2,000 pengunjung.

LATEST NEWS
RELATED NEWS