Website Perniagaan Siap Dalam Dua Minit

15.01.2020

https://youtu.be/gLxb_h3MV_4

Laman web perniagaan boleh disiapkan dalam tempoh dua minit sahaja? Bunyinya tidak masuk akal namun tahukah anda sebuah syarikat teknologi tempatan berkeupayaan mendigitalkan perniagaan anda sekelip mata.

Bagaimanapun, terdapat ‘dua syarat asas’ yang perlu dipenuhi iaitu yang pertama, perniagaan anda (tidak kiralah menjual keropok, produk kayu atau barangan sukan) mestilah mempunyai laman Facebook rasmi. Contohnya Keropok Lekor Ayu atau Perabot Hero.

Seterusnya anda perlu mempunyai akses sebagai admin untuk laman Facebook berkenaan.

Syarat berkenaan dikenakan Akademi Usahawan Mikro terhadap usahawan yang mahu mendigitalkan perniagaan mereka sekiranya mahu menggunakan khidmat syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro, Abd Azharee Abdul Wahid berkata, pihaknya menyedari terdapat usahawan beranggapan bahawa mempunyai laman web perniagaan merupakan proses yang rumit serta memakan masa namun namun pihaknya mempunyai kepakaran untuk mendigitalkan perniagaan sekelip mata.

“ Usahawan yang mahu mendigitalkan perniagaan boleh mengunjungi laman web Digasto dan syarikatnya yang beroperasi di Bandar Sunway,  Selangor.

“ Sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 79 syarikat telah mendapatkan perkhidmatan kami untuk menggunakan aplikasi ini. Selepas pendaftaran, kami membimbing mereka di akademi untuk belajar kaedah yang betul setelah mendigitalkan perniagaan.

“ Antara yang didedahkan, ilmu tentang eCommerce dan sebagainya kerana kita mahu usahawan ini cross border dan tidak statik dalam negara sahaja. Tambahan pula, laman web yang dibangunkan kami untuk peniaga ini mudah dikendalikan,” katanya ketika ditemui baru -baru ini.

Menurut Abd Azharee, antara usahawan terawal yang menggunakan khidmatnya ialah Katta Kayu iaitu syarikat perabot yang beroperasi di Hulu Langat, Selangor.

Pemilik Katta Kayu, Fazli Shah Simpon berkata, sebelum ini syarikatnya hanya menggunakan Facebook sahaja namun beliau menyedari perlunya laman web untuk membina profail perniagaan.

“ Masalah yang dihadapi sebelum ini ialah apabila jumpa syarikat yang tawarkan untuk menghasilkan laman web, ia memakan masa untuk disiapkan selain tidak praktikal tetapi menerusi kerjasama dengan Digasto, saya mendapati ianya sangat mudah,” katanya.

Isteri Fazli Shah, Ilmi Shukri Khodori yang turut terlibat menguruskan perniagaan perabot itu berkata, dia hanya menghabiskan masa selama empat jam di Akademi Usahawan Mikro untuk belajar selok-belok menguruskan laman web yang dibangunkan Digasto.

Katanya, pada bulan kedua mempunyai laman web, mereka mendapati peningkatan tempahan perabot dan pendapatan.

Lebih membanggakan, kerjasama Akademi Usahawan Mikro dengan Katta Kayu itu turut melayakkan mereka menerima anugerah Top Seller sempena Hari Terbuka Ecommerce 2019 anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Sementara itu, MDEC selaku agensi utama yang menerajui ekonomi digital di negara ini turut menawarkan kemudahan serupa kepada usahawan.

Kaedahnya juga mudah apabila anda hanya perlu mengunjungi portal go-ecommerce.my.

Segala maklumat dan kaedah untuk mendigitalkan perniagaan anda ada di situ, hanya menekan butang YES dan bersedia untuk melayari fasa baharu perniagaan anda.

#BinaBersama #eUsahawan #goEcommerce

Share this: