USAHAWAN NASI AMBENG DIGITAL TAWAR PELUANG PEKERJAAN SEWAKTU PKP

16.04.2020

Seorang bekas chef yang menceburi perniagaan digital sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan membuktikan tiada yang mustahil sekiranya memanfaatkan kemahiran digital pada waktu ini.

Ahmad Fazree Zakaria, 34 , bukan sahaja mampu menjana pendapatan untuk dirinya namun pada masa membantu masyarakat dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Katanya, pada permulaan, dia hanya mempromosikan makanan seperti nasi ayam, nasi Ambeng dan ayam penyet menerusi Facebook dan aplikasi Whatapps untuk memenuhi permintaan bekas pelanggannya.

Beberapa hari selepas itu katanya, permintaan mula meningkat sehingga terpaksa ‘menggaji’ empat pekerja yang bertugas sebagai penghantar makanan.

Katanya, memandangkan PKP turut menghadkan pergerakan dalam lingkungan 10 kilometer (km), penghantar makanan yang dipilih terdiri daripada mereka yang tinggal di empat zon berbeza di Sungai Petani, Kedah.

“ Saya pecahkan mengikut zon Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Sungai Petani Tengah dan seorang lagi menguruskan pesanan khas. Oleh itu kawasan penghantaran kami dapat diperluaskan sekaligus berpeluang mendapat lebih banyak tempahan,” katanya ketika dihubungi baru -baru ini.

Menggunakan pengalaman luas lebih 10 tahun dalam bidang masakan, Ahmad Fazree berkata, dia menawarkan pilihan makanan yang berbeza dan tidak dijual oleh peniaga dalam talian di kawasan itu.

“ Saya mempunyai kemahiran menyediakan Nasi Ambeng yang sukar didapati di sini kerana hidangan ini lebih popular di Johor dan berdasarkan kajian, saya mendapati tiada penjual yang menjualnya.

“ Boleh dikatakan, nasi Ambeng yang saya jual adalah yang pertama di sini, jadi ia mendapat sambutan hangat,” katanya yang memberitahu mewarisi resipi itu daripada keluarganya yang mempunyai darah Jawa.

Terbaharu, disebabkan tambahan jenis makanan yang ditawarkan, Ahmad Fazree kini sedang mencari empat lagi pekerja untuk membantunya menyediakan nasi lemak, murtabak selain sebagai pekerja am dan penghantar makanan.

“ Saya kini mula menjual nasi kambing, nasi lemak dan nasi Arab yang semakin mendapat sambutan. Kapasiti pengeluaran nasi lemak kami kini mencecah 500 bungkus sehari,” katanya.

Menurutnya, setiap hari mereka mendapat sekitar 30 hingga 50 pesanan yang dihantar kepada peanggan.

Dia yang juga pernah menjadi chef jemputan untuk beberapa program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam dan luar negara berkata, ketika ini operasi menyediakan kesemua makanan yang dipesan dilakukan di restoran.

Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia berkata ingin membangunkan sebuah aplikasi khas untuk memudahkan pesanan dan pembayaran dilakukan oleh pelanggannya namun tidak mempunyai keupayaan dan sangat menghargai sekiranya ada yang ingin tampil menawarkan kepakaran.

Usaha yang dilakukan oleh Ahmad Fazree ini bertepatan dengan saranan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang sebelum ini menyeru supaya usahawa mikro dan kecil di negara ini mempromosikan perniagaan masing – masing secara dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, sokongan kepada komuniti usahawan mikro dan kecil  bukan hanya membabitkan kumpulan yang terlibat dalam program kelolaan MDEC sahaja.

“Setiap lapisan masyarakat boleh memanfaatkan portal yang disediakan untuk mendapatkan maklumat.

“Misalnya, portal https://www.go-ecommerce.my/ telah membantu seramai 183,290 usahawan digital untuk mempelajari kemahiran e-dagang yang sentiasa dikemas kini dengan maklumat semasa,” katanya.

Katanya portal itu juga sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan digital.

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: