USAHAWAN DALAM TALIAN TERUS GIGIH PROMOSI PRODUK UNTUK MENJANA PENDAPATAN SEWAKTU COVID-19

06.04.2020

Siti Amirah terus gigih mempromosikan produk Sandwich Terliur keluarannya.

Di sebalik kesukaran yang dihadapi akibat pandemik Covid-19, usahawan dalam talian di negara ini terus tabah berjuang untuk meneruskan operasi masing -masing.

Beberapa peniaga sudi berkongsi cerita suka duka mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan sehingga 14 April ini.

Peniaga sandwich, Siti Amirah Othman, 35, yang mengasaskan jenama Sandwich Terliur berkata, dia tekad untuk terus mempromosikan perniagaan secara digital menerusi Facebook, Instagram dan aplikasi pesanan Whatapps bagi memastikan ada tempahan setiap hari.

Katanya, walaupun jumlah pesanan menurun, namun dia tidak boleh patah semangat kerana perniagaan itu merupakan punca utama pendapatannya.

“ Sebelum ini saya biasanya mendapat pesanan sebanyak 20 hingga 40 tempahan setiap hari yang dihantar ke beberapa kawasan seperti Kajang, Bangi, Putrajaya, Semenyih  dan Cheras namun sejak PKP , tempahan hanya membabitkan kawasan dalam lingkungan 10 kilometer (km) dari rumah sahaja.

“Pada waktu sekarang, sekitar 10 tempahan diterima malahan ada juga yang membeli untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan,” katanya ketika dihubungi baru – baru ini.

Menceritakan tentang cabaran lain, Siti Amirah berkata, dia juga berdepan dengan masalah harga bahan mentah yang tidak menentu apabila berlaku kenaikan antara 15 hingga 30 peratus.

Siti Amirah yang juga peserta program e-Usahawan kelolaan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkata, bagi memastikan pelanggan ‘tidak lari’ , dia mengekalkan harga jualan sandwich bermula RM35 hingga RM48 untuk setiap kotak yang boleh dinikmati 10 hingga 15 orang.

Shahrul Igwan menggunakan media sosial mempromosikan makanan ringan yang dihasilkan.

Sementara itu, seorang pemain bola sepak Liga Super turut mengambil peluang mempromosikan perniagaan dalam talian ketika PKP berkuatkuasa kerana pertandingan dihentikan buat sementara waktu.

Shahrul Igwan Samsudin, 26, pemain skuad UiTM FC berkata , masa terluang digunakan untuk mempromosikan perniagaan makanan ringan iaitu Spicy Salted Egg Cornflakes yang menggunakan jenama Five Beloonchas .

Katanya, dia memilih medium media sosial Instagram untuk mempromosikan perniagaan yang diusahakan bersama adik -beradiknya.

“ Sebelum ini saya berehat daripada mempromosikan produk di media sosial kerana sibuk dengan latihan dan pertandingan, namun  sejak PKP dan kembali aktif membuat pemasaran digital , kami mendapat tempahan dari seluruh negara,” katanya yang juga bekas pemain bola sepak skuad remaja kebangsaan.

Sementara itu, seorang peniaga kasut dalam talian, Che Idora Ismail mengakui perniagaannya merosot hampir 80 peratus sejak PKP dilaksanakan.

Idora Ismail terus giat melakukan pemasaran digital untuk kasut jenamanya.

Pemilik jenama Choctopbychedora berkata, pada hari tertentu, dia langsung tidak mendapat sebarang pesanan namun memahami situasi ini merupakan perkara biasa akibat PKP dilaksanakan untuk mengekang penularan Covid 19 yang sehingga kini telah mengorbankan 61 orang di Malaysia.

“Strategi yang saya lakukan ketika ini mengadakan promosi dan membuat iklan di Facebook dan Instagram supaya pelanggan tahu perniagaan terus beroperasi seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif MDEC membantu peniaga dalam talian serta sektor e-Dagang di di negara ini, anda boleh melayari portal https://www.go-ecommerce.my/my yang memberikan pelbagai maklumat terkini yang mungkin boleh membantu perniagaan anda.

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: