USAHAWAN BINGKAI GAMBAR GEMAS 'TAWAN' PLATFORM eDAGANG SEWAKTU PKP
16.04.2020
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!
Baris peribahasa di atas bermaksud sekiranya seorang itu berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah, pasti akan mampu untuk melaksanakannya walaupun berdepan sejuta rintangan.
Jika diterjemahkan kepada konteks kehidupan kita pada hari ini, sudah tentu halangan yang dimaksudkan terkait kesukaran untuk melaksanakan urusan harian masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19.
Komuniti perniagaan termasuk syarikat bertaraf gergasi dan antarabangsa terkesan, apatah lagi usahawan mikro dan kecil.
Namun demikian, seorang pemuda, Adib Abu Bakar, 27, dari Gemas, Negeri Sembilan tidak menjadikan PKP sebagai halangan untuk ‘merehatkan’ perniagaan menjual bingkai gambar yang diusahakannya sejak dua tahun lalu.
Sebaliknya dia menggunakan masa terluang dengan melakukan pemasaran digital dengan lebih agresif menerusi beberapa platform media sosial termasuk Facebook dan Instagram untuk menarik perhatian pelanggan.
Menggunakan jenama Frame Murah Gemas, usaha Adib membuahkan hasil apabila mencatatkan peningkatan jualan mencecah 50 peratus terutamanya menerusi platform e-dagang, Shopee sejak PKP.
Kini, pejabat pos boleh dikatakan menjadi ‘teman rapatnya’ apabila terpaksa berkunjung ke premis berkenaan dengan lebih kerap untuk membuat penghantaran barangan yang dibeli ke seluruh negara.
Berkongsi ‘rahsia’, Adib yang dihubungi baru-baru ini menjelaskan, PKP yang sedang dikuatkuasa sehingga 28 April depan memberi kelebihan kepada perniagaannya.
“ Ini kerana saya mendapati pesaing tidak beroperasi ketika ini manakala orang ramai kini mempunyai lebih banyak masa terluang untuk mengakses pelbagai medium media sosial. Oleh itu, saya gunakan peluang ini untuk membuat pemasaran digital,” katanya.
Bercerita lanjut, Adib berkata, walaupun jualan mencatatkan peningkatan namun dia juga harus menyelesaikan beberapa masalah yang timbul sewaktu PKP mula dilaksanakan.
“ Antaranya ialah kesukaran untuk mendapat bahan dari pembekal memandangkan operasi mereka juga terhenti.
“ Bagaimanapun, saya melakukan perbincangan dengan pembekal dan menjelaskan situasi perniagaan. Hasilnya, mereka bersetuju untuk menghantar barangan yang diperlukan ke rumah bagi membolehkan kerja -kerja penghasilan bingkai gambar dapat dilakukan seperti biasa,” katanya.
Ditanya mengenai pengalaman melakukan pemasaran digital sewaktu PKP, Adib berkata, perkara itu tidak memberikan masalah besar memandangkan sebelum ini dia turut beroperasi secara dalam talian.
“ Apa yang berubah ialah ketika ini saya beroperasi sepenuhnya secara dalam talian. Di Shopee saya menjual bingkai gambar manakala di Facebook dan Instagram saya menawarkan perkhidmatan rekaan pelekat dan kain rentang,” katanya.
Pada masa sama, Adib juga menasihatkan usahawan mikro sepertinya supaya menggunakan pasaran digital ketika ini untuk mempromosikan barangan yang dijual.
Langkah yang dilakukan Adib ini bertepatan dengan saranan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang sebelum ini menyeru supaya usahawa mikro dan kecil di negara ini mempromosikan perniagaan masing-masing secara dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, sokongan kepada komuniti usahawan mikro dan kecil bukan hanya membabitkan kumpulan yang terlibat dalam program kelolaan MDEC sahaja.
“Setiap lapisan masyarakat boleh memanfaatkan portal yang disediakan untuk mendapatkan maklumat.
“Misalnya, portal https://www.go-ecommerce.my/ telah membantu seramai 183,290 usahawan digital untuk mempelajari kemahiran e-dagang yang sentiasa dikemas kini dengan maklumat semasa,” katanya.
Katanya portal itu juga sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan digital.
Beliau memberitahu, portal tersebut turut digunakan dalam inisiatif Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS), pusat sehenti yang menyediakan bantuan latihan dan khidmat nasihat kepada penduduk setempat untuk memanfaatkan teknologi digital dalam perniagaan mereka.
oleh Mohd Firdaus Ismail
Share this: