SYARIKAT PERMAINAN KREATIF TEMPATAN ‘RM100’ DIBANTU INISATIF DC3 MDEC UNTUK LAKUKAN LONJAKAN DIGITAL KE PERINGKAT ANTARABANGSA

15.10.2020

Firma penganalisis bagi sektor permainan kreatif digital, Newzoo menganggarkan nilai pasaran global industri berkenaan mencecah sekitar RM660 bilion pada tahun ini dengan  kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 11.8% (2015-2019) . Menakjubkan!.

Turut diramalkan mencapai pulangan lumayan ialah segmen permainan telefon pintar yang dijangka mencecah RM359 bilion atau peningkatan CAGR sebanyak 21.2 peratus bagi tempoh 2015-2019.

Menariknya, jumlah ini ialah lebih empat kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatan industri pawagam global iaitu sekitar RM186 bilion.

Dalam soal ini, Malaysia sebagai negara yang terkedepan dalam industri kreatif animasi di Asia Tenggara sebenarnya turut memberi tumpuan serius terhadap bidang ini dengan melihat kepada potensi besar terhadap pertumbuhan ekonomi sekaligus boleh memanfaatkan rakyat.

Sejak 2006, kerajaan memberi mandat kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk melonjakkan sektor kandungan kreatif digital ini menerusi pelbagai inisiatif yang dirancang dan telah dilaksanakan.

Sehingga kini sebanyak 303 projek telah dibiayai oleh MDEC membabitkan agihan geran keseluruhan bernilai RM11.35 juta untuk pelbagai projek termasuk yang berjaya menembusi pasaran global menerusi program Cabaran Pencipta Kandungan Digital (DC3) (dahulu dikenali sebagai Cabaran Pencipta Harta Intelek (IPCC) .

Sekadar memberi contoh, Opneon Games Studio menerusi program ini telah menghasilkan permainan Mehabolt Battle Arena yang telah dilancarkan pada tahun ini serta memasuki  pasaran Filipina dan Greece.

Turut membanggakan ialah Why Creative Sdn. Bhd menerusi projek Iteno yang turut mendapat sambutan di Hong Kong, Taiwan, Macau, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Eropah.

Di sebalik lonjakan yang dicatatkan, kehadiran tetamu tidak diundang iaitu pandemik Covid-19 awal tahun ini yang masih belum ‘surut’ menyebabkan banyak negara termasuk Malaysia melaksanakan ‘perintah berkurung’ dalam usaha memutuskan rantaian virus maut ini sekaligus memberi impak kepada ekonomi.

Menyedari kesan yang ditanggung, kerajaan melancarkan beberapa pakej rangsangan ekonomi termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang turut memberi ‘talian hayat’ kepada industri kandungan kreatif digital tempatan dengan peruntukkan sebanyak RM35 juta.

Dana Kandungan Digital PENJANA (DKD PENJANA) ini akan memperluaskan dua program kandungan digital sedia ada yang dikendalikan MDEC serta memperkasakan dua program iaitu Cabaran Pencipta Kandungan Digital PENJANA (PENJANA DC3+) dan Geran Kandungan Digital PENJANA (PENJANA DCG).

Inisiatif ini diwujudkan untuk membolehkan bakat tempatan mengasah kreativiti dan kemampuan mereka dalam mengembangkan idea kandungan baharu dan seterusnya mempercepatkan pembangunan serta penkomersialan karya.

Baru – baru ini sempena program Kre8tif!, MDEC telah mengumumkan senarai lima syarikat tempatan yang berjaya memperoleh geran untuk kategori micro indie games membabitkan RM50,000 setiap satu.

Wakil blog MDEC berkesempatan menemubual empat daripada lima syarikat berkenaan untuk mengetahui visi mereka dalam mengembangkan operasi dan seterusnya menjadi pemain utama dalam bidang penciptaan kandungan kreatif digital.

1.      Wombatman Games Bagi Projek Cramped Room of Death.

Diasaskan oleh dua beradik, Hafiz Mohd. Rozlan,31 dan Uqbah Mohd. Rozlan ,28, pada pertengahan tahun lepas, Wombatan Games kini sedang mengorak langkah untuk menjadi syarikat pencipta permainan digital kreatif yang diterima di peringkat tempatan dan antarabangsa. 

Kedua-duanya menyerahkan jiwa dan raga untuk  membangunkan projek Cramped Room of Death (CRD) iaitu permainan puzzle 2D yang menumpukan audience casual.

Menurut Hafiz, permainan ini dijangka akan dilancarkan di Steam pada suku pertama 2021 serta diikuti versi iOS. Versi Android akan menyusul kemudian. Ketika ini CRD sudah boleh diwishlist di Steam.

Ujarnya, geran yang diperolehi akan digunakan untuk membiayai pembangunan projek itu yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM30,000 membabitkan kerja animasi, muzik dan trailer.

“ Bakinya pula akan digunakan untuk melakukan pemasaran supaya kehadiran produk kami kelak disedari peminat game,” katanya ketika dihubungi baru - baru ini.

Pada masa sama katanya, mereka juga sedang berusaha untuk menyiapkan satu lagi projek yang melibatkan permainan menerusi telefon pintar yang dijangka akan dilancarkan hujung tahun ini.

Berkongsi penglibatan dalam bidang ini, Hafiz berkata, pada mulanya dia belajar sendiri kaedah programming menggunakan engine unity sejak 2012. Mereka kemudian mendapat peluang melanjutkan pengajian Diplomasi Animasi Digital di Universiti Lim Kok Wing menerusi tajaan MDEC.

“ Sebenarnya, kami pernah menyertai pertandingan ini pada tahun lepas di bawah kategori commercial ready namun gagal memikat hati juri dan tahun ini merupakan percubaan kali kedua,” katanya.

Hafiz turut mendedahkan, projek CRD nyaris ‘tidak jadi’ dikembangkan apabila dia mendapat tawaran kerja di Singapura pada March lalu.

“ Bagaimanapun, disebabkan peningkatan kes Covid-19 serta keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya membatalkan hasrat bekerja di Kota Singa dan meneruskan projek CRD ini sepanjang tempoh kuarantin,” katanya.

Ditanya peranan MDEC dalam membantu syarikat kecil sepertinya untuk mengembangkan potensi permainan digital tempatan, anak kelahiran Gombak, Selangor ini menyambut baik langkah berkenaan.

“ Program MDEC sangat membantu syarikat tempatan untuk berkembang kerana kandungan industri digital boleh diakses oleh seluruh dunia. Bakal pelanggan dapat membelinya dengan kos yang rendah,” katanya mengakhiri perbualan.

2.      ENDURA oleh IFIO Studio

Berbekalkan modal RM100, Muhammad Irfan Hadi,26, yang ketika itu masih menuntut di Kolej Universiti Damansara Utama (KDU) mengambil langkah berani menubuhkan syarikat ini untuk menterjemahkan idea kandungan permainan digital kreatifnya sejak 2008 ke dalam bentuk projek nyata.

Anak jati Kuala Terengganu, Terengganu ini membuktikan walaupun masih ‘hijau’ , dia mampu mengembleng tenaga untuk meningkatkan reputasi syarikat  ‘RM100’ itu supaya terus berkembang.

Pada April lepas , ‘taraf’ IFIO berjaya ditingkatkan menjadi IFIO Sdn. Bhd. dengan modal berbayar sebanyak RM50,000 serta menggaji dua pekerja.

“ Projek ENDURA yang berjaya memenangi geran MDEC mula tercetus dua tahun lepas.

“ Secara ringkasnya, permainan ini mempunyai unsur-unsur aksi pengembaraan di alam Bunian sebagai penghantar ‘benih’ bagi membantu penduduk Yagra yang sedang berada dalam kesusahan. Pemain juga perlu menjiwai kisah protagonis utama, Jack J. Rahman,” dedahnya.

Mengulas lanjut, Muhammad Ifran Hadi berkata, IFIO Sdn. Bhd. juga mempunyai tiga projek lain ketika ini yang berada pada peringkat prototype namun keutamaan mereka adalah untuk menyiapkan ENDURA.

“ Geran yang diterima akan digunakan untuk melaksanakan verticle slice bagi ENDURA. Syarikat juga telah membuat penyelidikan pasaran tempatan dan China yang mana kami mendapat maklum balas positif dari pemain-pemain luar dan dalam negara,” katanya.

Berkenaan penyertaan dalam program MDEC, dia berterus terang bahawa syarikatnya tidak meletakkan harapan untuk terpilih pada tahun ini kerana gagal pada dua percubaan pertama.

“ Alhamdulillah rezeki berpihak kepada IFIO Studio pada tahun ini. Ini memberi harapan baharu kepada kami untuk merealisasikan projek ini. Apa yang dilakukan oleh MDEC sangat membantu kelangsungan industri permainan digital kreatif tempatan,” katanya.

- oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: