Syarikat Malaysia jual robot ke Mexico dan Eropah

03.03.2020

Bermula sekadar membantu sebuah kilang,  siapa sangka seorang pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kini memimpin sebuah syarikat robotik bernilai jutaan ringgit yang mengeksport produk ke seluruh dunia.

Pengerusinya, Dr Yeong Che Fai berkata, robot pintar mudah alih ciptaan DF Automation & Robotic kini telah memasuki pasaran Mexico dan beberapa negara Eropah seperti United Kingdom dan Jerman.

Berkongsi cerita, Che Fai berkata, pada 2011 wakil sebuah kilang peralatan elektrik meminta bantuannya untuk selesaikan masalah operasi yang dihadapi syarikat itu.

“ Idea yang terlintas ialah untuk hasilkan troli yang mampu mengangkat bebanan berat yang lazimnya dilakukan oleh jentera atau memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“ Oleh itu, saya bersama pelajar-pelajar mula cipta robot yang mampu melakukan kerja berkenaan namun dengan inovasi baharu iaitu robot dikawal menggunakan telefon bimbit,” katanya ketika ditemui wakil Malaysia Digital Economy Copration (MDEC) di pejabatnya di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Ternyata ciptaan mereka berjaya menyelesaikan masalah kilang berkenaan dan Che Fai mula terfikir untuk membuka sebuah syarikat memfokuskan peralatan sedemikian.

Katanya, model robot keluaran syarikat yang paling mendapat sambutan ialah Zalpha MG yang menggunakan jalur magnetik untuk navigasi serta mudah diprogramkan selain terdapat pelbagai jenis saiz dan muatan yang boleh dipilih.

Dr. Yeong memantau petugasnya melakukan ujian terhadap robot Zalpha di kilang DF Automotion & Robotics di Johor.

Membuka rahsia bagaimana robot mereka memasuki pasaran luar negara pula, Che Fai memberitahu, sebuah syarikat di Pulau Pinang telah memperkenalkan ciptaan itu kepada rakan perniagaan mereka di Mexico.

“ Pada awalnya, syarikat Mexico itu sangkakan robot ini ciptaan syarikat Jepun namun terkejut apabila diberitahu ia produk Malaysia sepenuhnya.

“ Selepas menggunakannya serta berpuas hati, mereka mula bekerjasama dengan DF Automation & Robotic untuk memasarkan robot ini ke seluruh Mexico sebelum memasuki United Kingdom dan Jerman,” katanya.

Sebelum ini, robot berkenaan yang dikawal menggunakan aplikasi khas di mana sahaja pengendalinya berada turut dibeli kilang-kilang dari Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan India.

Di sebalik kejayaan membangunkan syarikat berkenaan, Che Fai memberitahu beliau sebenarnya masih mengajar di Fakulti Kejuruteraan UTM sejak 2002.

Pemilik Ijazah Kedoktoran Kejuruteraan Bio daripada Imperial College London itu berkata, beliau hanya sekadar pekerja ‘part time’ di kilang itu.

“ Saya bertugas sepenuh masa di UTM. Memang ramai yang bertanya mengapa tidak berhenti dan fokus dengan syarikat.

“ Seperti yang kita tahu, ekosistem industri robotik boleh dikatakan tidak wujud di negara kita. Itu cabaran besar yang saya dan syarikat tempuhi dahulu menyebabkan kami terpaksa membina sistem itu untuk rujukan pada masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini beliau hanya mengajar teori sahaja kepada pelajarnya namun peranan di syarikat itu menyebabkannya kini menjadi ‘orang industri’  yang memahami keseluruhan sistem.

“ Boleh dikatakan hampir 40 peratus pekerja di sini terdiri daripada bekas pelajar saya,” katanya.

Ditanya mengenai peranan agensi kerajaan membantu syarikat teknologi, alumni UTM itu berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan industri berkenaan terus berkembang di negara ini kerana menyedari potensi pasaran yang cukup luas.

“ MDEC sebagai contoh, mempunyai banyak jaringan telah membawa syarikat kami berkenalan dengan gergasi robotik dunia iaitu Jepun bagi memastikan syarikat tempatan memahami evolusi industri ini di sana.

“ Protokol komunikasi yang dimiliki MDEC juga dikongsi bersama kami selain saya teruja kerana MDEC mempunyai program dengan universiti, di mana semua pihak berkongsi kepakaran untuk membina ekosistem mapan bidang robotik di negara kita,” katanya.

Oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: