#SayaDigital MDEC dedah manfaat digital kepada masyarakat Orang Asli

30.03.2021

Pada mendung petang Ahad lepas, sekitar 50 orang penduduk Orang Asli Temuan di Damansara Perdana, Selangor di sini kelihatan beratur panjang untuk mendaftar, mengambil bacaan suhu badan dan menghulurkan tangan untuk disembur cecair pembasmi kuman sebelum dibenarkan masuk ke dewan.

Mereka akan menjadi ‘pelajar’ bagi program Hari Kesedaran Digital sempena Gerakan #SayaDigital anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di kampung itu.

Di sebalik penutup muka yang dipakai, masing-masing teruja menerima  delegasi MDEC sebagai tetamu. Seorang demi seorang menduduki kerusi yang disusun dengan jarak satu meter bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sedikit penerangan mengenai kampung ini. Ia bukanlah seperti kebanyakan kampung Orang Asli yang sering kita lihat iaitu terletak jauh dalam hutan belantara. Sebenarnya, penduduk orang Asli Temuan di sini boleh dikatakan mengamalkan kehidupan serba moden.

Ini kerana kampung mereka hanya ‘tersorok’ sedikit di sebalik bukit berhampiran beberapa pusat membeli belah terkemuka , deretan kondominium mewah dan pejabat pelbagai syarikat antarabangsa yang beroperasi di situ. Jarak untuk ke stesen MRT Damansara Damai pula hanya sekitar 10 minit. Kediaman mereka juga cantik malah ada yang menyerupai rumah banglo mini, mungkin harganya boleh mencecah jutaan ringgit selain deretan kereta yang diparkir di hadapan rumah masing-masing.

Sementara menunggu program bermula, masing-masing leka membelek telefon pintar dan sesekali suara tangisan kanak -kanak menambahkan lagi kemeriahan petang itu.

Mengalu-alukan inisiatif MDEC di kampungnya, seorang penduduk, Tini Ali, 41, berkata, sebenarnya dia turut memanfaatkan teknologi digital apabila menjalankan perniagaan secara dalam talian sejak 10 tahun lalu.

“Ketika perniagaan dalam talian mula menjadi trend, saya turut tidak ketinggalan menceburkan diri. Menggunakan laman Facebook yang dinamakan Fandinie’s Enterprise, saya mempromosikan pelbagai jenis sabun pencuci serta produk lain seperti barang keperluan bayi, kain cadar dan sebagainya,” katanya ketika ditemui wakil blog MDEC selepas program itu baru-baru ini.

Menurut Tini yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberitahu, dia turut menggunakan aplikasi WhatApp untuk mempromosikan produk yang dijualnya kepada rakan-rakan dan penduduk kampung.

“Jelaslah kemudahan digital membantu kehidupan saya terutama untuk menjana pendapatan tambahan. Saya berharap lebih ramai masyarakat Orang Asli Temuan di sini akan turut memanfaatkan teknologi digital,” katanya.

Pada masa sama, Tini turut memberi cadangan bagaimana agensi kerajaan seperti MDEC boleh membantu memahirkan penduduk setempat dengan teknologi digital.

“Sebenarnya, ramai di kalangan penduduk kampung membekalkan bahan mentah seperti daun pisang kepada restoran-restoran makanan India di ibu kota, sayur sayuran dan juga ulam-ulaman kampung. Segalanya dilakukan secara manual.

“Pada masa hadapan, mungkin MDEC boleh membantu membangunkan satu platform atau aplikasi untuk menyenaraikan segala hasil di sini boleh didapati secara dalam talian atau menganjurkan kelas susulan untuk mengajar penduduk di sini melibatkan diri sebagai agen jualan dalam talian atau dropship,” katanya.

Program #SayaDigital anjuran MDEC petang itu antaranya mempunyai pengisian pelbagai latihan kemahiran asas digital termasuk penggunaan WhatsApp, Facebook dan TikTok yang turut menarik penyertaan warga emas Abdul Rahman Abdullah.

Menurut Abdul Rahman,65, dia berasa gembira kerana kampungnya dipilih menjadi lokasi program berkenaan yang sekaligus memberi peluang kepadanya dan penduduk kampung untuk mempelajari aplikasi digital.

“Sebelum ini saya biasa gunakan WhatsApp untuk berhubung dengan ahli keluarga. Hari ini mereka ajar tentang media sosial lain pula,” katanya.

Sementara itu, seorang remaja, Angela Tipongjohn, 16, teruja apabila mencuba aplikasi Foodpanda hasil bantuan tunjuk ajar sukarelawan #SayaDigital.

“Tidak sampai sejam selepas membuat pesanan, makanan yang dipesan sudah dihantar. Pada masa hadapan, mungkin saya akan gunakan aplikasi ini lagi kerana ia memudahkan urusan,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Ybhg. Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff yang hadir merasmikan program berkenaan dan menjadi ahli panel dalam sesi dialog bertajuk Peluang Dunia Digital, Masa Depan Yang Lebih Cerah’ berkata, kemahiran digital merupakan keperluan mustahak pada masa kini dan pelbagai perkara boleh dikecapi seperti membantu memudahkan kehidupan, menambah pendapatan, meluaskan perniagaan dan memperkasa kerjaya masa hadapan.

Ujar beliau, inisiatif ‘pendigitalan rakyat’ selari dengan teras MDEC iaitu memperkasa rakyat Malaysia secara digital dan menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

“Ini seterusnya akan mencapai aspirasi Malaysia 5.0 iaitu memupuk masyarakat yang terintegrasi dengan teknologi bagi mendepani era Revolusi Perindustrian 4.0,”katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, projek perintis #SayaDigital dianjurkan untuk memberi kesedaran dan kekuatan kepada rakyat kategori rentan sosial ekonomi untuk menerapkan digitalisasi sejajar dengan WKB 2030 dan MyDIGITAL.

“Sebenarnya, program ini dimulakan pada Ogos 2020. Menerusi projek perintis, telah dilaksanakan tiga program dan sembilan inisiatif dalam talian, mencatatkan 1,515 pendaftaran dan memberi manfaat kepada 301 peserta dalam Latihan Literasi Digital Asas hingga kini,” ujarnya.

Beliau menambah, #SayaDigital juga bermatlamat sebagai kajian awal menjelang pelancaran pada peringkat kebangsaan #SayaDigital.

"Kejayaan kempen ini akan memungkinkan rakyat berkemampuan digital dan memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur dan faedah dalam ekonomi digital,” katanya.

Share this: