#SayaDigital - MDEC Bantu Masyarakat Tingkatkan Literasi Digital
30.04.2021
Bertempat di ruang parkir berhampiran Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang di sini baru-baru ini, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berjaya melaksanakan pelancaran kempen #SayaDigital peringkat kebangsaan.
Majlis berkenaan berlangsung meriah di sebalik pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. Peserta dan penduduk setempat yang hadir kelihatan bersemangat untuk meningkatkan kemahiran literasi digital masing-masing.
Pelancaran diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Hj. Mohammad Mentek.
Lebih istimewa, pelancaran dilakukan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi video ucapan beliau yang disiarkan pada majlis berkenaan.
Apakah #SayaDigital? Kempen #SayaDigital diperkenalkan MDEC bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital rakyat terutamanya warga emas, belia dan kumpulan B40 dan kumpulan rentan sosio ekonomi bagi merebut peluang dalam ekonomi digital.
Kempen #SayaDigital pada tahun ini memberi fokus kepada empat komponen iaitu melatih anak muda menjadi sukarelawan Geng #SayaDigital, mewujudkan kesedaran melalui aktiviti literasi digital, menjalankan penilaian kesediaan digital dan memberi latihan kemahiran asas digital kepada komuniti. Seramai 25 orang Geng #SayaDigital telah dilantik bagi melatih peserta-peserta dengan kemahiran asas digital.
Kempen ini secara keseluruhan menyasarkan untuk memanfaatkan 10,000 rakyat di seluruh negara. Sebelum pelancaran, tiga program rintis fizikal telah diadakan untuk meningkatkan kesedaran celik digital yang melibatkan penyertaan seramai 301 peserta dengan yang terbaharu diadakan di Kampung Desa Temuan di Bukit Lanjan pada hujung Mac lalu.
Geng #SayaDigital sebagai ‘cikgu digital’ bantu golongan sasar
Salah seorang Geng #SayaDigital, Muhammad Zulhusmi Feizal, 27, berkongsi pengalamannya mengajar para peserta yang terdiri daripada warga emas dan suri rumah untuk celik digital berdasarkan modul satu seperti penggunaan aplikasi WhatsApp, Facebook, Tiktok, Gmail dan Google.
Menurut Muhammad Zulhusni, dia mula bertugas pada Februari selepas menamatkan kursus selama dua hari anjuran MDEC pada Januari. Graduan bidang Pendidikan Sains Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, penglibatannya sebagai pengajar untuk menyumbang kepada aspirasi MDEC dalam menyediakan rakyat Malaysia berkemahiran digital merupakan pengalaman menarik.
Mengenai cabaran yang dihadapi, Muhammad Zulhusmi yang kini bertugas sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta berkata, peserta terutamanya warga emas didapati mengambil masa yang agak lama untuk memahami teknologi digital.
“Saya sering menekankan kepada mereka mengenai kepentingan penggunaan digital dalam urusan harian seperti tidak perlu keluar membeli makanan sebaliknya hanya menempah sahaja di platform – platform yang menawarkan perkhidmatan penghantaran selain boleh melakukan transaksi kewangan seperti membayar bil dan sebagainya. Ini dapat mengurangkan pergerakan keluar rumah ketika negara kita dilanda penularan wabak COVID-19,” katanya.
Agatheeswary digitalkan warga emas di Selayang
Peluang menjadi geng #SayaDigital digunakan Agatheeswary Ananda Rao,27 untuk menerangkan kepada warga emas mengenai kemudahan digital yang dapat memudahkan kehidupan harian.
Ujarnya, ketika ini dia bertanggungjawab untuk mengajar enam ‘pelajar’ yang terdiri daripada warga emas mengenai modul satu dalam bahasa Tamil.
“Apabila mengajar dalam bahasa pertuturan seharian peserta, saya mendapati mereka lebih berminat dan mahu terus belajar mengenai media sosial. Pada masa hadapan, saya berharap dapat terus terlibat dengan program ini kerana ia memberi manfaat yang besar kepada masyarakat,” katanya.
Agatheeswary berkata, dia juga berharap supaya lebih ramai warga emas di sekitar Selayang, Batu Caves dan Gombak dapat merebut peluang untuk mempelajari kemahiran digital dan mengaplikasi dalam kehidupan harian.
Belajar digital untuk kembangkan perniagaan
Seorang peserta #SayaDigital di PPR Hiliran Ampang, Aznin Bahari, 46, berkata, dia teruja mempelajari pelbagai aplikasi media sosial sejak menyertai kelas pertama pada bulan lepas.
“Saya diajar bagaimana untuk menggunakan Tiktok, Facebook dan melakukan urusan perbankan secara dalam talian termasuk membayar bil dan menempah makanan menerusi Grab dan Food Panda serta aplikasi kesihatan yang boleh dimuat turun menerusi telefon pintar,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Aznin berkata, ketika ini dia sedang belajar untuk membuka halaman Facebook khas untuk perniagaan ais krim Malaysia yang mula diusahakan sejak 2018.
“Sebelum ini saya mempromosikan ais krim menerusi Facebook peribadi dan status WhatsApp sahaja. Mungkin selepas ini boleh promosi di Tiktok. Sekarang saya sedang belajar mengenai Instagram,” katanya.
Ditanya mengenai perniagaan ais krim Malaysia yang dijalankan, Aznin berkata, dia mengeluarkan sekitar 100 hingga 200 batang ais krim setiap hari namun bergantung kepada permintaan. Ujarnya, ais krim yang dihasilkan terdiri daripada dua perisa iaitu gula dan susu dan dijual pada harga RM0.50 dan RM1.00 setiap satu.
“Selepas aktif mempromosikan menerusi media sosial, saya dapati permintaan semakin meningkat sehingga 2,000 sebulan. Hasil jualan boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan harian apatah lagi suami yang bekerja sebagai tukang urut kini tidak dapat melaksanakan tugas seperti biasa disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peserta Yap Yun Ling,47, berkata, dia berterima kasih kepada tenaga pengajarnya yang dipanggil Cikgu June yang membantu memahami fungsi media sosial dan aplikasi dalam talian yang lain.
“Saya belajar untuk memesan makanan menerusi Food Panda dan bagaimana untuk berkongsi lokasi menerusi WhatApps. Saya mengambil masa yang lama untuk belajar namun cikgu sangat baik kerana begitu sabar mengajar saya satu persatu,” katanya yang tinggal di PPR Desa Rejang, Setapak.
Yun Ling yang merupakan seorang suri rumah dan menjadi sukarelawan di komunitinya berkata, ketika ini dia mahu mempelajari cara membayar bil secara dalam talian bagi memudahkan urusan.
“Sebelum ini anak saya pernah mengajar bagaimana untuk membuka akaun Facebook tetapi untuk online banking, ia memerlukan masa untuk saya memahami langkah – langkah yang ditetapkan selain perlu menghubungi bank,” katanya.
Sokongan padu Perdana Menteri untuk #SayaDigital
Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi ucapan secara video pada hari pelancaran berkata, beliau menyambut baik kempen ini demi masa hadapan digital Malaysia sebagai mana hasrat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang diperkenalkan kerajaan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.
“Saya berharap semua peserta program dapat memanfaatkan segala peluang yang tersedia untuk memperolehi ilmu dan kemahiran terbaik dalam bidang ini,” katanya.
Ujar Perdana Menteri, bagi merealisasikan visi ekonomi digital, negara harus menambah baik literasi digital dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, inisiatif #SayaDigital yang dilancarkan oleh MDEC merupakan kesinambungan daripada inisiatif MyDIGITAL yang bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan masyarakat celik digital di negara ini,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pula berkata, #SayaDigital menyokong strategi menyeluruh MyDIGITAL yang menyusun pelan halatuju untuk mencapai visi menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam ekonomi digital menjelang 2030.
“Menerusinya, kerajaan berhasrat untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan, menerapkan ciri digital untuk 875,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro dan seterusnya menjadi pemangkin untuk 5,000 syarikat pemula. Sehubungan itu, #SayaDigital yang dilancarkan secara rasmi pada hari ini menunjukkan komitmen jelas kerajaan untuk melibatkan rakyat pelbagai golongan supaya mereka mendapat manfaat daripada ekonomi digital yang mekar berkembang selaras dengan WKB 2030,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, agensi berkenaan yang diberi mandat untuk transformasi digital dan pelaburan negara dengan rekod prestasi telah menggabungkan #SayaDigital dengan pelbagai objektif utama untuk memastikan kejayaan perlaksanaan.
“MDEC sangat memahami bahawa rakyat pelbagai lapisan termasuk penghuni di PPR juga perlu dilibatkan dalam inisiatif yang dilaksanakan supaya kemajuan dan lonjakan digital yang sedang berlaku di negara kita tidak meminggirkan golongan ini. Inilah usaha MDEC mendigitalkan golongan rentan sosio ekonomi dalam usaha kita menjadi Nadi Digital ASEAN dan mencapai Malaysia 5.0,” katanya.
#SayaDigital yang diperkenalkan pada Ogos tahun lalu telah memanfaatkan seramai 1,606 peserta menerusi projek rintis yang dilaksanakan bermula Disember 2020 hingga Mac tahun ini.
“#SayaDigital juga telah melaksanakan sebanyak lapan program secara dalam talian menerusi Facebook live yang berjaya mencapai lebih 16,000 tontonan. Pada tahun ini, MDEC akan memperluaskan #SayaDigital di seluruh negara di 12 lokasi yang dikenalpasti dan menyasarkan penyertaan 10,000 warga emas, belia dan kumpulan rentan sosio ekonomi untuk pelajari kemahiran digital,” kata Surina Shukri.
“#SayaDigital juga telah melaksanakan sebanyak lapan program secara dalam talian menerusi Facebook live yang berjaya mencapai lebih 16,000 tontonan. Pada tahun ini, MDEC akan memperluaskan #SayaDigital di seluruh negara di 12 lokasi yang dikenalpasti dan menyasarkan penyertaan 10,000 warga emas, belia dan kumpulan rentan sosio ekonomi untuk pelajari kemahiran digital,” kata Surina Shukri.
Share this: