ROBOT MAK CIK KIAH (MCK19) CIPTAAN TEMPATAN SEDIA BANTU RAWAT PESAKIT COVID-19 DI MALAYSIA

14.04.2020

https://youtu.be/-VeesWj4PSU

Syarikat robotik tempatan, DF Automation & Robotics berjaya mencipta robot dinamakan Mak Cik Kiah 19 (MCK19) untuk membantu kakitangan perubatan di negara merawat pesakit Covid-19.

Pengerusinya, Dr. Yeong Che Fai berkata, beliau mendapat idea berkenaan selepas pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan pandemik itu di negara ini.

Katanya, selepas PKP disambung oleh kerajaan, pihaknya menyedari mungkin ada sesuatu yang boleh disumbangkan syarikat itu kepada petugas kesihatan negara yang kini sedang berdepan saat mencabar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“ Saya dan pasukan kemudian mula membuat lakaran idea yang dapat dilaksanakan. Antara cadangan awal ialah untuk hasilkan rekaan robot pembasmi kuman yang menggunakan kaedah semburan secara automatik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau memberitahu, kos untuk membangunkan ciptaan berkenaan mencecah RM200,000 setiap satu dan dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz  dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menurutnya, MCK19 menggunakan teknologi Zalpha, robot ciptaan DF Automation & Robotics sebelum ini yang digunakan industri di seluruh dunia dan boleh menampung berat sehingga 300 kilogram (kg).

Katanya, robot berkenaan dikendalikan secara automatik dan berfungsi untuk membantu petugas kesihatan menghantar makanan dan ubat-ubatan ke bilik pesakit.

“ Apabila robot ini sampai ke bilik, ia akan mengejutkan pesakit bagi mengambil makanan atau ubat-ubatan yang dibawa sekaligus mengurangkan risiko petugas kesihatan dijangkiti,” katanya.

DF Automation & Robotics yang sebelum ini turut mempunyai jaringan kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkata, robot MKC19 yang pertama telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan yang kedua akan dihantar beroperasi di Pusat Kuarantin & Rawatan Covid Berisiko Rendah (PRCBR) di MAEPS, Serdang.

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: