Rebut peluang promosi perniagaan anda kepada 497 juta orang!
08.01.2020
Sekiranya anda seorang usahawan yang sentiasa mahu meneroka pasaran baharu, artikel ini mungkin dapat membantu.
Bayangkan produk atau perkhidmatan anda memasuki satu pasaran yang cukup luas kerana komuniti di situ terdiri daripada campuran penduduk Indonesia ( 270 juta), Filipina (108 juta), Vietnam (96 juta) dan Malaysia seramai 31 juta.
Itulah realiti yang berlaku dalam ‘dunia’ Weibo, sebuah aplikasi media sosial utama di China. Mengapakah di negara itu Weibo mampu menenggelamkan populariti Facebook yang merupakan laman sosial paling popular di dunia?
Hal ini kerana Facebook ‘tidak lagi wujud’ sejak 2009 selepas kerajaan China mengharamkannya. Keputusan itu dilakukan ekoran tindakan aktivis kemerdekaan Xinjiang menggunakan Facebook sebagai medium menyebarkan ideologi mereka dan perkara ini sangat dibimbangi oleh kerajaan China.
Era Weibo di China bermula pada Ogos 2009 dan sehingga kini ia mempunyai seramai 497 juta pengguna yang aktif setiap bulan. Di sinilah wujudnya pasaran yang sangat besar untuk aktiviti perdagangan digital apabila jumlah pengunjungnya menyamai populasi penduduk di empat buah negara Asia Tenggara yang dinyatakan tadi.
Menyedari potensi besar ini, kerajaan Malaysia menerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pantas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Weibo baru - baru ini.
Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng berkata, kerjasama itu bakal membawa manfaat besar kepada negara kerana pengguna Weibo di Malaysia boleh memperkenalkan produk mereka sekaligus menjadi medium promosi yang sangat efisien.
Di pihak kerajaan pula katanya, platform berkenaan dapat digunakan untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur yang mana kedua-dua program ini sangat penting kepada negara.
Sehebat manakah pengaruh Weibo? Mari kita lihat statistik yang didedahkan Pengurus Besar Weibo Antarabangsa, Jennie So.
Menurut Jennie, setiap bulan, seramai 497 juta pengguna aktif di Weibo membabitkan pemilik akaun di 190 negara.
Katanya, pada setiap hari pula, Weibo merekodkan jumlah pengguna seramai 200 juta.
“Sebanyak 98 peratus daripada pemilik akaun Weibo merupakan golongan sangat berminat dengan aktiviti perdagangan digital dengan sebanyak 94 peratus melayari akaun Weibo menggunakan telefon pintar,” katanya.
Perkembangan ini menurut Jennie menjadikan Weibo sangat praktikal untuk mempromosikan perkhidmatan dan perniagaan.
Katanya, jumlah pemilik akaun Weibo di luar negara pula kini mencatatkan angka memberangsangkan iaitu mencecah 49 juta orang dengan mereka turut mempunyai pusat operasi di Amerika Syarikat , Britain dan Taiwan.
Berikut merupakan cara mengaktifkan akaun Weibo anda. Selamat mencuba!
- Buka aplikasi App Store untuk memuat turun Weibo.
- Daftar dan boleh ikut beberapa langkah untuk melayarinya.
- Tukar kepada versi Bahasa Inggeris
- Klik + pada bahagian kanan di atas dan pilih format untuk memuat naik posting ada.
Share this: