Pusat Internet Desa dan PEDAS bantu usahawan digitalkan perniagaan

11.03.2020

Sekumpulan wanita kelihatan tekun melayari internet di Pusat Internet Desa (PID) Beranang.

Sesekali gelak ketawa mereka menceriakan ruang yang sederhana besar itu.

Sofia, Siti, Fauziah dan Zalinah, kisah empat sekawan yang menyertai ‘sekolah perniagaan digital’ di PID Perkhidmatan e-dagang Setempat (PeDAS)  yang merupakan inisiatif oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Kuarter berkenaan mengakui, sepanjang beberapa bulan 'menuntut' di situ, ia telah membuka mata mereka mengenai kepentingan berdamping dengan teknologi digital yang menjadi trend global hari ini.

Mereka senada tentang satu perkara iaitu sekiranya mengabaikan aspek pendigitalan, perniagaan yang diusahakan akan statik dan sukar berkembang.

Di PeDAS, Beranang, empat sekawan itu memberitahu, mereka didedahkan dengan ilmu pengurusan perniagaan termasuk akaun, pemasaran digital, pengurusan laman sosial serta bagaimana menambah baik produk yang dihasilkan termasuklah aspek pembungkusan.

Siti Fatma Sofia Sudin yang membuka bicara berkata, dia kini semakin sibuk menjelang ‘waktu puncak’ dalam perniagaan kerana tidak lama lagi Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri akan menjelma.

“ Menjadi kelaziman, permintaan pakaian serta tudung akan meningkat lebih-lebih lagi selepas mula mendigitalkan perniagaan secara konsisten,”katanya.

Bercerita penglibatannya dalam dunia perniagaan, Siti Fatma Sofia berkata, dia mula berjinak-jinak dalam dunia jahitan pada 2009.

“ Ketika itu saya mengambil tempahan jahitan secara pukal dan membuat baju kurung serta tudung daripada kawan-kawan sahaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pengasas jenama Fatma Sofia itu berkata, pada awal operasi, perniagaannya tidak begitu terdedah kepada pemasaran digital.

“ Saya menggunakan Facebook dan Instagram untuk iklankan perkhidmatan tetapi tidak begitu agresif kerana saya tidak mahir penggunaannya,” katanya.

Menurutnya, selepas sertai PeDAS, banyak ilmu baharu terutamanya membabitkan pengurusan perniagaan dan pemasaran digital dipelajarinya.

“ Antara yang diajar termasuklah pengurusan akaun perniagaan, pemasaran di platform digital, e-commerce dan sebagainya,” katanya.

Hasilnya menurut Siti Fatma Sofia, perniagaannya mula menunjukkan peningkatan prestasi.

“ Tudung keluaran saya kini telah sampai ke negara luar seperti Singapura dan Brunei malahan hasil jualan meningkat. Dalam masa terdekat mungkin akan cuba jual di platform e-dagang seperti Shopee,” katanya.

Dedah wanita berasal dari Kelantan ini, sebelum ini beliau mencatat jualan sekitar RM 8,000 sebulan dan kini telah meningkat kepada RM15 000 dan pernah mencecah RM40 000.

“ Saya kini turut menggaji 17 orang tukang jahit untuk membantu operasi,” katanya.

Lain pula ceritanya dengan Siti Amirah Othman, 35, yang mengasaskan Sandwich Terliur yang semakin menjadi sebutan warga Kajang, Bangi, Semenyih dan Putrajaya.

Siti Amirah berkata, sejak menyertai PeDAS, dia kini lebih fokus kepada aspek pemasaran digital kerana menyedari potensi medium berkenaan untuk memperkenalkan produk.

“ Saya menggunakan Facebook untuk mempromosi keistimewaan sandwich yang mengguna sos ciptaan sendiri iaitu cranberry serta sandwich hickory yang terhasil gabungan buah kurma, lemon dan kismis untuk kepuasan pelanggan," katanya.

Hasil pembelajaran di PeDAS, Siti Amirah berkata, dia kini turut memperkemaskan aspek pembungkusan sandwich apabila menjual secara dalam kotak seperti pizza.

“ Ada lapan jenis sandwich buat masa ini antaranya sardin, telur, tuna dan yang paling mendapat sambutan ialah chicksweety,” katanya teruja memperkenalkan seleksi produknya.

Katanya, sejak mempromosikan produk di media sosial, terdapat peningkatan tempahan apabila mampu menjual sehingga 20 hingga 40 kotak sandwich setiap hari dengan setiap satu berharga antara RM33 hingga RM48.

“ Saya turut menggaji dua pekerja yang bertindak sebagai runner untuk menghantar pesanan pada setiap hari,” katanya.

Bagi pemilik spa, Zalinah Mat Noh pula, penyertaan dalam program PeDAS membolehkannya melihat segmen pasaran baharu.

Katanya, sebelum mendigitalkan perniagaan, dia hanya mengharapkan kelompok pelanggan sama sahaja untuk mendapatkan perkhidmatan kecantikan yang ditawarkan.

“ Oleh kerana telah mempelajari aspek pengurusan perniagaan, saya kini dalam proses akhir untuk mengeluarkan produk mandian terapi herba tradisional dan akan dijual secara dalam talian selepas ini,” katanya.

Sementara itu, jurulatih di pusat berkenaan, Salwa Mohd Saleh berkata, antara yang diberi penekanan terhadap peserta ialah ilmu keusahawanan dan pemasaran digital.

Ujar beliau, peserta diberi tunjuk ajar tentang pengurusan perniagaan, bagaimana melakukan pemasaran dan sasaran pelanggan yang betul berdasarkan produk.

“ Kita mahu peserta lihat keadaan perniagaan pada masa sekarang dan akan datang. Sehubungan itu mereka didedahkan dengan penggunaan business planning, pemasaran digital, copywriting dan bagaimana untuk melakukan iklan yang berkesan,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai PeDAS boleh mengunjungi laman web go-ecommerce.my.

#LetsBuildTogether #digitalmalaysians

Artikel oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: