Penyelidik Malaysia hasilkan buku interaktif animasi 3D untuk kanak-kanak pekak pertama di dunia?

06.03.2020

Seorang penyelidik tempatan tampil dengan inovasi baharu dalam bidang pendidikan kanak-kanak pekak apabila mencipta watak animasi untuk ‘menemani’ kumpulan itu belajar membaca, mengira dan menulis.

Dr. Ruzimi Mohamed yang juga orang kurang upaya (OKU) berkata, watak budak lelaki berbaju merah bernama Bimo itu tampil dalam Buku Interaktif Belajar Bahasa Isyarat Malaysia dan dipercayai sebagai modul animasi 3D pertama di dunia.

Ini kerana katanya, beberapa kajian turut dilakukan untuk mengetahui sekiranya terdapat penyelidik di negara lain pernah menghasilkan modul serupa namun sehingga kini masih belum menemui penerbitan sedemikian.

“ Bagi menarik kanak-kanak pekak berumur tiga hingga enam tahun, kita perlukan idea baharu. Sebelum ini, modul untuk mengajar kanak-kanak pekak dihasilkan dalam bentuk buku teks tradisional yang kurang menarik.

“ Oleh itu, lahirlah Bimo yang mengajar bahasa isyarat untuk bantu selesaikan masalah 3M iaitu membaca, mengira dan menulis, berasaskan teknologi Augmented Reality,” katanya.

Dr. Ruzimi berkata demikian ketika ditemui wakil Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di pejabatnya di Skudai, Johor baru–baru ini.

Pada masa sama, Dr. Ruzimi berkata, modul ini turut membolehkan serta menggalakkan ibu bapa belajar bersama-sama anak mereka di mana jua supaya lebih banyak interaksi wujud.

Lari daripada kebiasaan, Dr. Ruzimi dan syarikatnya, IMI Creative Sdn. Bhd. turut menjual modul ini secara dalam talian untuk kemudahan pelanggan supaya dapat memuat turun secara dalam talian.

“ Kita juga akan mengadakan promosi digital dengan lebih agresif bagi memastikan kehadiran buku yang dihasilkan dalam tempoh hampir dua tahun ini disedari.

“ Ini merupakan salah satu usaha syarikat kami untuk membantu kumpulan sasar mendapatkan bahan bacaan dengan cara yang lebih murah dan cepat,” katanya.

Ditanya bagaimana idea ini tercetus, penyelidikan beliau serta perbincangan dengan rakan-rakan telah berjaya meraih geran SUPERB berjumlah RM500,000 di bawah Teraju serta dipantau MDEC untuk melaksanakan projek berkenaan.

Pada masa sama katanya, mereka bersedia untuk berkongsi teknologi itu dengan negara-negara lain yang berminat untuk terjemahan dalam bahasa isyarat orang pekak yang digunakan di negara lain.

#LetsBuildTogether #digitalinclusivity

Share this: