MEMANFAATKAN TEKNOLOGI DIGITAL UNTUK TERUSKAN KEHIDUPAN SEWAKTU PKP

21.04.2020

Antara pelanggan yang mencuba kek dihasilkan Shazlin sewaktu PKP dan dijual menerusi dalam talian

Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan sejak 18 March lalu untuk membendung pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada beberapa sektor yang dikategorikan sebagai kurang penting yang terpaksa menghentikan operasi.

Antara yang terkesan termasuklah pengusaha kantin di sebuah kilang di Gombak, Selangor, Shazlin Anwar.

Shazlin, 40, berkata, dia pada mulanya buntu apabila hilang punca pendapatan sekelip mata.

Bagaimanapun, wanita itu tidak mudah patah semangat apabila menggunakan kemahiran membuat pelbagai jenis kek sebagai sumber rezeki baharu buat sementara waktu.

“ Saya mula membuat promosi menggunakan media sosial terutamanya Facebook untuk memberitahu rakan -rakan tentang perniagaan menjual kek butter marble.

“ Mereka memberi sokongan apabila membuat tempahan malahan pada hari ketiga, jumlah pesanan mencecah 30 biji sehari dan konsisten setiap hari,” katanya.

Antara yang ditawarkan ialah kek butter marble pelbagai perisa seperti  red velvet, pandan dan coklat dengan setiap satu dijual pada harga RM35.

Bagi menarik perhatian pembeli, Shazlin turut membuat penghantaran percuma.

“ Memandangkan hanya saya seorang yang terlibat dalam proses penyediaan sehingga penghantaran, setiap hari saya hanya mampu mengambil 30 pesanan sahaja di sekitar ibu kota,” katanya yang tinggal di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Sementara itu,  seorang pengusaha taska di Alor Setar, Kedah, Mohd Asyraf Ariff Mohd Naaim, 25, pada mulanya juga buntu apabila terpaksa menghentikan operasinya.

Katanya, ini kerana dia masih perlu menyelesaikan pelbagai bayaran termasuk sewa premis dan gaji pekerja.

“ Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk menjual ikan dan hasil laut . Seperti peniaga lain, saya turut menggunakan media sosial sebagai platform promosi,” katanya.

Katanya, pada mulanya penjualan agak perlahan namun selepas menawarkan khidmat penghantaran, berlaku peningkatan pembelian.

Selain menjual hasil laut, Asraf turut menawarkan penghantaran barangan ke rumah pelanggan yang diiklankan secara dalam talian.

Sikap memanfaatkan peluang digital yang wujud ketika ini bertepatan dengan seruan menggalakkan usahawan mikro dan kecil oleh Malaysia Digital Economy Digital (MDEC) untuk terus mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka sepanjang tempoh PKP.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, sokongan kepada komuniti usahawan mikro dan kecil daripada MDEC bukan hanya membabitkan kumpulan yang terlibat dalam program kelolaan agensi tersebut.

“Setiap lapisan masyarakat juga boleh memanfaatkan portal yang disediakan untuk mendapatkan maklumat yang boleh membantu perniagaan.

Misalnya, portal https://www.go-ecommerce.my/ telah membantu seramai 183,290 usahawan digital untuk mempelajari kemahiran e-dagang yang sentiasa dikemas kini dengan maklumat semasa,” katanya.

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: