MDEC HUBUNGKAN SYARIKAT PEMULA MALAYSIA DENGAN PELABUR GLOBAL MENERUSI #GRINDSTONEFOUNDERS

04.09.2020

HAUZ Enterprise Sdn. Bhd kini meneroka peluang untuk bekerjasama dengan pelabur global menerusi program #GrindstoneFounder anjuran MDEC.

Dua syarikat pemula (start up) tempatan yang terpilih mengikuti program Grindstone Founders anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yakin ianya akan membuka peluang untuk ‘memikat’ para pelabur teknologi digital global dari seluruh dunia sekaligus meluaskan lagi jaringan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif HAUZ Enterprise Sdn. Bhd. , Ho Di Yan berkata, salah satu pengisian yang terkandung dalam program berkenaan ialah kerjasama dengan University Draper yang terletak di Lembah Silikon, California, Amerika Syarikat.

Universiti berkenaan mempunyai reputasi hebat dalam bidang keusahawanan dan teknologi digital apabila berjaya menarik lebih 2,300 usahawan  dari 85 negara serta mengumpulkan dana pelaburan bernilai lebih AS $350 juta.

Di Yan berkata, sebagai syarikat pemula yang ditubuhkan pada 2018, beliau sangat teruja kerana terpilih mengikuti program bersama universiti berkenaan.

“ Ini akan yang menawarkan akses ke rangkaian pelabur Lembah Silikon dan program Mentor “.

“ Kami juga berpeluang untuk berhubung secara terus dengan Tim Draper yang merupakan pelabur terkenal untuk Tesla, SpaceX, Skype dan Twitter,” katanya ketika ditemubual wakil MDEC di sini baru – baru ini.

Menurut Di Yan, beliau akan menggunakan peluang itu untuk memahami bagaimana syarikat - syarikat pemula di Lembah Silikon beroperasi di pasaran Amerika Syarikat.

“ Syarikat pemula di sana (Lembah Silikon) bukan sekadar beroperasi di pasaran domestik negara mereka sahaja sebaliknya melebarkan operasi ke seluruh dunia. Ini yang ingin kami pelajari, saya percaya pendedahan berkenaan kelak akan membantu HAUZ Entreprise Sdn. Bhd.  ,” katanya.

Di Yan berkata, syarikatnya berteraskan teknologi yang memberi penyelesaian tentang pengurusan tenaga kerja dengan menawarkan satu platform digitalis dalam sektor perkhidmatan dan perusahaan.

Di Yan yang mengasaskan syarikat berkenaan bersama dua rakan kongsi iaitu Shah Fariq Aizal Shah Ghazni dan Woo Cheng Kit berkata, pada mulanya mereka hanya menawarkan perkhidmatan teknologi kepada syarikat – syarikat keselamatan.

“ Namun pada 2019, kami menyedari wujudnya masalah besar dalam pengurusan tenaga kerja. Pemilik perniagaan berdepan masalah seperti mempunyai pekerja yang ramai di pelbagai lokasi namun pengurusan operasi masih dilaksanakan secara manual,” katanya.

Jelas beliau, ketika ini syarikat berkenaan mempunyai 10 kakitangan dengan memberi perkhidmatan kepada syarikat -syarikat yang memerlukan sistem digital dalam mengawasi pekerja dengan lebih mudah, efisein dan mengurangkan kos operasi.

Ditanya mengenai perancangan masa depan syarikat itu, Di Yan yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, Pembinaan dan Bangunan dari Univeriti Sheffield, United Kingdom berkata, HAUZ meletakkan matlamat untuk memasuki pasaran ASEAN yang mempunyai potensi cukup besar.

“ Sebelum itu, kami harus menguasai pasaran tempatan terlebih dahulu dengan menawarkan teknologi dalam menguruskan operasi syarikat dan pengurusan tenaga kerja.

“ Kami memahami banyak syarikat di rantau ASEAN ingin beralih kepada pendigitalan dan dengan pengalaman kami yang telah mendigitalkan pelbagai industri di Malaysia, kepakaran ini boleh dikongsi dengan negara – negara jiran,” katanya.

Sebelum ini katanya, mereka dipilih sebagai ahli dalam Jawatankuasa Asian Professional Security Association (APSA) yang memberi kelebihan kepada HAUZ untuk mempromosikan pendigitalan operasi kepada syarikat -syarikat keselamatan.

Mengenai kerjasama dengan MDEC, Di Yan berkata, beliau menyarankan syarikat pemula untuk berhubung dengan agensi berkenaan bagi mendapatkan pandangan tentang pendigitalan yang seterusnya mampu merangsang sektor ekonomi digital negara.

“Bagi kami , inisiatif MDEC ini membantu pengumpulan dana di samping boleh mendapatkan pandangan mengenai pembiayaan modal,” katanya.

Sementara itu , bagi  Manu Menon yang mengasaskan Youthopia bersama Nathalia Lim berkata, beliau turut teruja untuk mengikuti kursus secara maya bersama Universiti Draper.

Manu, 45, berkata, peluang untuk belajar bersama pakar di Lembah Silikon merupakan kesempatan terbaik dan mampu memberi nilai tambah dalam usaha melonjakkan syarikatnya ke pasaran global.

“ Sebelum ini, aplikasi pembelajaran yang kami bangunkan turut menarik minat dua sekolah swasta di Vietnam yang sedang menguji keberkesanan untuk pelajar mereka.

“ Kami turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mengembangkan kerangka pedagogi yang mantap bagi menghasilkan lebih banyak kandungan untuk membantu pelajar menguasai teori dan amali dalam bidang teknologi kejuruteraan,” katanya.

Berhubung program Grindstone Founders, Mano berkata, syarikatnya memohon untuk menyertai program berkenaan selepas melihat pengumuman melalui Facebook MDEC.

Ditanya mengenai perancangan Youthopia selepas ini, Manu berkata,  mereka telah melancarkan versi beta platform yang kini mempunyai lebih dari 100 pengguna.

Kami melancarkan platform berasaskan web yang direka untuk keberkesanan dengan menawarkan pembelajaran bersaiz kecil yang dikhususkan untuk kanak -kanak membina kemahiran masing – masing.

“ Youthopia  merupakan platform yang melengkapkan kanak-kanak dengan kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah, komunikasi dan kerjasama,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyatakan komitmen untuk memperkenalkan dasar baharu bagi menyokong pertumbuhan ekosistem syarikat pemula niaga atau ‘startup’ di Malaysia.

Menurut KKMM, syarikat pemula niaga merupakan industri yang penting kepada negara pada masa hadapan dan bakal menyokong kemaraan era Revolusi Industri Keempat (RI4).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, Founders Grindstone merupakan program selama enam bulan yang merangkumi bengkel intensif yang dilaksanakan oleh rakan global dan pengendali ekuiti pendanaan awam (crowdfunding).

“ Ini  bertujuan untuk menawarkan kesempatan bagi memanfaatkan platform kerjasama yang memberikan akses kepada pengusaha di Malaysia kepada jaringan pendanaan global,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 10 syarikat pemula telah dipilih dan mendapat akses kepada rangkaian pelabur Draper Venture Network. Program Founders Grindstone ini  akan membuka pendaftaran untuk siri kedua tidak lama lagi. Nantikan maklumat lanjut di laman www.malaysiadigitalhub.my/virtualfunding

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: