JUALAN PIZZA PESERTA EUSAHAWAN MDEC CECAH RM100,000 SEBULAN

12.08.2020

Berbekalkan modal RM30, seorang wanita di Kampung Bukit Bunga, Jeli, Kelantan, di sini boleh tersenyum apabila perniagaan pizzanya kini mampu meraih jualan mencecah enam angka sebulan.

Berkongsi pengalaman, Noraini Ahmad, 34, yang juga alumni program eUsahawan anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkata, tembok kebal untuk meraih kejayaan dalam perniagaan yang diusahakan sejak enam tahun lalu berjaya dipecahkan dengan mendigitalkan perniagaan.

Noraini berkata, ketika awal perniagaan, dia tidak yakin untuk menggunakan platform media sosial malahan mengakui hanya membuat pemasaran digital secara ala kadar sahaja.

“ Bagaimanapun, saya sedar jika ingin melihat perniagaan ini berkembang, saya perlu melakukan perubahaan. Oleh itu, saya belajar menghasilkan pizza yang bersaiz lebih besar untuk menarik perhatian pelanggan.

“ Pada masa sama, saya mula menyertai beberapa kelas pemasaran digital termasuk yang dianjurkan oleh MDEC,” katanya.

Terdahulu, Noraini berkongsi perkembangan perniagaan Pizza Jangok Mek Ani dalam sesi forum yang dikendalikan aktor yang juga usahawan, Fizo Omar sempena Program Menjana Ekonomi Digital di sini baru-baru ini.

Program yang mendapat kerjasama MDEC itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Seramai 150 orang usahawan di Jeli menyertai program selama sehari itu yang mana antara pengisiannya termasuk untuk mendedahkan usahawan tentang manfaat program Perkhidmatan e-dagang Setempat (PeDAS) dan cara-cara untuk menjual produk di platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada.

Bercerita lanjut, Noraini berkata, rekod jualan menghampiri RM100,000 yang dicatatkan itu dicapai selepas beberapa minggu perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19.

Katanya, ketika itu dia mula melakukan pemasaran digital secara agresif, menyusun operasi perniagaan dan melantik runner di kawasan sekitar untuk membantu proses penghantaran pizza kepada pelanggan.

“ Berdasarkan maklum balas pelanggan, pizza keluaran syarikat saya istimewa kerana mempunyai tekstur roti yang lembut,” katanya.

Ketika ini, Noraini mempunyai 12 orang pekerja termasuk secara sambilan dan mampu mengeluarkan sekitar 450 kotak pizza setiap hari.

Menurutnya, ketika ini syarikatnya mengeluarkan tujuh jenis pizza iaitu ayam, makanan laut, tuna, daging, mix taste, ayam tom yam dan tuna with cheezy dengan harga bermula RM18 hingga RM28.

“ Bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan, saya turut menawarkan empat pilihan topping iaitu mushroom soup, funfries, lekor cheese dan cheezy wedges,” katanya.

Ketika ini, Noraini telah mempunyai 10 agen di sekitar Kelantan termasuk di Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tumpat dan Gua Musang.

Ditanya mengenai ilmu yang dipelajari sewaktu menyertai kursus eUsahawan MDEC, Noraini berkata, dia mendapat tips berguna membabitkan pemasaran digital.

“ Saya diajar bagaimana untuk menjawab pesanan pelanggan serta kaedah untuk membuat posting tentang pizza di media sosial . Saya berterima kasih kepada MDEC kerana inisiatif ini sangat membantu perniagaan untuk mendapat pelanggan di kawasan yang lebih luas,” katanya.

Oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: