HIDANGAN SAMBAL ZAMAN KANAK -KANAK KINI SUMBER PENDAPATAN

02.04.2020

Setiap kali cuti sekolah, Fauziah Noh pasti teruja untuk pulang ke kampung di Alor Gajah, Melaka bertemu neneknya, Halimah Kalam.

Selain mengambil peluang bermanja dan melepaskan rindu, Fauziah yang ketika itu masih di sekolah rendah sebenarnya turut tidak sabar untuk merasai sambal pedas hasil air tangan neneknya yang berdarah Baba dan Nyonya.

Kini, selepas lebih 30 tahun, bekas kakitangan perhubungan awam di beberapa syarikat itu tidak menyangka, sambal ‘memori’ kanak -kanaknya kini menjadi sumber pendapatan utamanya sejak setahun lalu.

Graduan bidang perakaunan dari Universiti Malaya itu berkata, dia dan suaminya yang juga bekas chef di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur menyahut cabaran memulakan perniagaan yang dinamakan The Sambal Nenda N9.

“Arwah nenek menggunakan bahan ringkas seperti cili kampung dan ikan bilis untuk hasilkan sambal ini namun cukup untuk membuka selera apabila dinikmati bersama nasi panas,” katanya ketika ditemui di Pusat Intenet Desa (PID) Beranang di sini baru – baru ini.

Fauziah dan empat lagi usahawan merupakan kumpulan pertama yang menyertai projek rintis Perkhidmatan e-dagang Setempat (PEDAS) yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Program berkenaan antara lain bertujuan memberi peluang kepada usahawan kecil dan sederhana untuk mengasah kemahiran dalam perniagaan e-dagang.

Ketika ini terdapat 10 pusat PEDAS di seluruh negara iaitu Tanjung Malim (Perak), Tanjung Kling (Melaka), Kuala Nerang (Kedah), Balik Pulau (Pulau Pinang), Kuala Kurau (Perak), Sungai Koyan (Pahang), Sungai Mati dan Pagoh (Johor), Kota (Negeri Sembilan) dan Beranang (Selangor)

Berkongsi pengalaman menyertai PEDAS, Fauziah yang turut berpengalaman bekerja dengan syarikat penerbangan berkata, dia dan suaminya menjadi lebih berdisiplin menguruskan perniagaan.

“ Saya dan rakan usahawan lain mendapat tunjuk ajar daripada seorang jurulatih yang mengajar selok belok tentang rancangan perniagaan, pengurusan akaun dan bagaimana untuk memasarkan perniagaan di platform media sosial,” katanya.

Menurutnya, perniagaannya mula menunjukkan peningkatan apabila mampu meraih pendapatan sehingga RM11,000 sebulan hasil jualan sambal berkenaan.

“ Sehingga kini saya telah mempunyai dua orang agen yang membantu memasarkan produk,” katanya.

Ditanya sama ada bercadang untuk membesarkan lagi perniagaan, Fauziah berkata, dia dan suaminya mahu mengekalkan kaedah operasi ketika ini bagi mengekalkan kualiti produk.

“ Kami tidak menggunakan bahan pengawet namun sambal ini mampu bertahan sehingga enam bulan kerana proses penyediaannya yang teliti,” katanya yang mengeluarkan kira -kira  40 botol sambal setiap hari.

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: