GURU TERBAIK DUNIA KONGSI PENGALAMAN DIGITALKAN PELAJAR LUAR BANDAR SEWAKTU PKP

17.04.2020

Cikgu Hailmi menjadi guru pertama negara dijemput menyertai kursus guru antarabangsa di Geneva, Switzerland.

Melihat kepada senarai pencapaian guru ini, bukan biasa ‘resume’ yang telah dibina sepanjang menjadi pendidik lebih 13 tahun lalu.

Apa tidaknya, Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib ,39, pernah disenaraikan sebagai 50 Guru Terbaik Dunia anjuran Varkey Foundation.

Selain itu,  guru subjek Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun, Kedah  juga mencipta sejarah apabila menjadi guru pertama di negara ini yang dipilih menyertai kursus guru antarabangsa di Pusat Nuklear Eropah di Geneva, Switzerland.

Bagaimanapun, tanpa disangka, Norhailmi juga ‘diuji’ seperti majoriti penduduk dunia ketika ini apabila terpaksa ‘berehat’ daripada melaksanakan tugas di sebuah sekolah yang dikategori luar bandar gara - gara pandemik Covid-19.

Namun demikian, selaras dengan kemajuan teknologi komunikasi dan galakan yang diberikan kerajaan untuk mengaplikasi sistem pembelajaran dalam talian, beliau yang mesra dipanggil Cikgu Hailmi turut ‘mendigitalkan’ para pelajarnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Berkongsi pengalaman dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) baru – baru ini, penerima hadiah Guru Adiwira Kebangsaan 2019 itu berkata, pengajaran dan pembelajaran dalam talian ketika ini membuka peluang kepada guru dan pelajar menggunakan sistem itu yang telah lama dipraktikkan di negara – negara maju.

“ Guru perlu menjadi lebih kreatif untuk memastikan para pelajar dapat mengikut kelas secara maya dan menjadi cabaran juga untuk memastikan mereka memahami kaedah ini,” katanya.

Katanya, pada awal perlaksanaan sistem e-pembelajaran, maklum balas yang diterima cukup memberangsangkan.

“ Selepas beberapa hari, saya mendapati keterujaan di kalangan pelajar semakin menurun dan pada peringkat ini sangat penting untuk guru memahami situasi,”katanya.

Hasil ‘kajian’ yang dilakukan, beliau mendapati  faktor persekitaran turun memainkan peranan dalam memastikan kelancaran proses pengajaran secara digital.

“ Saya perlu menangani kesejahteraan mental dan emosi para pelajar kerana mereka turut terkesan dengan PKP. Sebagai contoh, terdapat pelajar yang berlatar belakang keluarga susah yang mana ibu bapa mereka kehilangan punca pendapatan kerana tidak dapat bekerja dan semua ini faktor ini perlu diambil kira,” katanya.

Oleh itu katanya, ada di kalangan pelajar yang ‘terputus’ kredit dan tidak dapat melanggan pakej internet untuk mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

Pada masa sama, beliau yang pernah menjadi ahli panel untuk program #MYDIGITALMAKER anjuran MDEC  berkata , masalah lain yang timbul termasuklah liputan rangkaian internet yang perlahan di kawasan kampung turut mengganggu rentak pembelajaran.

Guru cemerlang Sains ini turut menjadi ahli panel program #MYDIGITALMAKER anjuran MDEC

“ Antara medium yang digunakan termasuklah WhatsApp, Telegram, Kahoot, Quizizz, Zoom dan Microsoft Team,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru, Mohd Shahrir Mohamed,37, yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di SMK Kampung Dato Seri Kamaruddin, Manjung, Perak turut berkongsi pengalaman mengajar secara digital sewaktu PKP.

Katanya, disebabkan oleh sambungan internet yang kadang kala tidak stabil, dia memilih menggunakan aplikasi Telegram untuk berhubung dengan pelajar - pelajarnya.

“ Saya memberi kerja rumah kepada mereka menerusi Telegram manakala penghantaran dan semakan dibuat secara emel. Walaupun tidak bertemu di sekolah, sekurang -kurangnya sesi pengajaran dan pembelajaran yang dapat dilaksanakan ketika PKP menggunakan aplikasi komunikasi berkenaan, “ katanya.

Sebelum ini, MDEC  menyeru masyarakat untuk beralih kepada platform e-pembelajaran dan alternatif digital sebagai cara untuk mengatasi cabaran semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, rakyat Malaysia, terutama ibu bapa yang perlu bekerja dari rumah, boleh mengambil peluang itu untuk memastikan anak mereka terbabit dalam aktiviti positif dan kandungan yang memberi manfaat untuk memperoleh pengetahuan melalui cara baharu.

Ibu bapa yang mempunyai anak di peringkat pendidikan rendah, menengah dan pendidikan tinggi boleh meneroka platform ini melalui kursus ditawarkan di https://mdec.my dan senarai akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: