DONUT RM26 000 BIKIN PENGUSAHA TERSENYUM

28.10.2020

Jangan terkejut apabila nilai RM26 000 diletakkan pada tajuk di atas. Ini kerana ‘kuih’ yang dipercayai mula wujud sejak abad ke-18 hasil cetusan idea seorang kapten kapal itu dari Belanda itu masih dijual pada harga yang mampu dinikmati kita semua.

Yang dimaksudkan ialah pendapatan bulanan diraih oleh Noor Azliza Ab Aziz, 32, di Kampung Rabbana, Jeli, Kelantan yang menyara hidup dengan menjual pelbagai jenis donut dan kek.

Menyedari dunia perniagaan hari ini mempunyai hubungan kimia yang sangat rapat dengan pemasaran digital, wanita itu juga menyahut cabaran untuk ‘mendigitalkan’ perniagaannya.

Menyingkap kembali pembabitan selaku chef kek dan donut ‘tersohor’ di kampungnya, Noor Azliza berkata, pada mulanya operasi perniagaan hanya dilakukan pada skala kecil sambal dibantu oleh ahli keluarganya.

“ Ketika awal operasi, Aleeza Bakery menjual donut dengan pendapatan sekitar RM400 hingga RM500 sebulan. Kemudian, saya mula membuat kek bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan,” cerita bekas pelajar bidang bakeri di Kolej Komuniti itu.

Menurutnya, selepas setahun, donut dan kek yang dihasilkan mula menjadi sebutan apabila permintaan meningkat dengan mendadak sehingga tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan.

“ Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menyewa sebuah kedai dan mengupah empat pekerja supaya dapat memenuhi permintaan,”katanya ketika ditemui wakil blog Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) baru – baru ini.

Noor Azliza yang turut mendapat ‘sentuhan’ MDEC dalam program pemasaran digital berkata, perkembangan Aleeza Bakery turut membolehkan syarikatnya menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.

“ Ini kerana saya memerlukan khidmat ramai runner bagi menghantar pesanan di sekitar Jeli , Gua Musang, Tanah Merah dan Pasir Mas,” katanya.

Ditanya tentang kaedah pemasaran digital, Noor Azliza berkata, kemajuan pesat media sosial seperti Facebook dan Instagram dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempromosikan donut dan kek keluaran syarikatnya kepada penduduk setempat.

“ Pada peringkat awal, saya juga tidak begitu mahir sehingga terpaksa menyertai beberapa bengkel keusahawaan digital anjuran pihak swasta dan agensi kerajaan seperti MDEC dan sebagainya. Menerusinya,  pelbagai ilmu baharu yang dipelajari untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Noor Azliza memberitahu, syarikatnya turut kehilangan pendapatan pada minggu pertama kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu kerana dia menutup operasi.

“ Bagaimanapun, selepas dua minggu, Aleeza Bakery kembali beroperasi malahan saya lebih agresif melakukan pemasaran secara digital. Hasilnya, syarikat mendapat tempahan donut dan kek lebih banyak, mungkin kerana waktu itu masih ramai yang tidak keluar rumah,” katanya

Nor Azliza berkata, hasil pemasaran digital, dia berjaya mengekalkan momentum jualan.

“ Sehingga kini, jualan RM1,000 secara konsisten dijana setiap hari atau bersamaan sekitar RM26,000 sebulan,” katanya yang tidak beroperasi pada setiap Jumaat.

Berkongsi  rahsia donut dan kek yang dihasilkan begitu mendapat sambutan , Noor Azliza berkata, dia menggunakan bahan-bahan bermutu untuk menjaga kualiti produk.

“ Saya pernah membuat bancian terhadap 5,000 penduduk di Jeli dan maklum balas yang diterima ialah , majoriti memberi markah sembilan per sepuluh terhadap donut dan kek yang syarikat saya hasilkan,”katanya.

Katanya lagi, telur ayam yang digunakan pula kategori gred AA yang dibasuh supaya bebas virus samonila manakala bahan-bahan topping pula menggunakan jenama terbaik.

Untuk maklumat lanjut mengenai pendigitalasi peniagaan anda, sila layari https://www.go-ecommerce.my/

Oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: