Cerita saya tentang E-Wallet. Apa cerita anda?
21.02.2020
Hampir 10 tahun 'meninggalkan' Kuala Lumpur kerana bertugas dan menetap di Machang Bubok, Bukit Mertajam, yang merupakan sebuah pekan kecil di utara tanah air, penulis kembali ke ibu kota untuk memulakan tugas baharu di sebuah agensi kerajaan di Cyberjaya.
Secara kebetulan, agensi ini terkait rapat dengan usaha mendigitalkan ekonomi Malaysia. Sejujurnya, penulis tidak 'menyedari' kewujudan agensi ini walaupun ditubuhkan oleh kerajaan pada 1996 namun kini ia menjadi tempat mencari rezeki.
Namun begitu, tidak ada yang perlu dimalukan kerana sememangnya kita tidak tahu semua perkara dalam dunia. Maka, ungkapan setiap hari merupakan proses pembelajaran terpakai dalam konteks ini. Maafkan saya jika ada yang tidak bersetuju.
Sepanjang ‘berumah’ di utara, boleh dikatakan amat jarang untuk penulis berkunjung ke ibu negara, hanya beberapa kali sahaja jika ada urusan penting.
Mungkin selesa dengan kehidupan serba sederhana dan tenang di sana, termasuk urusan harian yang dilangsungkan secara konvensional. Sudah pasti, sebuah warung yang menyajikan kopi kampung terbaik dan pelbagai kuih - muih sentiasa diingati. Penulis kadang - kala membayar mengunakan syiling sahaja kerana harganya yang sangat murah. Tidak ada istilah e- Wallet di situ.
Namun demikian, penulis sedar sejak beberapa tahun lalu sudah muncul istilah 'cashless' berdasarkan pembacaan.
Penulis tahu di China, rakyatnya menggunakan e-wallet untuk urusan harian termasuk membeli kopi di Starbuck.
Ketika di utara, penulis hanya menggunakan kad pra bayar touch and go, itu pun kerana pada 2015, terdapat satu polisi bahawa tiada lagi pembayaran secara tunai di plaza tol. Penjelasan yang diberikan oleh pihak konsesi dan kerajaan ketika itu ialah kerana mahu mengurangkan kesesakan di akibat transaksi tunai.
Masih ingat lagi, usai pengumuman berkenaan, media sosial ‘meletup’ dengan pelbagai reaksi, ada yang menyokong namun ramai juga yang tidak bersetuju kerana alasan keputusan itu tidak peka kepada pengguna yang tidak mempunyai kemampuan membeli kad pra bayar.
Wujud juga kekeliruan maklumat bahawa pemilik kad pra bayar harus memasukkan jumlah RM50 setiap kali tambah nilai. Nah, sumpah seranah memenuhi dinding media sosial.
Berbalik kepada cerita e-Wallet, pada bulan pertama bertugas di tempat baharu, penulis diarahkan menghadiri seminar Hari Terbuka E-Dagang Malaysia yang dianjurkan di bangunan indah serba moden reka bentuknya yang dimiliki Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Penulis masih belum memiliki kad touch and go yang baharu kerana kad lama hilang. Akibatnya, penulis tidak dapat memarkir kenderaan di kawasan yang disediakan kerana hanya pengguna yang memiliki kad touch and go sahaja boleh memasuki ruang berkenaan.
Terpaksalah mengundur kenderaan dan dihon oleh pemandu di belakang. Penulis terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan luar bangunan itu sambil berdoa tidak disaman.
Ketika waktu makan tengah hari, pengunjung berpusu - pusu menyerbu beberapa food truck yang disediakan. Penulis juga mahu ikut serta kemeriahan itu namun kecewa apabila melihat peniaga meletakkan papan tanda pembayaran e-Wallet seperti kod bar, Alipay dan sebagainya.
Sedikit hampa, penulis mengatur langkah mencari kantin di bangunan berkenaan dan berharap pengendalinya masih menerima bayaran tunai. Akhirnya, makanlah nasi campur berlauk ikan goreng kerana hasrat hendak membeli burger kambing yang dijual pengusaha food Food Truck tidak kesampaian kerana ketiadaan e-Wallet serta aplikasi pembayaran yang boleh dimuat turun menerusi telefon pintar. Ya, saya masih old school, retro, klasik atau tradisional.
Bulan berikutnya, penulis bertugas di Bangsar untuk satu program pada hari Jumaat. Pada waktu solat Jumaat, penulis singgah di sebuah masjid. Apa yang menariknya, tidak kelihatan tabung untuk jemaah menghulurkan sumbangan seperti kebiasaan sebaliknya pengurusan masjid memaparkan bar kod untuk pengunjung yang berhasrat memberi derma. Penulis kagum dengan evolusi e-Wallet yang semakin meluas penggunaannya.
Akhirnya, penulis mula membeli kad touch and go baharu untuk memudahkan urusan harian.
Melalui beberapa bacaan, penulis mendapati menjelang 2022, hanya 17 peratus pembayaran global dibuat secara tunai manakala penggunaan dompet digital dan mudah alih akan terus meningkat mencecah 28 peratus daripada semua urus niaga jualan.
Menurut www.paymentscardsandmobile.com, sehingga Februari tahun lepas, China merupakan negara yang mempunyai pengguna mobile e-Wallet tertinggi di dunia dengan mencapai 26 peratus diikuti India dan UAE sebanyak 6 peratus.
Sedikit mengecewakan apabila portal berkenaan mendapati kadar penggunaan mobile e-Wallet di Malaysia hanya satu peratus sahaja namun ini tidak bermaksud negara kita ketinggalan. Jangan jadikan kes penulis sebagai contoh!
Menyedari kepentingan masyarakat tanpa tunai yang terkait rapat dengan ekonomi digital, kerajaan mula melaksanakan beberapa langkah terutamanya Inisiatif e-Tunai Rakyat yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2020.
Menerusi program ini, rakyat Malaysia yang memenuhi kriteria di bawah boleh mendapatkan RM30 secara satu kali dengan Boost membabitkan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai.
Bagi memastikan inisiatif terbabit mempercepatkan proses digitalisasi, wang RM30 itu perlu dibelanjakan penerima hingga 14 Mac 2020, manakala baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas tarikh berkenaan.
Selain itu, rakyat perlu menuntut wang berkenaan selewat-lewatnya pada 9 Mac depan melalui pengendali e-dompet terpilih.
Kerajaan turut menggalakkan semua peniaga supaya berdaftar dengan satu atau semua pengendali e-dompet supaya mereka mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
Difahamkan, hingga kini, lebih lapan juta peniaga menyediakan perkhidmatan pembayaran melalui e-dompet berkenaan.
Semoga langkah ini akan merancakkan lagi budaya masyarakat tanpa tunai di negara kita dan penulis bersedia untuk bergerak ke arah e-Wallet sepenuhnya. Anda bagaimana?
#LetsBuildTogether #BinaBersama #DigitalMalaysians
Artikel oleh Mohd Firdaus Ismail
Share this: