BILA MANGGA HARUM MANIS MASUK ‘PASAR DIGITAL’

20.04.2020

Mangga Harum Manis dari Perlis kini turut dijual di media sosial sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa, pelbagai produk memasuki pasaran e-dagang sekaligus merancakkan sektor ekonomi digital.

Terbaharu, tular di laman sosial mengenai ‘kehadiran’ hasil pertanian tersohor berasal dari Perlis iaitu Mangga Harum Manis yang kini menjadi pilihan peniaga dalam talian.

Sebelum ini, kemasyuran mangga berkenaan yang dianggap ‘produk pertanian emas’ Perlis terbukti apabila telah dieksport ke Singapura dan Jepun sekaligus memberi pulangan cukup lumayan kepada pengusaha tempatan.

Mengambil peluang daripada populariti buah tempatan itu, seorang tukang urut sukan yang ‘berehat’ daripada rutin mengurut turut mengambil peluang menjual buah berkenaan menerusi pelbagai platform digital ketika ini.

Muhammad Hamka Ruslan, 26, berkata, sejak mula mempromosikan buah berkenaan menerusi laman sosial pada minggu kedua PKP, dia mendapat pesanan yang memberangsangkan.

Tekstur isi yang lembut dan manis menjadi punca Mangga Harum Manis kini menerima sambutan hangat apabila didagangkan di media sosial.

“ Sebenarnya saya mula menjual Mangga Harum Manis pada 2017 namun berhenti apabila bekerja tetap dengan sebuah syarikat selain mula menawarkan perkhidmatan urutan sukan.

“ Bagaimanapun, selepas kerajaan melaksanakan PKP, syarikat tempat saya bekerja tidak beroperasi manakala sesi urutan juga terpaksa ditangguhkan menyebabkan saya mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan,” katanya.

Biarpun tinggal di Kuala Lumpur, Muhammad Hamka berkata, tidak sukar untuk menguruskan perniagaan itu kerana semua urusan dijalankan secara dalam talian.

“Saya menjual dengan harga yang mampu dibeli iaitu RM25 sekilogram (kg) dan apabila pesanan melebihi 100 kg, saya terpaksa berhenti menerima pesanan baharu untuk sementara waktu,” katanya kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) baru-baru ini.

Buah yang telah dimasukkan ke dalam kotak sedia dipos ke seluruh negara menerusi jualan digital.

Menurutnya, dengan memanfaatkan teknologi digital, semua pesanan dapat diuruskan dengan baik walaupun produk yang dijualnya terletak jauh di Perlis manakala penghantaran dilakukan ke seluruh negara.

Ditanya mengenai cabaran menjual produk secara dalam talian, bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, setiap perniagaan mempunyai masalah yang harus diselesaikan demi memastikan kelangsungan perniagaan.

“ Saya bergantung kepada kecekapan syarikat kurier yang mengendalikan proses penghantaran kepada pelanggan kerana jika dibiarkan tersadai lama, buah mangga ini berpotensi untuk rosak,” katanya.

Menurutnya, dia juga membuat jadual dengan keutamaan penghantaran diberikan kepada pelanggan yang telah membuat pesanan lebih awal.

“ Selain itu, sebagai peniaga dalam talian, kita perlu rajin membuat promosi menggunakan media sosial bagi memastikan kewujudan perniagaan disedari,” katanya.

Sikap memanfaatkan peluang digital yang wujud ketika ini bertepatan dengan seruan menggalakkan usahawan mikro dan kecil di Malaysia oleh MDEC untuk terus mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka sepanjang tempoh PKP.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, sokongan kepada komuniti usahawan mikro dan kecil daripada MDEC bukan hanya membabitkan kumpulan yang terlibat dalam program kelolaan agensi tersebut.

“Setiap lapisan masyarakat juga boleh memanfaatkan portal yang disediakan untuk mendapatkan maklumat yang boleh membantu perniagaan.

Misalnya, portal https://www.go-ecommerce.my/ telah membantu seramai 183,290 usahawan digital untuk mempelajari kemahiran e-dagang yang sentiasa dikemas kini dengan maklumat semasa,” katanya.

Katanya portal itu juga sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan digital.

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: