Animasi Upin & Ipin, Dari Kampung Durian Runtuh ke Los Angeles

17.01.2020

Siapa sangka watak sampingan dua kanak -kanak yang sedang bermain di tepi jalan di Kampung Durian Runtuh dalam filem animasi Geng Pengembaraan Bermula yang dicipta lebih 15 tahun lepas kini telah melangkah ke Anugerah Akademi iaitu majlis pengiktirafan filem paling gah di dunia.

Yang dimaksudkan ialah dua nama  ikonik iaitu Upin dan Ipin menerusi animasi Upin & Ipin; Keris Siamang Tunggal yang tersenarai sebagai 32 calon akhir kategori filem animasi terbaik anugerah berkenaan.

Ketika catatan ini ditulis, peminat tempatan mungkin sudah sedia maklum perjuangan filem terbitan Les’ Copaque itu untuk menjadi lima calon terbaik sudah berakhir namun pesona karya Malaysia itu pastinya akan terus mekar dan menjadi inspirasi kepada pembikin animasi digital lain untuk terus mengorak langkah ke persada global.

Les’ Copaque telah buktikan karya animasi Malaysia bukan sekadar jaguh serantau sahaja kerana filem itu telah memenangi Filem Cetera Terbaik pada Festival Filem Animasi Antarabangsa (Animaze) di Montreal, Kanada pada tahun lepas.

Bercakap kepada wakil Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), penerbitnya, Burhanuddin Md Radzi mengakui animasi berkenaan sememangnya dihasilkan untuk pasaran global dengan dimasukkan elemen budaya tempatan.

Katanya, kerja seni menghasilkan Upin & Ipin; Keris Siamang Tunggal itu selama lima tahun dengan kos membikin sebanyak RM20 juta menjadi bukti kesungguhan Les’ Copaque memartabatkan animasi tempatan di mata dunia.

“ Segala kerja produksi perlu teliti. Menulis skrip dan plot bukan kerja satu malam, banyak tenaga teknikal yang profesional digunakan untuk menghasilkan karya ini,” katanya.

Namun demikian,  di sebalik ‘kekalahan’ Upin & Ipin memecah tembok kebal pencalonan Anugerah Oscar, mereka sebenarnya sudah menang besar bersandarkan kutipan tayangan sebanyak RM26 juta.

Jangan pula terkejut jika angka berkenaan terus meningkat dan menjadi filem Malaysia dengan kutipan tertinggi. Mungkin satu lagi sejarah baharu bakal dilakar oleh keluarga Upin dan Ipin ini.

Ini kerana menurut Burhanuddin, dalam tempoh terdekat, filem itu akan ditayangkan di 10,000 pawagam di China dengan jangkaan kutipan RM2 billion.

Ujar beliau, syarikat telah melabur RM6 juta untuk  promosi di negara yang mempunyai lebih 1.4 billion penduduk itu.

“ Atas sebab itulah sehingga kini filem berkenaan masih belum ditayangkan di pelbagai platform internet dan stesen televisyen tempatan kerana kita berusaha untuk menayangkan di beberapa buah negara lagi,” katanya.

Menurutnya, selepas China, Upin & Ipin; Keris Siamang Tunggal akan turut mengetuk pasaran Eropah apabila bakal ditayangkan di 200 buah pawagam di Turki.

Rancak berbual tentang animasi dan pengalaman menghantar pencalonan ke Oscar, bekas jurutera petroleum itu turut ‘membocor rahsia’ yang pastinya mengundang keterujaan kepada peminat Upin dan Ipin.

Katanya, sedikit masa lagi, peminat filem itu berpeluang menikmati pemandangan indah Kampung Durian Runtuh apabila dua model taman tema (seperti Disneyland) bakal dibina.

Jelas beliau, taman tema berkonsep indoor akan ‘muncul’ di Kuala Lumpur dengan pelaburan sebanyak RM60 juta.

Manakala satu lagi berkonsepkan outdoor pula dengan pelaburan mencecah billion ringgit namun lokasinya belum dapat ditetapkan.

“ Mungkin MDEC boleh membantu kami dalam aspek ini dengan mencari lokasi sesuai,” katanya.

Menutup bicara, Burhanuddin turut mengambil kesempatan memberi kredit kepada MDEC yang ‘menglibatkan’ diri dalam penghasilan animasi berkenaan dengan sokongan berterusan.

#BinaBersama #aniMY

Share this: