ANIMASI MALAYSIA TERUS CERIA PASCA COVID-19

03.07.2020

Industri animasi atau kandungan digital kreatif negara nampaknya tidak berehat panjang untuk bangkit semula selepas pandemik Covid-19 beransur – ansur ‘hilang’ di negara kita.

Bidang berkenaan mendapat perhatian kerajaan apabila Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) diberikan peruntukan berjumlah RM35 juta untuk memacu industri kandungan Kreatif Digital.

Apabila bercakap tentang syarikat produksi yang aktif menerbitkan animasi di negara ini, nama Animonsta Studio tentunya tidak boleh dipinggirkan.

Syarikat berkenaan sebelum ini mencipta kemasyhuran apabila filem animasi Boboiboy Movie 2 mencatat sejarah ketika ditayangkan pada tahun lepas dengan kutipan tiket RM27.7 juta.

Rekod itu dilakar selepas 26 hari tayangan di pawagam sekaligus muncul sebagai animasi tempatan terlaris , lebih mengagumkan ia turut mengatasi kutipan filem animasi antarabangsa yang pernah ditayangkan di negara ini.

Berkongsi mengenai buah tangan terbaharu, Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studio, Nizam Abd Razak berkata, seperti kebanyakan sektor lain, pihaknya juga terkesan dengan pandemik Covid-19 sehingga terpaksa menangguhkan tayangan filem animasi berjudul Mechamato.

Katanya, pada awalnya filem itu dijangka akan ditayangkan pada hujung tahun ini namun akibat keadaan tidak menentu, pihaknya membuat keputusan untuk menunda tayangan ke tahun depan.

“ Mechamato berkisarkan pengembaraan seorang pemuda bernama Amato yang secara tidak sengaja menjadi pemilik MechaBot, sebuah sfera kuasa yang mempunyai kebolehan untuk bergabung dengan objek lain,” katanya ketika berkongsi sinopsis filem berkenaan.

Ditanya tentang kos pembikinan produk itu, Nizam berkata pihaknya masih belum bersedia untuk mendedahkan butiran terperinci.

“ Selain filem berkenaan, syarikat turut fokus kepada siri pendek Papa Pipi dengan syarikat menggunakan khidmat hampir 100 pekerja merangkumi pelbagai bidang untuk menyiapkan dua produk berkenaan,” katanya.

Ditanya tentang sasaran untuk produk baharu mereka, Nizam berkata, Animonsta Studio mengharapkan agar setiap golongan golongan terhibur apabila menonton siri berkenaan terutamanya Papa Pipi yang sarat dengan kisah tauladan dalam setiap episod.

“ Kami akan menggunakan pelbagai medium untuk mempromosikan siri berkenaan dan filem kelak termasuk televisyen, radio, majalah, akhbar serta media sosial termasuk saluran Youtube, mobile app serta serta platform digital lain,” katanya.

Pada masa sama, Nizam turut meluahkan rasa gembira kerajaan memberi fokus kepada sektor seni kreatif membabitkan animasi yang disebut secara khusus dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“ Ini menunjukkan kerajaan menyedari kepentingan industri seni kreatif dan animasi.

Dana RM35 juta yang disediakan untuk animasi perlu sampai ke pelbagai lapisan dalam sektor seni kreatif. Ianya juga perlu membabitkan projek-projek yang boleh melibatkan ramai pihak dalam sektor ini,” katanya.

Selain itu, beliau berharap animasi perlu mempunyai fokus kepada mengeksport kerana ia merupakan kandungan kreatif yang paling berpotensi dan mudah untuk dieksport ke luar negara.

Jika Animonsta sedang mencongak tayangan filem baharu, lain pula halnya dengan sebuah lagi syarikat animasi tempatan, Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. yang baru – baru ini mencipta sensasi peringkat global.

Ini kerana saluran Youtube syarikat yang terkenal dengan siri Upin dan Ipin itu merekodkan 10 juta pelanggan sekali gus layak menerima Anugerah Diamond Play Button dari platform video berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Difahamkan, sehingga Februari tahun ini, hanya 566 saluran Youtube di seluruh dunia merekodkan 10 juta pelanggan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian yang dilakar oleh Les’ Copaque yang merupakan rakan strategik MDEC.

 Sebelum ini mereka turut melakar sejarah apabila filem animasinya Upin & Ipin; Keris Siamang Tunggal berjaya memasuki 32 calon akhir kategori animasi terbaik Anugerah Oscar.

“Di sebalik pandemik ini, ada perkara yang boleh kita belajar. inilah masanya untuk membuat lonjakan digital supaya kita dapat mengharungi era Revolusi Perindustrian 4.0 dengan menggunakan teknologi  sekaligus membaiki hidup dan menikmati kemakmuran bersama,” katanya.

- oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: