Evolusi Satay TerraGrill Langkawi, dari Tradisional ke Digital

Pada Lewat 1994,  seorang lelaki dari Baling, Kedah, Abd Manaf Omar memulakan perniagaan menjual satay di beberapa tapak pasar malam di pulau Langkawi. Itulah sumber pendapatan utama untuk membesarkan lima anaknya.

Satay yang dihidang bersama kuah kacang pantas menjadi bualan penduduk sekitar kerana kelazatan dan kesegaran tekstur dagingnya.

Selepas 26 tahun berlalu, perniagaan berkenaan masih bertahan namun mengalami evolusi selaras dengan perkembangan teknologi digital.

Hari ini, anak sulungnya, Zainah ,42, meneruskan legasi berkenaan namun menyuntik idea segar apabila menjenamakan semula perniagaan itu sebagai TerraGrill Langkawi.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, selepas bapanya tidak sihat, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pengurus di sebuah syarikat antarabangsa bagi mengambil alih perniagaan pada 2011.

 “ Ketika itu, ayah bersama pekerjanya hanya mampu menghasilkan 3,000 cucuk satay yang dijual di pasar malam. Langkah pertama yang saya lakukan ialah dengan memindahkan operasi ke sebuah kilang bagi membolehkan syarikat dapat mengeluarkan lebih banyak produk dan kini kapasiti pengeluaran mencecah 7,000 cucuk sehari,” katanya ketika dihubungi baru – baru ini.

Jenama Terragrill semakin berkembangan apabila turut menawarkan makanan lain seperti nasi ayam penyet, soto ayam serta soto tulang malahan mereka kini beroperasi secara dalam talian.

“ Kami masih mempunyai tapak  di pasar malam namun kini turut membuka sebuah kafe di Pekan Kuah dengan dibantu oleh 22 pekerja bagi termasuk operasi  kilang, tapak jualan pasar malam dan kafe . Dua lagi pula bertugas sebagai penghantar makanan,” katanya.

Terragrill Langkawi semakin ‘meletup’ apabila Zainah membuat promosi di platform digital seperti Facebook, Instagram dan laman web dengan angka jualan mencecah RM40,000 hingga RM60,000 setiap bulan.

Jenama satay ini merupakan antara 100 usahawan di Langkawi yang menyertai Program 100 Go Digital yang dianjurkan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di pulau berkenaan pada tahun lepas.

100 Go Digital yang dilaksanakan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan itu antara lain bertujuan untuk membantu dan membolehkan perniagaan tradisional dalam sektor utama bergerak ke arah digitalisasi untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan perniagaan dan pengalaman pelanggan.

Usahawan yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang program 100 Go Digital boleh melayari laman web https://mdec.my atau menerusi Facebook 100 Go Digital.

Bercerita lanjut mengenai manfaat menyertai program itu pula, Zainah yang juga graduan bidang Ekonomi Industri dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, dia kini turut mengaplikasikan sistem pembayaran tanpa tunai di kafenya bagi kemudahan pelanggan.

Katanya pelbagai manfaat selepas melaksanakan langkah berkenaan termasuklah tunai harian mudah diuruskan, kurang masalah shortage selain menjimatkan masa kerana tidak perlu ke bank setiap hari untuk memasukkan duit.

Ketika negara berdepan wabak Covid -19, Zainah berkata, syarikatnya beroperasi seperti biasa namun mengakui terdapat cabaran yang perlu ditempuhi.

“ Seperti perniagaan kedai makanan lain, kami hanya menawarkan jualan secara bungkus sahaja manakala untuk penghantaran pula, langkah tambahan seperti mewajibkan penghantar makanan mencuci tangan sebelum dan selepas  melaksanakan tugas,” katanya.

Zainah memberitahu, pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa, pesanan dalam talian masih seperti biasa namun mula mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus hari berikutnya.

“ Pada tiga hari berikutnya pula, pesanan meningkat sebanyak 80 peratus sebelum berkurangan pada hari kelima selepas pihak berkuasa meminta tempoh operasi perniagaan ditamatkan lebih awal,” katanya.

Namun beliau berharap perniagaannya akan terus bertahan kerana baru -baru ini Terragrill mula meluaskan pasaran apabila kini turut menjual produknya di Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong , di Selangor bermula bulan lepas.

© 2020 Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (389346-D). All rights reserved.