PENANGAN 100% DIGITAL, BAJU T DARI CHANGLUN, KEDAH TERBANG KE SABAH SEWAKTU PKP

23.04.2020

Mohamad Syamim menggunakan siaran langsung Facebook untuk menarik perhatian pembeli mengenai kepelbagaian baju T dan aksesori yang dijualnya.

Satu persatu helaian baju T terpakai atau ‘bundle’ yang tergantung diangkat dan ditunjukkan kepada ‘penonton’.

Sambil tersenyum, Mohamad Syamim  Ab Malek, 29, tekun menjawab pelbagai soalan yang diajukan menerusi siaran langsung Facebook.

Sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19, begitulah rutin harian pemuda berkenaan yang menetap di Changlun, sebuah pekan kecil yang terletak tidak jauh dari sempadan Malaysia – Thailand.

Dia memanfaatkan kemudahan teknologi digital untuk menjana pendapatan ketika ramai yang mengeluh kerana hilang punca akibat Covid-19.

“ Setiap hari saya membuat beberapa kali sidang video di Facebook untuk berceloteh dengan kawan – kawan sambil mempromosikan baju T dan pelbagai barangan lain yang dijual.

“ Ada yang berkongsi video langsung saya di beberapa laman Facebook sehingga mendapat tontonan ramai, jadi lebih mudah untuk mendapat pembeli berpotensi,”katanya kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) baru – baru ini.

Menurut bekas pekerja teknikal itu, setiap hari dia berjaya ‘mendapat’ pelanggan terutamanya yang berminat dengan baju T  edisi terhad yang sangat diburu oleh peminat barangan bundle.

“ Setiap hari,  sebanyak 15 barangan seperti baju T, topi, jam, seluar, beg dan kasut yang masih dalam keadaan elok berjaya dijual. Selepas pelanggan sahkan pembelian dan membuat pembayaran secara dalam talian, saya akan poskan pada hari berikutnya, “ katanya.

Menurutnya, selain mengepos kepada pelanggan di kawasan sekitar hingga ke Kuala Lumpur, terdapat juga pembeli dari Sabah dan Sarawak yang berminat dengan produknya.

“Antara baju T yang dijual ialah mengenai kumpulan muzik tertentu dengan corak yang esklusif. Selepas dipromosikan, pasti ada pembeli namun perlu rajin membuat pemasaran digital,” katanya.

Baju T mengenai kumpulan muzik antara yang mendapat permintaan tinggi sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Selain menggunakan sesi siaran langsung Facebook sebagai platform , dia turut menjual menerusi Instagram dan aplikasi Whatsapp.

Pada masa depan, Mohamad Syamim merancang untuk menyusul perniagaan dengan teratur termasuk mewujudkan laman web khas.

“ Selepas ini saya bercadang untuk mengikut kelas atau pembelajaran e-Dagang bagi mengembangkan rangkaian perniagaan atau menjual di platform-platform sedia ada seperti Shopee dan Lazada,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif MDEC membantu peniaga dalam talian serta sektor e-Dagang di di negara ini, anda boleh melayari portal https://www.go-ecommerce.my/my yang memberikan pelbagai maklumat terkini yang mungkin boleh membantu perniagaan anda.

oleh Mohd Firdaus Ismail

Share this: