#100 Go Digital bantu lebarkan perniagaan sate pulau ke ibu kota

18.06.2021

Terragrill, jenama sate popular di Pulau Langkawi kini semakin melebarkan operasi dengan membuka kedai sejuk beku pertamanya di ibu kota.

Pemiliknya, Zainah Abd Manaf yang juga alumni program 100 Go Digital anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkata, beliau teruja kerana impian untuk melihat jenama berkenaan ‘belayar’  keluar dari Langkawi berjaya direalisasikan walaupun negara masih berdepan suasana tidak menentu akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berlarutan.

Katanya, setelah membuat kajian, syarikat itu membuat pelaburan sebanyak RM50,000 untuk membuka kedai berkenaan yang terletak di tingkat atas Pasar Taman Tun Dr. Ismail yang disifatkan sebagai lokasi strategik.

“Walaupun baharu beroperasi pada awal bulan ini, saya bersyukur kerana kami berjaya menjual sebanyak satu tan sate ayam, daging dan kambing dengan hasil jualan sekitar RM20,000. Saya jangkakan dalam tempoh dua minggu berikutnya, sebanyak satu tan lagi stok akan terjual,” katanya di sini hari ini.

Ditanya mengenai langkah berani untuk membuka kedai ketika ini, Zainah,43, berkata, Terragrill perlu tampil dengan strategi digital baharu untuk memastikan kelangsungan perniagaan.

“Hasil jualan di Langkawi bergantung kepada permintaan daripada hotel namun disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan disambung pula dengan PKPB, terdapat hotel yang menutup operasi manakala hotel yang masih bertahan telah mengurangkan pembelian.

“Sebelum ini, Terragrill turut menghantar produk ke Kuala Lumpur dan Selangor. Oleh itu, langkah membuka kedai sejuk beku di sini bertujuan untuk memenuhi permintaan pelanggan di Lembah Klang dan memastikan syarikat terus menjana pendapatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainah berkata, pelaburan yang dibuat membabitkan kos sewa kedai, pembelian peti sejuk beku besar, menggaji dua orang pekerja baharu dan membuat pemasaran digital.

“Bagi memastikan sate yang dijual kepada pelanggan berada dalam keadaan segar, saya memastikan penghantaran stok dari kilang di Langkawi dilakukan pada setiap minggu,” katanya.

Jenama Terragrill merupakan antara 100 usahawan di Langkawi yang menyertai Program 100 Go Digital.

Menerusi penglibatannya, Zainah berpeluang meluaskan perniagaannya ke ‘wilayah baharu’ sekaligus mengurangkan kerugian yang ditanggung akibat pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada sektor pelancongan di Langkawi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pegawai Perniagaan Digital MDEC, Aiza Azreen Ahmad berkata, agensi berkenaan sentiasa menggalakan usahawan tempatan bergerak ke arah pendigitalan supaya terus berdaya saing, lestari dan mampu bertahan dan berkembang ketika pandemik global.

“MDEC telah melancarkan program 100 Go Digital Coaching yang menggabungkan pelbagai komponen secara hands-on dalam memimpin peserta untuk memastikan mereka mencapai prestasi baik dalam perniagaan. Kisah usahawan seperti pemilik Terragrill ini yang menggunakan pendekatan digital dalam perniagaannya telah menunjukkan hasil dalam tempoh singkat dan meluaskan perniagaan di kawasan baharu.  Ia selaras dengan matlamat MDEC yang memberi tumpuan terhadap empat teras DIGITAL iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada kempen jenama digital NADI MDEC yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, perniagaan dan para pelabur.

 Jenama Terragrill yang merupakan  peserta 100 Go Digital telah menguruskan teras Pengganggu (Disruptors) apabila membawa operasi perniagaannya ke kawasan baharu selepas Pulau Langkawi terjejas akibat sekatan pergerakan. Ini membuktikan bahawa kemahiran digital dapat membantu perniagaan untuk terus beroperasi di sebalik kekangan yang dihadapi. Inilah tujuan MDEC melaksanakan inisiatif untuk membimbing perniagaan tempatan bergerak ke arah pendigitalan bagi memastikan perniagaan terus bertahan dan berkembang,”katanya.

Pada masa hadapan, MDEC menerusi kepelbagai inisiatif mahu membimbing lebih banyak perniagaan tempatan mengembangkan operasi berteraskan teknologi terkini. Usaha ini selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang bertujuan untuk menyokong kira -kira 875 000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro ke platform digital menjelang 2025.

Mengenai 100 Go Digital, inisiatif ini menyasarkan untuk menyokong sektor perniagaan runcit, syarikat makanan dan minuman (F&B) logistik dan perkhidmatan profesional. Para jurulatih yang terlibat dengan program ini pula mempunyai rekod prestasi cemerlang dari lapan syarikat yang kukuh iaitu AutoCount, Deepsky, Estream Software, iBizzCloud, Innergia Labs, Locus-T, Million Software dan Smart-Acc Solutions. Senarai ini merupakan kumpulan pelatih digital pertama dengan lebih banyak para jurulatih yang akan ditambahkan pada masa terdekat.

Selain dari sesi latihan, syarikat-syarikat ini juga akan menyediakan bahan latihan dalam talian dan pasukan sokongan program yang berdedikasi.

Untuk mengetahui lebih lanjut dan mendaftar ke 100 Go Digital Coaching, sila kunjungi: https://mdec.my/100godigital .

Bercerita lanjut mengenai manfaat menyertai program itu, Zainah menjelaskan dia kini turut mengaplikasikan sistem pembayaran tanpa tunai di kafenya di Pekan Kuah, Langkawi bagi kemudahan pelanggan.

Katanya pelbagai manfaat diperolehi selepas melaksanakan langkah berkenaan termasuklah tunai harian mudah diuruskan, kurang masalah shortage selain menjimatkan masa kerana tidak perlu ke bank setiap hari untuk memasukkan duit.

Mengulas lanjut mengenai produk yang dijualnya di kedai sejuk beku, Zainah berkata, setiap satu kotak mengandungi 25 cucuk sate dengan harga bermula RM25 (ayam), RM29 (daging) dan RM37 bagi kambing yang didatangkan bersama sekotak kuah kacang seberat 200 gram.

“Memandangkan kedai di sini baru beroperasi, saya turut melantik sebuah agensi digital untuk melakukan kerja -kerja promosi dalam talian bagi menarik lebih ramai pelanggan. Pada masa sama, Terragrill turut mengemaskini platform media sosial dan laman web kami iaitu http://www.terragrillcafe.com ,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penerimagunaan Digital Perniagaan MDEC, Muhundhan Kamarapullai berkata, dalam situasi luar biasa yang dihadapi ketika ini, MDEC berpendapat PKS perlu terus diperkasa menerusi pendigitalan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

“Menerusi 100 Go Digital , setakat ini lebih 10,000  ribu PKS telah mendapat manfaat menerusi lebih 50 sesi yang telah dianjur MDEC dan rakan industri. Sidang Kemuncak PKS Dalam Talian yang dianjurkan secara maya di bawah inisiatif ini turut dipilih menerima Anugerah Emas Kategori  Acara Dalam Talian pada Anugerah Kecemerlangan Pemasaran 2020. Kesemua inisiatif dan pencapaian MDEC ini adalah untuk memastikan rakyat dan perniagaan mendapat manfaat daripada ekonomi digital yang berkembang pesat di samping berusaha mencapai cita-cita negara menjadi Nadi Digital ASEAN,” katanya.

Pada akhir temubual, Zainah mendedahkan, satu lagi cawangan kedai sejuk beku akan dibuka pada November ini namun beliau masih tidak bersedia untuk berkongsi lokasi sebenar.

Share this: