14.08.2020
Categories: people, rakyat

MDEC NASIHAT ORANG RAMAI JANGAN TERPEDAYA DENGAN SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

CYBERJAYA 14 Ogos 2020 : Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan menjadi mangsa terhadap tawaran pihak tertentu bagi menyertai skim pelaburan yang kononnya dikendalikan oleh agensi ini.

MDEC telah menerima beberapa aduan daripada orang ramai yang berasa ragu-ragu berhubung penularan mesej di laman sosial menggunakan logo MDEC meminta orang ramai supaya menyertai pelaburan yang menawarkan pulangan lumayan termasuk berpeluang memenangi kereta mewah.

Ingin dijelaskan bahawa MDEC tidak menawarkan pelaburan seperti yang ditularkan. Berdasarkan semakan, ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab oleh scammer. MDEC juga tidak pernah meminta pelanggannya atau orang awam membuat bayaran bagi menyertai sebarang program yang dikendalikan.

Pada masa sama, MDEC menyarankan agar orang ramai melayari laman web rasmi MDEC iaitu https://mdec.my untuk mengetahui inisiatif dan program terkini Kerajaan berkaitan ekonomi digital dan maklumat sahih.

Pengguna juga dinasihatkan mengunjungi akaun media sosial rasmi MDEC seperti Facebook https://www.facebook.com/MyMDEC, Twitter https://twitter.com/mymdec, Linkedin https://www.linkedin.com/company/mymdec/ atau Instagram di pautan https://www.instagram.com/mymdec/

Orang ramai juga boleh menghubungi talian bebas tol MDEC iaitu 1-800-88-8338 (dalam negara) atau +60383153000 bagi pelanggan antarabangsa untuk mendapatkan sebarang pengesahan.