07.08.2020
Categories: industry

MALAYSIA 5.0: PERIKATAN EKONOMI (UNITY ALLIANCE)

oleh Datuk Wira Dr. Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC

 

Inovasi Malaysia mesti dipertingkatkan untuk mengatasi cabaran pemulihan pasca Covid-19. Apabila merenung kembali waktu yang mencabar ini, kita akan menghargai peluang unik yang diberikan untuk menambah baik beberapa infrastruktur sedia ada bagi memastikan pertumbuhan baharu dalam ekonomi digital di masa hadapan.

Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), maklumat digital dan data raya (Big Data) akan berfungsi sebagai ‘bahan utama’ yang akan menggerakkan ekonomi baharu. Masyarakat pula lebih mudah untuk menikmati kemudahan dan akses  serta peluang baharu namun wujud juga beberapa kebimbangan.

MDEC sebagai agensi yang diberi mandat untuk ‘mendigitalkan negara’ harus melaksanakan tanggungjawabnya bagi mengintegrasikan masyarakat ke platform digital yang disatukan . Tanggungjawab ini termasuklah untuk memberi khidmat dengan cekap memastikan pergerakan trafik digital sentiasa lancar serta semua kelompok rakyat dilayan dengan adil.

Aspek utama visi Malaysia 5.0 adalah membangunkan  infrastruktur digital dengan kerjasama kerajaan dan swasta. “Unity Alliance” ini merupakan gabungan ekonomi yang akan memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang beralih ke era digital.

MDEC melihat banyak inisiatif hebat yang melibatkan pelbagai agensi telah dirancang untuk merangsang pertumbuhan Teknologi Kewangan sebagai alat untuk mempercepat penerapan ekonomi digital. MDEC akan menyokong inisiatif ini dengan menyediakan kerangka kerja bagi membolehkan ia dapat beroperasi dengan mudah serta menjimatkan kos keseluruhan ekosistem digital kebangsaan.

Malaysia 5.0, sekiranya dilaksanakan dengan betul akan berfungsi sebagai landasan untuk ekonomi digital bergerak. Jika ada yang beranggapan bahawa impian ini terlalu tinggi untuk dicapai oleh Malaysia, ini memberi petanda bahawa pentingnya untuk kita merancang sistem yang menyokong persaingan sengit sesama sendiri. Teknologi Kewangan Islam sebagai contoh telah membuktikan Malaysia boleh berusaha untuk memainkan peranan sebagai pemimpin dalam industri yang sedang berkembang pesat.

Malaysia 5.0 diilhamkan berdasarkan inisiatif Japan 5.0 Society yang berhasrat untuk meletakkan rakyat negara itu di pusat teknologi sehingga membolehkan teknologi melayani masyarakat dan bukan sebaliknya. Hal ini juga memungkinkan pengelolaan sistem baharu seperti Fintech untuk memastikan bahawa keuntungan dapat dinikmati secara adil oleh rakyat.

 

Bagi mencapai hasrat ini, Malaysia 5.0 perlu mengintegrasikan Pasaran Digital, Bank dan Syarikat Teknologi Kewangan untuk perkhidmatan awam dan rakan niaga komersial. Akses ini mewujudkan hubungan dan perkhidmatan diperlukan untuk membina ekonomi digital yang menyokong semua anggota masyarakat, termasuklah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang paling terkesan disebabkan peralihan digital.

Malaysia 5.0 tidak hanya membantu dalam penciptaan inti baharu dalam putaran ekonomi digital sebaliknya juga sebagai pusat bagi kerajaan untuk melaksanakan pengawasan, menyediakan peraturan dan perkhidmatan awamnya. Pada akhirnya, hasil yang dijangka ialah berlaku peningkatan kecekapan serta pengawasan menyeluruh yang terbentuk dalam satu sistem.

Di kawasan yang menyaksikan kita berdepan persaingan sengit seperti Teknologi Kewangan Islam, Malaysia 5.0 akan menempatkan negara kita di pasaran global bank, syarikat insurans, telekomunikasi , menyediakan perkhidmatan digital Islam dan sebagainya. Sudah tentu saya menerima kenyataan bahawa Malaysia masih jauh untuk memimpin dunia menerusi inovasi. Namun demikian, langkah pertama untuk mencapai hasrat berkenaan bermula dengan inisiatif seperti Malaysia 5.0 yang akan merangsang dan menyokong ekonomi digital masa depan kita.

Inilah waktunya untuk berfikir secara kreatif dan melaksanakan perubahan besar. Sekiranya kita bersatu untuk menjayakan objektif ini, negara bukan hanya akan pulih daripada pandemik ini sebaliknya melakukan lonjakan digital untuk generasi masa depan. Unity Alliance boleh menjadi satu jalinan kerjasama yang melayani semua rakyat bersama untuk pemulihan, kemajuan dan kesejahteraan.