23.07.2021
Categories: 2021, Data, Hartalega, IDC, industri, industry, Mah Sing, mdec, PNB

(BM) MDEC memperkasakan perniagaan tempatan berteraskan Data menerusi Program DDE

Sorry, this entry is only available in Malay.

Kajian terkini berhubung penerimagunaan kecerdasan buatan (AI) yang dilakukan oleh firma penyelidik, International Data Corporation (IDC) mendapati hanya sekitar 52 peratus syarikat dan perniagaan di Asia Pasifik berada pada peringkat awal penggunaan teknologi berkenaan.

Dalam konteks di Malaysia pula, kajian oleh Microsoft tidak lama dahulu mendapati sebanyak 85 peratus syarikat di negara ini menyedari kepentingan penggunaan data namun hanya sebahagian kecil yang telah mempersiapkan organisasi masing – masing untuk menggunakannya.

Menyedari potensi besar pertumbuhan ekonomi digital yang turut berkait dengan penggunaan teknologi digital termaju, kerajaan pada awal tahun ini telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) untuk memperkasakan setiap rakyat dan perniagaan merebut peluang yang muncul daripada teknologi inovatif yang seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Salah satu yang diberi penekanan penting ialah pembinaan pusat data berskala hiper dengan pelaburan sekitar RM12 bilion hingga RM15 bilion dengan kerjasama syarikat terkemuka global termasuk Micosoft, Google dan Amazon. Ini diyakini akan memacu penambahan ruang penyimpanan data, mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan analisis yang boleh dimanfaatkan oleh perniagaan tempatan.

Dalam usaha mempersiapkan perniagaan tempatan menerimaguna data, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melalui Program Data Driven Enterprise (DDE) turut memainkan peranannya selaku agensi utama memacu transformasi ekonomi digital di negara ini. MDEC bekerjasama dengan IDC bagi melancarkan alat penilaian kesediaan untuk Data, Analitik dan Kecerdasan Buatan (AI) untuk kegunaan syarikat -syarikat tempatan bagi menilai kedudukan dan kesediaan mereka menjadi organisasi yang berpandukan data bagi mengharungi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Langkah ini sangat penting bagi membolehkan perniagaan tempatan mendapat sokongan yang diperlukan untuk meningkatkan operasi, taktikal dan strategi di samping mengembangkan aset perniagaan dengan lebih luas.

Di sebalik penggunaan data di rantau ini dan Malaysia yang boleh dikatakan masih ‘hijau’, namun sebenarnya terdapat syarikat – syarikat gergasi tempatan telah mengorak langkah dalam penggunaan data untuk memacu perniagaan masing – masing.

Menerusi bantuan yang disalurkan MDEC, ini merupakan senarai syarikat-syarikat berjaya menggabungkan teknologi data ke dalam operasi mereka.

Hartalega
Hartalega merupakan salah satu pengeluar sarung tangan nitril terbesar di dunia. Sebelum mencapai kedudukan membanggakan ini, pelbagai inovasi telah dilaksanakan dalam amalan operasi termasuk membuat pelaburan strategik membabitkan teknologi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega Holdings Bhd, Kuan Mun Leong berkata, pada peringkat awal, syarikat itu memerlukan 10 pekerja untuk menghasilkan sejuta sarung tangan dalam tempoh sebulan. Bagaimanapun menerusi pelaburan terknologi digital, syarikat itu hanya memerlukan sekitar 2.5 pekerja untuk menghasilkan produk berkenaan dalam jumlah dan tempoh masa yang sama.

Setelah memahami cabaran yang dihadapi oleh para pekerja dalam operasi harian, Hartalega ‘mengupah’ saintis data bagi membangunkan algoritma yang mampu mengesan masalah kualiti atau kerugian yang dijangkakan sebelum proses pengeluaran. Ini membantu tingkat pengeluaran menjadi lebih produktif dan berkesan.

Setelah memahami proses dan kepentingan data, syarikat ini terus mengorak langkah dengan membina kilang pembuatan yang sepenuhnya digital dan automatik. Keputusan ini sangat penting berdasarkan peningkatan permintaan yang luar biasa sehingga tiga kali ganda untuk sarung tangan disebabkan pandemik COVID-19. Oleh itu, Hartalega dapat mengeluarkan sarung tangan bagi memenuhi permintaan pelanggannya di seluruh dunia.

Mah Sing
Nama Mah Sing Group sudah tidak asing lagi kepada bakal pembeli rumah dan hartanah di negara ini. Mula beroperasi pada 1994, syarikat ini telah menguruskan lebih 52 projek di seluruh negara.

Menyedari keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, Mah Sing berazam untuk meningkatkan aspek teknologi dan pendigitalan bagi memenuhi permintaan pelanggan dan terus kekal menjadi pemain utama dalam bidang hartanah tempatan.
Syarikat menerapkan budaya kerja berprestasi tinggi melalui pendekatan top-down yang menyaksikan setiap hasil kerja dapat diukur. Mah Sing mempraktikan sentuhan teknologi merangkumi metrik utama seperti kepantasan dokumentasi, kemampuan petugas memberi maklum balas yang pantas kepada pelanggan dan menilai semula keberkesanan pemasaran digital syarikat.

Melalui data yang dikumpulkan, syarikat dapat mengubah proses dan seterusnya memberikan pelanggan tawaran dan perkhidmatan yang lebih baik. Menerusi temu bual dengan MDEC, Mah Sing mendedahkan bahawa penglibatan pelanggan meningkat dari tahun ke tahun sehingga mencecah 75 peratus pada tahun lalu.

Syarikat itu juga lebih memahami pelanggan menerusi aktiviti pemasaran apabila sebanyak 50 peratus jualan dilaksanakan menerusi pemasaran digital.

Permodalan Nasional Berhad (PNB)
Kefahaman yang lebih mendalam terhadap data membantu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini berkhidmat dengan lebih baik kepada pelanggannya. PNB mempunyai lebih 14 juta pemegang akaun unit dengan 12.6 juta daripadanya aktif melabur dengan PNB.

Melalui data yang diperoleh PNB, mereka mendapati bahawa sebanyak 30 peratus pelanggannya merupakan pengguna peranti iOS manakala 70 peratus menggunakan Android. Ini seterusnya dapat membantu syarikat membangunkan aplikasi dalaman yang berfungsi mengikut peranti yang digunakan oleh pelanggan.

Berhubung usaha meningkatkan penawaran pula, data membolehkan PNB memahami dan meramalkan tindakan pelanggan. Oleh itu, organisasi berkeupayaan memberikan nasihat berbeza kepada pelanggan mengikut keperluan masing – masing. Sebagai contoh, jika pelanggan merupakan seorang dewasa yang masih muda dan tidak pernah melabur, mereka akan dinasihatkan untuk memilih pelaburan produk harga tetap. Nasihat berbeza diberikan kepada pelabur yang terdiri daripada golongan pesara.

Kini , PNB merekodkan lebih daripada 1.6 juta pengguna (12%) pemegang unit yang terlibat secara digital melalui aplikasi mudah alih mereka.

Membantu perniagaan Malaysia memahami data
Pelancaran Program DDE secara percuma diyakini akan membolehkan perniagaan tempatan lebih memahami keperluan dan seterusnya meningkatkan kesediaan mereka terhadap teknologi ini.

Setelah penilaian selesai, organisasi akan menerima laporan khusus yang akan membantu mereka dalam perjalanan berdepan 4IR. Berikut merupakan perincian yang ditawarkan MDEC menerusi Program DDE.

Syarikat – syarikat tempatan disaran memanfaatkan perkhidmatan nilai tambah yang ditawarkan melalui Program DDE ini termasuklah;

  • Alat penilaian kesediaan percuma untuk mengukur kesediaan syarikat berdasarkan Data Analitik dan Kecerdasan Buatan (AI).
  • Sesi perundingan percuma selama dua jam bersama pakar data dan analitik MDEC.
  • Bengkel pengetahuan data / webinar dengan lebih daripada 50 penyedia teknologi data dari industri.
  • Akses ke latihan, peningkatan kemahiran dan pemudahcaraan bakat dalam bidang data/AI.
  • Akses ke kajian kes, perkongsian penyelesaian dan rujukan dari pakar-pakar industri.
  • Pemudahcara perniagaan, memadan keperluan perniagaan dengan penyedia teknologi data MDEC.

Program DDE juga sejajar dengan visi MDEC mengenai Malaysia 5.0 yang memungkinkan negara terintegrasi dengan teknologi bagi dan seterusnya memberikan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan.

Pada masa sama, MDEC kini bersedia untuk pelancaran Bulan Teknologi Malaysia (MTM) bagi edisi kali kedua. MTM merupakan acara selama sebulan untuk mengetengahkan ucaptama digital dan teknologi, bengkel, panel perbincangan dan sesi padanan perniagaan. Ia akan menampilkan kumpulan penceramah dan pelabur industri tempatan dan antarabangsa yang terkenal untuk berkongsi idea dan kepakaran dalam ekonomi digital yang didorong oleh 4IR. Bahagian Pelaburan Digital MDEC akan melaksanakan beberapa acara selama seminggu di MTM. Sekiranya berminat untuk mengambil bahagian , sila layari https://mdec.my/mtm2021

Muat Turun PDF

#TAMAT#

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. MDEC membawa agenda Malaysia 5.0, membolehkan negara diintegrasi dengan teknologi secara mendalam, seterusnya menyediakan peluang-peluang digital yang adil dan saksama kepada rakyat dan perniagaan.

Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada kempen jenama digital NADI MDEC yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, perniagaan dan para pelabur. MDEC mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing tinggi dari segi digital di peringkat global, berpandukan inklusif, kelestarian, dan kemakmuran bersama dan menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#Malaysia5.0 #NadiDigital #SayaDigital #MHODA #MyMDEC

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut melalui inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my atau ikuti kami di: Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Dashika Gnaneswaran – [email protected]
Simon Yap – [email protected]