03.09.2022
Categories: #MalaysiaDigital, #SayaDigital, E-Commerce, E-Dagang

(BM) 17 Rakan Platform Digital Tawarkan Promosi Mampu Beli Melalui e-Dagang

Sorry, this entry is only available in Malay.

17 Rakan Platform Digital akan menawarkan promosi dan insentif mampu beli kepada Rakyat Malaysia melalui kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE DAGANG (JMKM @ DE DAGANG) dari September hingga Disember 2022.

Insentif-insentif yang ditawarkan melalui kempen ini boleh ditebus dari 17 Rakan Platform Digital yang terlibat termasuk platform tempatan seperti Bizapp, InstanteStore, Jocom, Kravve, Kumoten, Lokein.com, Maybank, Rtist, SiteGiant, Wonderfly dan juga platform luar negara seperti Fave, FoodPanda, Grab, Lazada, OYO Hospitality, Shopee, dan TikTok.

Kempen ini adalah usaha nasional bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan selari dengan aspirasi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, iaitu untuk menurunkan kadar inflasi dan harga makanan, terutamanya menerusi Program Jualan Murah Keluarga Malaysia dan juga disokong penuh oleh Kementerian Kewangan (MOF).

[email protected] DAGANG adalah kesinambungan daripada program yang telah dilancarkan termasuk Jualan Murah Keluarga Malaysia, Jualan Murah Rangkaian Koperasi, dan Jualan Murah @ Kampus yang dilancarkan pada Ogos 2022.

Dilaksanakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama Rakan Platform Digital, kempen ini akan membolehkan rakyat berbelanja pada harga yang berpatutan dan tidak membebankan mereka terutamanya barangan harian seperti produk keperluan asas dan runcit, makanan, dan perkakas rumah yang boleh didapati dengan potongan diskaun sehingga 20 peratus atau maksima RM100 untuk setiap transaksi.  

Kempen tahun ini juga akan membantu usahawan dalam sektor sasaran seperti produk-produk Halal, hasil Pertanian dan produk Buatan Malaysia.

Selain itu, [email protected] DAGANG akan membantu usahawan yang mempunyai produk barangan buatan dan jenama Malaysia yang berpotensi untuk dieksport serta produk Pelancongan dan Kraf untuk menggunapakai dan memanfaatkan Platform Digital.

Kempen ini dijangka akan memberi manfaat kepada 100,000 perniagaan tempatan, dengan 30,000 daripadanya adalah perniagaan baharu yang turut menyertai program ini. Jumlah Jualan Kasar (GMV) yang disasarkan bakal menjana melebihi RM1.5 bilion menerusi 5 juta transaksi.

Merupakan sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2022, [email protected] DAGANG bersama Rakan Platform Digitalnya juga akan menyalurkan manfaat dan sokongan kewangan bernilai RM300 juta kepada perniagaan tempatan melalui pelbagai platform e-Dagang dan e-Bayar yang bertujuan untuk menambahbaik keupayaan penjualan, sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Rakyat diseru agar membeli barangan keperluan asas dalam talian melalui Rakan Platform Digital terlibat agar dapat membantu pengusaha-pengusaha tempatan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

MDEC, selaku agensi peneraju Ekonomi Digital, akan terus memacu penggunaan digital dalam kalangan perniagaan tempatan menerusi Inisiatif Malaysia Digital, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

Untuk makluman lanjut, sila layari https://mdec.my/dedagang

TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA TPr ANNUAR HAJI MUSA

MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA