15.09.2021
Kategori: industry, investors, people

Bersama ke Arah Kesatuan & Kedaulatan Digital

Oleh: Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC

Pada 16 September kali ini, menandakan kali kedua Hari Malaysia disambut dalam suasana pandemik yang telah melanda seluruh dunia. Ketika saat kita semua sedang berusaha untuk bangkit daripada pandemik, inilah masa untuk kita meraikan perpaduan serta kekuatan kolektif kita sebagai rakyat Malaysia dan ia perlu dilakukan jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

Pandemik telah menyebabkan masyarakat terpaksa berdepan dengan perubahan teknologi dan ianya terjadi di dalam keadaan yang kita tidak bersedia – kajian McKinsey & Company menunjukkan secara purata, proses pendigitalan yang sepatutnya mengambil masa selama tujuh tahun telah diadaptasi dalam tempoh sebulan sahaja. Proses pendigitalan luar jangkaan ini telah memberi kesan merentasi masyarakat dan industri.

Ia juga telah menyebabkan perubahan persekitaran pekerjaan kita secara drastik. Laporan Pekerjaan Masa Depan 2020 oleh Forum Ekonomi Dunia mendapati, COVID-19 telah mempercepatkan pendigitalan dalam proses pekerjaan, memerlukan pekerja dilatih semula dan ditingkatkan kemahiran untuk memenuhi permintaan pasaran.

Kita perlu bersatu untuk berdepan dengan cabaran ini dan menyelesaikannya dengan semangat kekeluargaan. Keluarga ini memerlukan semua pihak menyumbang kepada kesejahteraan bersama. Ia memerlukan kita untuk bersatu secara digital, dengan semangat kemerdekaan untuk menentukan masa depan digital dan kedaulatan negara. Inilah masa yang tepat untuk rakyat Malaysia menuju ke arah Penyatuan Digital.

Untuk kita terus berkembang dalam era digital, kita memerlukan ekosistem digital yang sihat dan seimbang. Sebuah ekosistem bukan hanya melibatkan pihak tertentu sahaja. Begitu juga di ruang teknologi, ia bukan hanya melibatkan penginovasi dan pencipta tetapi juga pihak penggalak dan penyokong. Ia juga melibatkan pengguna – rakyat yang menerima impak teknologi.

Setiap entiti dalam ekosistem saling bergantung antara satu sama lain untuk berkembang maju dan berkesinambungan. Oleh itu, kita memerlukan sebuah ekosistem yang bukan sahaja berdaya maju daripada segi teknologi tetapi juga sebuah ekosistem yang inklusif. Kemajuan digital bukan semata-mata hanya mengejar kejayaan, tetapi ia perlu menjadi asas penyelesaian yang menghubungkan jurang dan akses digital.

Sebuah ekosistem inklusif ialah ekosistem yang terhubung dan saling bekerjasama. Kita tidak boleh lagi terus menjadi ekosistem yang bergerak secara sendiri. Gangguan digital pada masa depan hanya boleh ditangani secara bersama, oleh kerajaan, agensi, korporat dan rakyat, sebagai sebuah unit keluarga, iaitu Keluarga Malaysia. 

Sangat penting untuk kita mengejar matlamat secara bersama. Rangka Kerja Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia, menyediakan hala tuju yang jelas kepada kita untuk maju ke hadapan, manakala pelan JENDELA untuk memperluas dan meningkatkan kualiti rangkaian perhubungan yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan dan inovasi pada masa akan datang.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah melaksanakan pelbagai kempen dan inisiatif yang bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia mengenal pasti gangguan dan menangani cabaran dengan pendekatan digital. Ia juga menjadi bukti bagaimana kerjasama awam-swasta boleh mencapai impak secara inklusif.

Untuk berjaya dalam dunia digital yang terkini dan pantas, ia memerlukan strategi baharu. Kami telah melancarkan kempen #SayaDigital yang bertujuan untuk menyediakan kemahiran digital dan meningkatkan pendapatan kepada rakyat dan perniagaan. Ini termasuklah Mydigitalworkforce Work in Tech (MYWiT), iaitu inisiatif untuk meningkatkan kemahiran dan subsidi bakat serta perniagaan bernilai RM100 juta dalam bentuk latihan kemahiran digital dan insentif gaji. Menerusi inisiatif ini, lebih 300 buah syarikat dalam sektor teknologi dijangka menerima manfaat, selain dijangka mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan.

Kami juga telah memperkenalkan kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online (SMO) untuk membantu perniagaan Malaysia dalam pelbagai sektor untuk menyertai platform e-dagang dan e-pembayaran bagi meningkatkan keupayaan mereka, yang merupakan sebahagian daripada Belanjawan 2021.

Melalui inisiatif ini, kerajaan Malaysia telah menyuntik RM200 juta dalam bentuk subsidi, insentif, diskaun dan rebat untuk memberi manfaat kepada 300,000 perniagaan tempatan dan menghasilkan 10 juta jumlah transaksi bagi membantu pemulihan ekonomi.

Menerusi kempen Nadi Digital ASEAN, kami menyasarkan untuk meningkatkan bilangan juara syarikat pemula dan menyediakan persekitaran yang terbaik kepada pelabur. Dengan ini, kami bersedia untuk menjunjung kedaulatan digital untuk negara, dan menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN sebenar.

Inisiatif-inisiatif ini juga membantu mewujudkan ekosistem digital yang sihat dan mampan. Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang boleh dicapai oleh MDEC secara bersendirian – ia adalah usaha kolaboratif, dipikul oleh semua pemegang taruh dan bersatu mencapai matlamat dalam kemakmuran bersama dan pemulihan ekonomi.

Tunku Abdul Rahman pernah berkata: “Kita ialah rakyat Malaysia.  Inilah ikatan yang menyatukan kita. Mari kita terus beringat bahawa bersatu ialah asas kekuatan kita sebagai rakyat dan negara.”

MDEC akan memacu lebih banyak penyatuan digital pada masa depan – bersatu daripada segi tujuan dan tindakan. Berbekalkan semangat Hari Malaysia, mari kita berusaha ke arah penyatuan digital, untuk masa depan yang membolehkan kesamarataan dan kemakmuran untuk semua.

Muat Turun PDF

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. MDEC menetapkan sasaran untuk mewujudkan negara digital yang progresif, memajukan ekonomi digital secara inklusif dan menjunjung kedaulatan digital.

Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada pelaksanaan rangka kerja NADI Digital yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, industri dan para pelabur. Sasaran MDEC adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global, secara inklusif, lestari dan kemakmuran bersama serta menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#MyMDEC #NadiDigital #SayaDigital #HeartofDigitalASEAN

 

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]