20.10.2020
Kategori: industry

MENCIPTA SEMULA MALAYSIA 5.0

Oleh Datuk Wira Dr. Hj. Rais Hussin, Pengerusi, MDEC
  

Pendigitalan serta digitalisasi ekonomi merupakan perkara penting dalam perubahan masyarakat hari ini pada ketika kebanyakan negara sedang bangkit semula dengan mengamalkan normal baharu akibat pandemik yang menjejaskan pelbagai sektor.

Situasi ‘unik’ yang belum pernah terjadi ini telah menyebabkan perubahan struktur yang tidak selari dalam gaya hidup masa lalu. Namun demikian, majoritinya tidak mempunyai banyak pilihan kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan paradigma baharu memandangkan amalan lalu terpaksa diubah untuk selama – lamanya.

Keprihatinan kita terhadap kumpulan yang ‘tewas’ ini sangat penting namun perlu difahami bahawa krisis ini menyebabkan kemunculan agen perubahan yang mencetuskan era digital baharu.

Revolusi perindustrian yang tercetus kira-kira 200 tahun lalu telah mendedahkan manusia kepada teknologi kini telah memasuki fasa baharu iaitu lonjakan ke dalam Revolusi Perindustrian 4.0 atau IR 4.0.

Di sebalik keyakinan bahawa IR 4.0 ini akan kekal, namun cara pelaksanaannya akan membezakan antara masyarakat progresif dengan yang tertindas.

Sama seperti mesin wap yang mencetuskan penggunaan bahan bakar fosil sehingga memburukkan krisis iklim yang dihadapi sekarang, kekuatan teknologi IR 4.0 seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain, internet kebendaan (IoT), robotik dan crypto akan menentukan kualiti untuk manusia sama ada memberi kesejahteraan atau sebaliknya.

Memikul tanggungjawab untuk mendigitalkan rakyat Malaysia yang ‘terpengaruh’ dengan transformasi ini, peranan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dilaksanakan sewajarnya.

Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan penyebaran yang luas dan penggunaan alat IR 4.0 lebih awal sehingga masyarakat peka terhadap cabaran yang pasti berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Mengambil kira lebih daripada 90 peratus perniagaan di Malaysia yang dikategorikan sebagai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), ia menjadi keperluan mustahak supaya kumpulan ini diberi ‘kuasa digital’. Oleh itu, fokus turut diberikan MDEC untuk pendigitan dan digitalisasi perniagaan yang diasaskan secara kekeluargaan.

Pelaburan melalui latihan, subsidi, insentif, geran dan pinjaman semuanya penting untuk mencapai matlamat penyertaan digital, lebih-lebih lagi ketika waktu mencabar ini,

MDEC berada pada kedudukan unik untuk mendorong penglibatan akar umbi dengan berkongsi sumber-sumber yang melibatkan semua pihak berkepentingan dalam masyarakat dengan cara yang adil.

Falsafah utama yang mendorong penembusan teknologi IR 4.0 dalam ekonomi digital Malaysia ialah untuk mencapai kemakmuran bersama untuk semua rakyat.

Krisis global ini merupakan peluang untuk meletakkan diri supaya bersedia untuk masa depan yang lebih baik dengan kemungkinan yang lebih besar serta dengan menempatkan masyarakat di pusat teknologi IR 4.0.

Ini adalah naratif baharu kami di MDEC dan visi yang dinyatakan di sebalik Malaysia 5.0. Kita boleh berubah. Kita mesti berubah.

 
Dr Rais Hussin ialah Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang ditugaskan untuk menerajui Ekonomi Digital Malaysia.