28.09.2021
Kategori: industry, investors, people

MDEC Akan Memacu Agenda Digital dengan Pelancaran Rancangan Malaysia Ke-12

  • MDEC menyambut baik fokus Kerajaan terhadap pendigitalan; inisiatif mempercepat ke arah masyarakat digital yang inklusif dan menikmati kesejahteraan bersama
  • Fokus kepada mengurangkan jurang digital dan menarik pelaburan berkualiti tinggi

 

CYBERJAYA, 28 SEPTEMBER 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital, menyambut baik penekanan terhadap digital dan teknologi dalam proses pembangunan negara di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), yang diumumkan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Pelan lima tahun (2021–2025) – bertemakan “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan” – menyasarkan untuk memacu Malaysia keluar daripada kesan pandemik COVID-19 dan meletakkan ekonomi di landasannya semula. Usaha untuk mencapainya akan fokus kepada pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meluaskan akses pasaran dan memudahkan pelaburan digital yang strategik dan berkualiti.

MDEC akan meningkatkan usaha untuk menggalakkan PMKS untuk mengadaptasi teknologi digital dalam pengeluaran, pemprosesan dan perkhidmatan perniagaan, terutamanya melibatkan operasi perniagaan di belakang tabir. RMK12 juga merangkumi usaha meletakkan kedudukan Malaysia sebagai pusat digital ASEAN, memandangkan negara mempunyai kekuatan dalam penyelesaian keselamatan siber dan produk kandungan digital ketika ini.

“Fokus dalam pendigitalan PMKS dan meletakkan kedudukan Malaysia sebagai pusat digital ASEAN menerusi RMK12 telah mengesahkan impak daripada inisiatif berkembar MDEC iaitu #SayaDigital dan Nadi Digital ASEAN.

“Kami akan terus mendorong inisiatif-inisiatif untuk mencapai ekonomi digital yang progresif dan inklusif selaras dengan visi kami dan juga matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

Inisiatif MDEC seperti eRezeki, eUsahawan dan Global Online Workforce (GLOW) secara kolektifnya telah menjana pendapatan lebih RM2.153 bilion. Terbaharu, MDEC telah melancarkan program 100 Go Digital Coaching edisi 2021 yang bermatlamat untuk membolehkan perniagaan dalam sektor utama mendigitalkan perniagaan mereka serta kekal kompetitif, mampan dan mencatatkan keuntungan walaupun ketika pandemik.

Tahun ini, MDEC telah menganjurkan kempen Go-eCommerce Onboarding dan Shop Malaysia Online yang akan memberi manfaat kepada 300,000 perniagaan tempatan dengan membantu mereka menyertai platform eDagang dan eBayar. Dari tahun 2017 hingga 2020, MDEC telah membantu 489,000 PKS untuk mengadaptasi eDagang, dengan syarikat yang menggunakan eDagang untuk eksport telah berkembang dari 1,800 kepada 27,000 buah syarikat.

Strategi Pelaburan Digital Masa Depan5 (DIF5) iaitu pelan lima tahun yang fokus kepada lima teras utama, menyasarkan untuk menarik pelaburan dan memajukan ekonomi digital Malaysia. Menjelang 2025, MDEC menyasarkan untuk memperoleh pelabur digital pemangkin dan berkualiti tinggi untuk melahirkan pemacu baharu pertumbuhan, yang akan disokong dan dipermudahkan oleh Pejabat Pelaburan Digital (DIO).

Inisiatif MDEC juga menyasarkan ke arah melatih semula dan meningkatkan kemahiran baharu serta sedia ada, tenaga kerja dalam ekonomi digital. Sebagai Contoh, Buku Panduan Latihan Kemahiran Digital, telah berfungsi sebagai panduan sehenti kepada melatih semula dan meningkatkan kemahiran digital menerusi katalog yang merangkumi 250 kursus dan penyedia latihan dalam talian. Buku ini telah disemak secara khusus dan disahkan oleh Rangkaian Bakat Pakar MDEC (TEN).

MDEC juga memainkan peranan utama dalam pembangunan keselamatan siber Malaysia dan industri kandungan kreatif digital. MATRIX ialah program kerjasama antara kerajaan dan industri untuk menyediakan penyelesaian dengan matlamat untuk menguruskan cabaran keselamatan siber PKS dan bertindak sebagai pemangkin kepada kejayaan PKS dalam era ekonomi digital.

Sejak 2019, MDEC telah menerajui pembangunan Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE), yang bermatlamat untuk mengukuhkan industri kandungan digital tempatan dan meletakkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju penciptaan dan pengeluaran kandungan digital.  

Muat Turun PDF

 

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. Kami menetapkan sasaran untuk mewujudkan ekonomi digital yang progresif dan berinovatif.  

Bagi mencapai matlamat ini, MDEC memberi tumpuan kepada empat teras DIGITAL utama iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Digital ScaleUps) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada pelaksanaan rangka kerja NADI Digital yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, industri dan para pelabur. Sasaran MDEC adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara digital yang berdaya saing di peringkat global, secara inklusif, lestari dan kemakmuran bersama serta menetapkan asas yang kukuh untuk Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#NadiDigital #SayaDigital #HeartofDigitalASEAN #MyMDEC

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec 

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]