08.04.2021
Kategori: 2021, industry, Investment, investors, United Kingdom

MDEC mengalu-alukan kehadiran syarikat MSC ke-100 dari UK ke Malaysia

  • Kehadiran Clarivate menandakan mercu tanda penting hubungan perdagangan dua hala di antara Malaysia dan United Kingdom, sekaligus meningkatkan momentum keyakinan pelabur
  • Kehadiran Clarivate di Malaysia akan mewujudkan 200 pekerjaan menerusi pembukaan Pusat Perniagaan Global di Pulau Pinang
  • Sehingga kini, MSC Malaysia telah menarik pelaburan sebanyak RM345 bilion dan mewujudkan 185,000 pekerjaan

CYBERJAYA, 8 APRIL 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengalu-alukan kehadiran syarikat terbaharu berstatus MSC Malaysia dari United Kingdom (UK); Clarivate yang menandakan syarikat UK yang ke-100 mendapat pengiktirafan MSC. Dengan kehadiran Clarivate ke Malaysia, ia mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Clarivate merupakan peneraju global dalam memberikan maklumat dan pandangan yang dipercayai demi memacu pertumbuhan inovasi bagi organisasi, akan membuka Pusat Perniagaan Global — satu daripada tiga di dunia, iaitu di Pulau Pinang. Pembukaan pusat ini akan mewujudkan sehingga 200 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai peranan teknologi digital.

“Kami menghulur tangan dan mengalu-alukan kehadiran Clarivate ke dalam MSC Malaysia, sekaligus menyumbang kepada objektif Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN. Clarivate merupakan syarikat berstatus MSC ke-100 dari UK untuk beroperasi di sini. Saya berharap lebih banyak syarikat akan mengikut jejak langkah Clarivate selaras dengan perkembangan pesat ekonomi digital, di mana ia akan menyumbang sebanyak 22.6 peratus terhadap KDNK menjelang 2025. MDEC akan terus memacu masyarakat dalam ekonomi digital ke hadapan berpaksikan teknologi 4IR, mendorong kemakmuran bersama sejajar dengan Malaysia 5.0,” kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

MDEC akan meneruskan usaha dalam memenuhi mandat untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini menerusi kerjasama dengan Jabatan Perdagangan Antarabangsa UK melalui Pesuruhjaya Tinggi British Kuala Lumpur, serta rakan organisasi mereka, Dewan Perdagangan Britain-Malaysia.
“Sejak kami menandatangani MoU dengan MDEC pada 2016, kami telah mencapai lebih daripada 20 kerjasama dengan Malaysia mengenai syarikat UK dengan penjanaan pelaburan sebanyak RM14.2 bilion (£ 2.54 billion) dan pendapatan sebanyak RM15.99 billion (£2.86 billion) sepanjang 5 tahun kebelakangan ini (2015-2019). Kami akan terus membina momentum dan mengukuhkan kerjasama perdagangan dengan Malaysia,” memetik kenyataan Tuan Yang Terutama, Charles Hay, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia.

TYT Hay turut menambah, “Ini adalah satu perkembangan memberangsangkan untuk melihat Clarivate Plc membuka pusat perniagaan global yang bertaraf dunia di Pulau Pinang. Usaha sama seperti ini adalah satu contoh terbaik peranan Britain ke persada global.”

Sehingga kini, MSC Malaysia telah menarik pelaburan keseluruhan berninal RM345 bilion dan mewujudkan 185,000 pekerjaan. Ini terdiri daripada syarikat multi-nasional yang membuka pusat perkhidmatan global dan operasi serantau di Malaysia. Malaysia kini berada di tangga kedua ASEAN dan ke-26 di peringkat global dalam laporan Kedudukan Daya Saing Digital Dunia IMD 2020.

“Pelaburan Clarivate mewakili pengukuhan keyakinan pelabur kepada Malaysia dan bukti kepada keupayaan negara dalam menyediakan tenaga kerja tempatan berkemahiran digital dan berkualiti tinggi. Komitmen ini menyumbang kepada impian kami demi memenuhi objektif dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDIGITAL) iaitu mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital menjelang 2025,” kata Raymond Siva, Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Jenama serta Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) MDEC.

Kumpulan bakat dengan kepelbagaian bahasa dan kemahiran digital di Malaysia; infrastruktur yang sedia ada dan ekosistem ekonomi digital maju menjadikan Malaysia diiktiraf sebagai peneraju bagi perkhidmatan perniagaan digital bernilai tinggi di rantau ini.

“Clarivate sangat teruja untuk membuka Pusat Perniagaan Global (GBC) di Malaysia kerana kami melihat sokongan kuat dari segi infrastruktur, kepelbagaian dan tenaga kerja. Malaysia adalan sebuah hab pelaburan yang menarik dan dengan mengukuhkan kehadiran kami di rantau ini dapat memacu visi kami untuk meningkatkan peranan kami dalam mencipta, memelihara dan pengkomersialan inovasi. Solusi yang ditawarkan oleh GBC akan menerajui keseluruhan kitaran inovasi bagi sektor sains dan hartak intelek,” kata Shankar Nagalingam, Naib Presiden dan Ketua Setempat untuk Clarivate GBC di Pulau Pinang.

“Kami merancang untuk meluaskan perniagaan kami di Malaysia dan menggajikan 150-200 pekerja lagi dalam masa 12 bulan mendatang. GBC Pulau Pinang berpotensi menjadi pusat serantau untuk kepakaran dan saya mengalu-alukan tenaga kerja baharu ini ke dalam syarikat kami. Visi kami di tahun 2021 dan bergerak ke hadapan adalah termasuk membina komuniti digital dan menjalankan operasi dengan kualiti global berpaksikan kepuasan pelanggan. Misi kami adalah untuk membantu para pelanggan bagi menyelesaikan cabaran utama perniagaan mereka dengan memberikan informasi dan pandangan serta dapat mengoptimumkan penggunaan masa menerusi idea baharu dan ciptaan yang boleh memudahkan kehidupan. Kami sangat bangga untuk menyokong Clarivate untuk menjayakan misi tersebut di GBC Malaysia,” kata Shankar lagi.

Muat Turun PDF

###

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara ke hadapan.

Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital di Malaysia. MDEC fokus untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang selaras dengan Wawasan Kemakmuran 2030 dan dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKehadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Dashika Gnaneswaran – [email protected]
Simon Yap – [email protected]