22.11.2021
Kategori: industry, investors

MDEC akan Mempertingkatkan MSC Malaysia untuk Memacu Penglibatan Semua Pihak dalam Ekonomi Digital

  • Inisiatif MSC akan dirombak dan dijenamakan semula untuk meningkatkan cadangan nilai Malaysia untuk pelaburan digital
  • Penambahbaikan akan memberi manfaat kepada ekonomi digital di seluruh negara
  • Menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di rantau ini

 

CYBERJAYA, 22 November 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, akan merombak dan menjenamakan semula inisiatif MSC Malaysia sempena menyambut ulang tahun ke-25, tahun ini.

MSC yang baharu dan ditambah baik ini, akan berusaha untuk mempercepat penyertaan semua pihak dalam ekonomi digital dan menangani kebimbangan mengenai jurang digital yang semakin meluas dengan menyediakan akses yang saksama kepada peralatan, pengetahuan dan peluang pendapatan digital, sekali gus meningkatkan nilai cadangan Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan digital.

“MSC Malaysia telah menjadi asas dan pemangkin kepada ekonomi digital Malaysia, menyumbang 22.6 peratus kepada KDNK negara pada 2020 dalam tempoh hanya 25 tahun. Persekitaran ekonomi digital yang berubah dengan pantas pada hari ini memerlukan MSC diset semula agar kekal relevan dan bersedia untuk melonjakkan pemulihan ekonomi Malaysia.

“Penambahbaikan MSC akan memacu pembangunan ekonomi digital negara, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), serta mendekatkan kita dengan matlamat yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang menyasarkan ekonomi digital akan menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada KDNK negara menjelang 2025,” kata Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC.

MSC telah ditubuhkan pada 1996 untuk membangunkan ekosistem ekonomi digital yang kondusif menerusi memupuk juara ICT tempatan dan menarik pelaburan global.

Selain mempromosikan adaptasi digital, inisiatif ini telah membantu mengembangkan kemahiran digital bakat Malaysia dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

MDEC, menerusi MSC, telah menarik 2,794 buah syarikat aktif berstatus MSC yang secara kolektif telah membawa lebih RM384 bilion nilai pelaburan dan mewujudkan 184,030 peluang pekerjaan sejak 1996. Syarikat berkenaan turut melibatkan 10 buah syarikat berstatus Forbes100.

Setakat Disember 2020, syarikat berkenaan telah mencatatkan RM588 bilion pendapatan dan menjana eksport bernilai RM212 bilion. Malaysia juga telah berada di kedudukan Tiga Terbaik dalam Indeks Lokasi Perkhidmatan Global Kearney sejak 2004.

Penambahbaikan MSC ini akan menangani jurang yang terdapat dalam rangka kerja sedia ada. Pertama, keadaan ekonomi semasa telah menandakan pakej insentif sekarang perlu disemak semula untuk menjadi lebih unik untuk menarik pelabur moden dan peneraju teknologi. Norma baharu dalam pekerjaan jarak jauh dan hybrid juga telah membuka peluang pertumbuhan yang baharu.

MSC yang ditambah baik akan menawarkan rangka kerja baharu, antaranya semakan Rang Undang-Undang Jaminan dan insentif, pengembangan lokasi untuk MSC mempromosikan aktiviti di seluruh Malaysia, tambah baik tadbir urus dan proses serta jenama baharu.

Selain itu, pengenalan program Nomad Digital Malaysia dalam Bajet 2022 menyokong mobiliti bakat digital tempatan dan luar negara serta meluaskan kepakaran digital di seluruh Malaysia, selaras dengan objektif MSC baharu iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di rantau ini.

Nomad Digital ialah pekerja yang menjana pendapatan tanpa lokasi tetap dan berpotensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi negara, terutamanya kepada industri pelancongan.

MDEC akan menganjurkan perbincangan meja bulat dengan industri dan pemegang taruh ekonomi digital untuk menjana maklum balas dan cadangan berkenaan bagaimana MSC boleh dipertingkat dan ditambah baik untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

“Membangunkan ekonomi digital yang inklusif dan mampan adalah proses yang kita tidak boleh lakukan sendirian. Kerjasama adalah kunci untuk memastikan yang penambahbaikan MSC akan menjadi pengubah keadaan untuk 25 tahun akan datang. MDEC akan menerajui perancangan dalam mencipta MSC baharu yang membolehkan kami memacu ekonomi digital yang progresif, saksama dan dipacu inovasi, seperti yang kita impikan,” jelas Mahadhir.

 

#TAMAT#

 

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menerajui transformasi digital negara sejak 25 tahun lalu. Matlamat MDEC adalah untuk mewujudkan ekonomi digital yang progresif dan berinovatif.  

MDEC akan terus menerajui pembangunan ekonomi Malaysia memasuki era masa hadapan ke arah menjadi sebuah negara digital yang kompetitif di peringkat dunia dengan berpaksikan kepada inovasi, kemampanan serta kemakmuran bersama dan seterusnya menjadi Hab Digital ASEAN.

#SayaDigital

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Ekonomi Digital MDEC, layari www.mdec.my  atau ikuti kami di: Facebook: https://www.facebook.com/MyMDEC/ Twitter: @mymdec

 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Simon Yap – [email protected]

Hazel Hassan – [email protected]