17.02.2021
Kategori: 2021

MDEC Terus Kukuhkan Keupayaan Operasi, Lantik Ketua Bahagian Kesetiausahaan Korporat Baharu

  • Pengarah Kesetiausahaan Syarikat Kumpulan di CIMB Bank Berhad, Norazidah Mohd Nor kini menyertai MDEC sebagai Pengarah Kesetiausahaan Korporat
  • Berpengalaman luas selama 16 tahun dalam fungsi sekretariat, undang-undang dan korporat, Norazidah akan memimpin pentadbiran pengurusan dan integrasi dalaman untuk terus memacu misi ‘Mencipta Semula’ MDEC

Cyberjaya, 17 Februari 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melantik Norazidah Mohd Nor sebagai Pengarah Kesetiausahaan Korporatnya yang baharu.Beliau yang berpengalaman luas sebagai penasihat undang-undang dan korporat bagi sektor swasta dan awam kini diberi tanggungjawab untuk mengembangkan dan melaksanakan kecekapan operasi yang akan meningkatkan pentadbiran korporat dan pengurusan MDEC.

Langkah ini menandakan satu lagi usaha penting dalam agenda ‘Mencipta Semula’ MDEC untuk memupuk organisasi berprestasi dan berimpak tinggi. Agensi ini telah memulakan perubahan meluas membabitkan seluruh organisasi untuk memastikan prestasi struktur baharu yang optimum.

Berkenaan peranan baharunya, Norazidah akan mengembangkan dan melaksanakan proses dan strategi kesetiausahaan korporat untuk integrasi dalaman bagi meningkatkan kemampuan pengurusan MDEC. Ini juga selaras dengan Metrik Penilaian Input, Output, Outcome & Impact (IOOI) yang diperkenalkan untuk memantau peruntukan dan penggunaan sumber serta mengukur secara efektif sumbangan sosio ekonomi organisasi kepada masyarakat.

“Kami berhasrat untuk terus menarik bakat yang inovatif dan berfikiran jauh ke hadapan. Perspektif baharu yang dibawa mereka sangat penting bagi MDEC untuk melaksanakan misi mewujudkan kesejahteraan bersama untuk semua lapisan rakyat ketika kita berusaha mencapai hasrat Malaysia 5.0.
Pelantikan Norazidah akan membolehkan kita mengukuhkan kemampuan dalaman. Ini termasuk memperkenalkan amalan terbaik yang mampu meningkatkan proses kesetiausahaan korporat. Saya percaya dengan kepakaran yang dimilikinya, kita akan dapat memanfaatkan peluang baharu yang mengutamakan rakyat seterusnya mempercepat agenda transformasi digital negara,” kata Pengerusi MDEC, YBhg. Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff.

Sebelum ini, Norazidah merupakan Pengarah Kesetiausahaan Syarikat Kumpulan di CIMB Bank Berhad. Tanggungjawab utamanya termasuklah memantau kepatuhan syarikat terhadap peraturan Bursa Malaysia dan Bank Negara Malaysia selain memastikan keputusan Lembaga Pengarah dilaksanakan dan juga menjamin Ahli Lembaga Pengarah maklum mengenai tanggungjawab undang-undang mereka.

“Barisan pemimpin baharu MDEC yang kukuh selaras dengan agenda ‘Mencipta Semula’ MDEC kerana ini mempercepat lonjakan negara untuk merangkul teknologi pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR). Ini penting bagi membolehkan MDEC mencapai jangkauan digital berimpak tinggi untuk masyarakat dan ekonomi. Saya sangat gembira kerana Norazidah menjadi sebahagian daripada pasukan kami. Beliau memiliki prestasi yang telah terbukti serta diperlukan untuk mengatur proses operasi bermula daripada strategi hingga pelaksanaan dengan bersandarkan pengalaman luas dalam syarikat antarabangsa dan tempatan. Ini akan memberi impak positif kepada MDEC, dalam mencapai hasrat visi digital negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

Selain itu, beliau turut pernah berkhidmat di Putrajaya Leisures & Services Group, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), AVOCET Mining Malaysia OHQ; dan PETRONAS. Norazidah terlibat dalam pelbagai rundingan kontrak yang terdiri daripada pengurusan risiko, penjualan dan pembelian, pemerolehan korporat dan mengembangkan peraturan untuk kegunaan umum. Pencapaian berimpak yang dicatatkan olehnya termasuk memperkenalkan Mekanisme dan Struktur Tadbir Urus Korporat untuk organisasi sebagai penasihat undang-undang.

“Saya berbesar hati dan teruja untuk menjadi sebahagian daripada pasukan dinamik yang bertanggungjawab memimpin Malaysia ke 4IR. Setelah berkhidmat dengan memegang pelbagai jawatan dalam sektor kewangan, minyak dan gas serta perlombongan, peluang menyertai MDEC untuk mengembangkan proses dan strategi baharu untuk tadbir urus korporat, pentadbiran dan pengurusan merupakan cabaran yang saya nantikan. Saya berharap dapat bekerjasama dengan pasukan MDEC serta menjadi sebahagian daripada usaha berterusan agensi ini untuk memastikan manfaat ekonomi digital adalah untuk semua,” kata Norazidah.

Ketika ini ekonomi digital dijangka akan terus memberikan sumbangan yang penting kepada negara tahun ini berdasarkan anggaran sumbangan 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia manakala Bank Dunia meramalakan pertumbuhan ekonomi negara mampu mencapai kadar 6.7 peratus pada tahun ini.

Sehubungan itu, MDEC dengan sokongan padu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan meneruskan inisiatif berpaksikan kemakmuran bersama untuk rakyat dan seterusnya mencapai cita-cita Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

Berpandukan tiga teras utama iaitu menyediakan rakyat Malaysia berkemahiran digital, perniagaan diperkasa secara digital dan menarik pelaburan digital, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan selaras dengan perincian Belanjawan 2021 dan seterusnya mengharungi era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

– Tamat –

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara. Ditubuhkan pada 1996, mandat MDEC termasuk memacu penerapan mengguna pakai teknologi digital di kalangan rakyat, pembangunan bakat yang mampu memenuhi kehendak industri, merangka dasar-dasar ekonomi digital serta mewujudkan juara dalam bidang ekonomi digital di peringkat global.

Untuk memastikan masa depan Malaysia menghadapi era digital terjamin, MDEC akan bersandarkan rekod prestasinya yang kukuh, kredibiliti di kalangan industri dan kepimpinan yang berpengalaman untuk mengaitkan, memangkinkan dan mengkomersialkan inisiatif- inisiatif digital yang bertujuan untuk menggiatkan kemajuan ekonomi digital yang sedang berkembang dengan pesat dan mampan serta menjadikan kepelbagaian dan keterangkuman sebagai terasnya.

MDEC juga akan terus memacu pertumbuhan ekonomi digital berimpak tinggi selaras dengan Wawasan Kemakmuran Negara 2030 dan mengukuhkan reputasi negara sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysia #DigitalvsCovid

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:

Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

For Media queries, kindly contact:
Dashika Gnaneswaran – [email protected]