05.04.2021
Kategori: 2021, industry, MyWiT, people

MDEC Lancar Inisiatif ‘MyDigitalWorkforce Work In Tech’ (MYWiT) bernilai RM100 juta

  • MYWiT menawarkan insentif untuk pengambilan pekerja dan latihan untuk merancakkan sektor perkhidmatan digital perniagaan dan melahirkan tenage kerja teknologi berkualiti
  • Bakal manfaatkan 300 syarikat, mewujudkan 6000 peluang pekerjaan dan 1000 tenaga kerja profesional dalam bidang teknologi

Cyberjaya, 5 April 2021: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini melancarkan inisiatif ‘MyDigitalWorkforce Work In Tech’ (MYWiT) iaitu sebuah program pengambilan pekerja dan latihan bertujuan untuk merancakkan sektor perkhidmatan digital perniagaan serta melahirkan tenaga kerja teknologi berkualiti di Malaysia. Inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada Gerakan #MyDigitalWorkforce yang dilancarkan oleh MDEC pada tahun lepas untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia bagi memenuhi keperluan pekerjaan dalam ekonomi digital.

Objektif inisiatif ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan pemberian subsidi kepada pekerja dan majikan menerusi insentif gaji dan latihan bernilai RM100 juta. Dijangkakan lebih daripada 300 syarikat dalam sektor teknologi akan mendapat manfaat menerusi program ini dan sebanyak 6,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan dengan sasaran bagi menghasilkan 1,000 tenaga kerja teknologi berkualiti tinggi. Ini adalah selaras dengan objektif di dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDIGITAL) yang menyasarkan penghasilan 500,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia menjelang 2025.

“Kerajaan sedar akan cabaran akibat daripada pandemik dan pelancaran inisiatif ini pada hari ini adalah satu bukti akan usaha berterusan untuk mengekalkan industri teknologi serta bakal melonjakkan keupayaan dan kapasiti demi memastikan industri perniagaan digital akan bertahan dan terus maju. Dengan kerjasama MDEC, kami akan terus menerajui ekonomi digital ke hadapan dan memacu pencapaian seperti yang dinyatakan dalam MYDIGITAL, sekaligus membawa kemakmuran bersama,” memetik kenyataan YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Dalam suasana baharu akibat pandemik, penggunaan digital dan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) adalah penting kepada perniagaan dan tenaga kerja Malaysia. Menerusi inisiatif ini, MDEC akan meneruskan mandat untuk membawa inovasi dan kemajuan kepada alam pekerjaan dan perniagaan dalam menyokong matlamat MyDIGITAL.

Meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia menerusi insentif seperti MYWiT dapat mengurangkan pengganguran dan sekaligus menyumbang kepada kemajuan negara dalam menuju Malaysia 5.0,” kata YBhg. Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC.

MYWiT terdiri daripada dua komponen iaitu Perkhidmatan Digital Perniagaan (DBS) dan Perantis Teknologi Digital (DTA). DBS bermatlamat untuk memberi insentif kepada syarikat yang ingin menggaji graduan baharu atau rakyat Malaysia yang tidak bekerja untuk jawatan perkhidmatan digital perniagaan di organisasi mereka dengan menawarkan insentif minimum di antara RM9,800 dan RM20,600 bagi setiap pekerja. Insentif ini akan dibahagi kepada dua bahagian iaitu insentif gaji yang akan meliputi 40 peratus daripada gaji pekerja untuk enam bulan (gaji minimum sebanyak RM2,000) dan insentif latihan sebanyak RM5,000.

Latihan dan kursus yanng layak untuk insentif ini termasuk kursus dalaman yang ditawarkan oleh syarikat dengan minimum latihan 40 jam serta kursus “Pembelajaran dalam Pekerjaan” yang disenaraikan dalam Direktori Latihan Kemahiran Digital MDEC. Terdapat 180 kursus yang ditawarkan menerusi direktori tersebut.

Manakala pula DTA menyasarkan syarikat yang ingin menggajikan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pekerjaan bagi memenuhi permintaan tinggi dalam sektor teknologi seperti Sains Data, Pembangunan Perisian dan Keselamatan Siber dengan menawarkan pakej insentif sebanyak RM15,200 bagi setiap pekerja. Ini termasuk insentif gaji RM1,200 setiap bulan bagi tempoh enam bulan dan insentif latihan sebanyak RM8,000 bagi setiap pekerja,. Majikan dijangka akan membayar gaji minimum RM3,000 mulai bulan keempat program. Majikan boleh memilih latihan Peningkatan Kerjaya yang tersenarai dalam Direktori Latihan Kemahiran Digital MDEC. Kesemua kursus yang tersenarai dalam direktori tersebut sudah disemak dan diberi pengiktirafan oleh pemain industri.

“Kami di MDEC sering memantau dan mengikuti perkembangan semasa mengenai kemahiran yang diperlukan dalam alam pekerjaan sekarang. Menerusi analisis kami melalui portal mencari pekerjaan seperti Linkedin,

Jobstreet, Monster, Indeed dan Jobstore menunjukkan permintaan tinggi untuk jawatan berasaskan digital. Sebanyak 47,000 pekerjaan berasaskan teknologi diiklankan dalam kesemua portal tersebut sehingga Februari 2021. MDEC bermatlamat untuk memberi insentif kepada syarikat-syarikat teknologi dalam menggaji, meningkatkan kemahiran dan mengimbangi tenaga kerja Malaysia yang terkesan secara langsung akibat pandemik COVID -19. Di peringkat asas, program ini dijangka memacu perjalanan Malaysia dalam menuju masyarakat digital menerusi penciptaan peluang dalam sektor digital untuk rakyat, perniagaan dan ekonomi secara keseluruhannya, sejajar dengan objektif MyDIGITAL,”kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.

Syarat kelayakan untuk insentif DBS dan DTA termasuklah syarikat harus diperbadankan di Malaysia dan komited dalam menyediakan pekerjaan bagi tempoh minimum 12 bulan. Kuota maksimum pengambilan pekerja adalah 500 orang untuk DBS dan 50 orang untuk DTA.

Selain itu, individu yang ingin mendapat manfaat daripada MYWiT, mestilah rakyat Malaysia dan tidak pernah menerima manfaat daripada mana-mana program insentif MYWiT MDEC atau sebahagian daripada Penjana Kerjaya 2.0 dan program Penjana KPT-CAP. DBS terbuka kepada graduan baharu, mereka yang tidak bekerja atau diberhentikan kerja manakala DTA terbuka kepada mereka yang tidak bekerja dan diberhentikan kerja.

Inisiatif MDEC di bawah tonggak Pekerjaan dan Kemahiran Digital telah memberi impak kepada dua juta rakyat Malaysia sejak 2016 hingga suku ketiga 2020. MDEC telah memberi sokongan kepada sektor pekerjaan dengan akses kepada peningkatan kemahiran dan peluang pendapatan menerusi program dan inisiatif termasuk Direktori Latihan Kemahiran Digital, Global Online Workforce (GLOW) dan Go-eCommerce.

Untuk maklumat lanjut mengenai MYWiT dan program-programnya, sila layari https://mdec.my/mywit

Muat Turun PDF

– Tamat –

Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara ke hadapan.

Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital di Malaysia. MDEC fokus untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang selaras dengan Wawasan Kemakmuran 2030 dan dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKehadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di:
Facebook: @mymdec
Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Dashika Gnaneswaran – [email protected] atau
Simon Yap – [email protected]